Opinion

Bila Malaysia akan layak ke Piala Dunia?

Seperti peminat bola sepak yang lain, soalan yang akan meniti di bibir adalah, "Bila Malaysia akan layak ke Piala Dunia?", apabila tiba musim Piala Dunia.

Kemudian, tidak kurang juga apabila ahli politik dan menteri memberikan kata-kata manis, "Saya yakin Malaysia akan layak".

Selepas itu, kita semua terpesona dan optimis dengan janji manis, termakan janji manis seperti zaman bercinta.

Bezanya, kita tidak bercinta dengan ahli politik dan menteri, jika tidak mungkin kita akan "putus hubungan" atau "clash".

Jawapan saya untuk kita melihat Malaysia layak ke Piala Dunia, peminat bola sepak juga perlu "clash" daripada menonton bola sepak tempatan.

Apabila tiada orang yang menonton, jangan harap FAM akan dapat buat untung menerusi jualan tiket ataupun tajaan.

Peminat juga berhak untuk menyuruh rombakan besar dalam FAM dan menjadi pemegang saham dalam persatuan bola sepak.

Sekarang ini, FAM bukan milik peminat tapi eksklusif untuk mereka yang tertentu.

Selain itu, negara lain tidak ada gelaran Datuk Seri ataupun Tan Sri dalam persatuan bola sepak mereka, tapi mereka dihormati dan bermain di Piala Dunia.

Jadi, apakah yang sedang berlaku di dalam bola sepak negara?

Rombakan dalam bola sepak negara bukan hanya dengan peralihan presiden baru ataupun exco, tapi niat dan kreativiti dalam pembangunan bola sepak negara perlu radikal.

Radikal di sini bererti orang ramai perlu berhenti daripada menonton bola sepak tempatan.

Mahu panggil saya pengkhianat ataupun bodoh, strategi ini yang belum peminat bola sepak negara lakukan.

Sebab itu saya sudah lama tidak menonton bola sepak, cuma dahulu semasa menjadi wartawan sukan saya mendapat pas media untuk membuat liputan dan membaca di laman Internet.

Ini adalah lontaran idea saya, untuk menerimanya terpulang di tangan peminat.

Sebelum kita bermimpi untuk layak ke Piala Dunia, peminat juga kena mempunyai alternatif untuk menyedarkan otai-otai bola sepak dalam FAM.

Mengenai polisi bola sepak negara, adakah FAM hanya tahu menjadi flip-flop?

Sekejap menghalalkan pemain import kemudian mengharamkannya pula.

Bola sepak bukan coklat Cadbury yang sekejap halal dan sekejap haram, kemudian halal semula.

Bagaimana dengan sekolah sukan yang direncanakan oleh kerajaan, apa sudah jadi?

Mahu memupuk minat dan mengasah bakat anak muda bermain bola sepak, saya ingin bertanya berapa buah padang rumput sintetik dilengkap lampu limpah yang terdapat di dalam negara?

Di Kuala Lumpur, hanya satu padang sewa rumput sintetik di KLFA, berhampiran Lebuh Raya MRR2 yang boleh disewa untuk kelab-kelab kecil tempatan main, itupun terpaksa berebut slot.

Gelanggang futsal tumbuh seperti cendawan, itu pun hanya tujuan untuk keuntungan.

Kalau tidak, masakan banyak gelanggang futsal boleh dibuka dengan banyak di Malaysia.

Untuk Malaysia layak ke Piala Dunia, kita kena tunggu FAM dahulu berubah. – 17 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments