Langit di Tok Bali biru dan cerah, tiada ribut dan tiada jerebu seperti di Kuala Lumpur, hanya angin sepoi-sepoi.
Lautan tenang di perairan Laut Cina Selatan ini yang tahu cerita sebenar kehilangan MH370, sampai hari ini belum diketahui lokasinya.
Bot-bot kecil nelayan sibuk dengan urusan masing-masing, orang ramai juga ada berkelah di tepi pantai.
Hari kedua, saya dan jurugambar Najjua Zulkefli menginap di sebuah hotel murah Arwana Inn, selesa dan berdekatan dengan pusat operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bahagian timur.
Selepas dua hari, saya mula faham kemarahan orang ramai dan pembaca, tiada banyak maklumat yang boleh disalurkan kepada umum.
Masuk hari kedua, pegawai media memberitahu wartawan tiada sebarang sidang media akan diadakan hari ini kecuali jika ada pengumuman penting.
Pengumuman keputusan sampel minyak negatif semalam menambah lagi misteri kehilangan MH370, anggota APMM mengeluh kebingungan.
Laut Cina Selatan tidak sedalam dan seluas Lautan Atlantik, tetapi masih tidak menemui sebarang petunjuk, itu antara keluhan anggota APMM.
Di Kelantan, ada dua pangkalan operasi, satu di Gong Kedak dan Tok Bali. Gong Kedak untuk operasi udara, Tok Bali untuk operasi di lautan.
Prosedur di sini ketat, arahan kepada pihak berkuasa supaya tidak membawa wartawan ikut bersama menyertai operasi.
Sebaik tiba hari pertama semalam, saya sudah bertanyakan kepada pegawai APMM mengapa tiada media tempatan dibawa sama dalam operasi.
Pertama, pesawat MH370 belum ditemui. Kedua, tempoh masa sebuah kapal mencari akan belayar adalah empat hari sekurang-kurangnya kerana lokasi pencarian yang jauh lebih 100 batu nautika. Ketiga, pihak tentera mengawal operasi dan tidak memberi kebenaran untuk membawa media.
Wartawan juga tidak dibenarkan berada dalam kem Gong Kedak untuk membuat liputan.
Tiada banyak laporan yang boleh diberikan di sini, dan APMM masih belum menyesuaikan diri dengan media ketika berdepan situasi krisis begini.
Bayangkan, sejurus mendapat tahu wartawan dari Jepun akan turun, anggota APMM kelam-kabut menaikkan garis kuning kalau-kalau wartawan Jepun tersebut minta untuk meninjau kapal mencari tersebut.
Sukar untuk wartawan mendapatkan info dan maklumat semasa, anggota mengawal radar dan komunikasi tidak berhubung secara terus dengan wartawan tetapi pegawai komunikasi perhubungan menjadi perantara.
Pagi hari kedua, saya dan Najjua bangun jam 9 pagi bergegas ke lokasi nelayan mahu bertanyakan sama ada mereka akan membantu operasi mencari.
Jawab mereka:"Kami akan beritahu kalau ternampak objek atau serpihan pesawat, tak perlu lah nak suruh pun semua nelayan tahu nak buat perkara itu."
Saya mula terfikir, betul juga kata nelayan ini, takkanlah mereka tidak ada daya berfikir.
Selepas itu, kami menghala pulang ke tempat penginapan di Arwana Inn, berhampiran dengan ibu pejabat APMM.
Belakang hotel kami, bengkel membaiki kapal nelayan sedang melakukan kerja mereka. Seawal pagi, ujian siren kapal nelayan kejutkan kami.
Saya memberitahu jurugambar, kalau masuk hari ketiga tiada sebarang petunjuk, mungkin kita kena balik semula ke Kuala Lumpur.
Saya tidak mahu membazirkan masa, wang, atau pun tenaga.
Di tengah kekalutan operasi mencari, semalam rakan wartawan memberitahu kepada kami mengenai laporan polis penduduk kampung di Marang nampak sebuah pesawat terbang rendah.
Saya bertambah bingung, adakah benar ia berpatah balik melalui Selat Melaka? Persoalan ini belum terjawab, tiada pengesahan.
Laporan tersebut agak pelik kerana bukan apa, di sisir perairan Laut Cina Selatan inilah, ia menjadi laluan pesawat.
Hari kedua, semua masih menanti, saya dan jurugambar juga menanti, apakah selepas ini?
Di manakah MH370?
#prayforMH370 – 12 Mac, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments