Opinion

Hanya dengan sukan, rakyat Malaysia boleh jadi buta warna kaum

Kita mungkin masih kempunan untuk menang Piala Thomas, tapi sekurang-kurangnya rakyat Malaysia melupakan sebentar esktremis politik, kaum dan agama.

Ahad lalu, rakyat berbilang bangsa mendapat "painkiller" paling terbaik, ketika ada ancaman bangunan hendak dibakar, ketika gambar palsu bikini Dyana Sofya diedarkan ke masjid dan surau, ketika menteri mengeluarkan kenyataan celupar, ketika Rela bakal mendapat pakaian seragam baru dan ketika ramai yang masih membezakan antara satu sama lain dengan warna kulit atau agama.

Sifat universal sukan itu sendiri tidak perlu disuruh atau dikerah boleh menyatukan rakyat negara. Itulah keunikannya.

Saya belum pernah dengar sebuah pasukan bola sepak atau pemain badminton itu akan dianggap itu adalah pasukan Islam, itu pasukan Kristian atau pemain itu mewakili Yahudi.

Tidak juga semasa Hasbullah Awang semalam mengulas perlawanan badminton berkata, "Ya, Cina itu berjaya mengutip" atau "Ya, jurulatih Melayu itu sedang memberi nasihat".

Itulah keunikan sebuah sukan, tidak seperti menteri atau ahli politik yang berlagak dalam kempen bercakap mengenai kaum atau agama.

Pada 2010, saya menjadi wartawan sukan dan sempat membuat liputan bersama rakan semasa Piala Thomas diadakan di Malaysia.

Tapi Malaysia kalah kepada China, saya masih teringat Lin Dan membuat tarian robotnya sebaik menewaskan Lee Chong Wei, tapi tindakan beliau menyebabkan semua penyokong negara  bersorak "boo" marah.

Ketika itu, saya lihat semua rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina dan India bersatu memperlihatkan kemarahan kepada Lin Dan.

Ketika itu, tidak pula saya lihat penyokong kaum Melayu atau Cina tempatan yang memberikan sokongan kepada Lin Dan.

Tapi hari ini, malangnya kita ada seorang individu asal Cina yang memeluk Islam bertanya "Kalau Lin Dan lawan Misbun, siapa Cina sokong?"

Mungkin profesor ini tidak pernah menonton sukan ataupun tidak pernah ke stadium menonton bola sepak.

Boleh jadi beliau tidak tahu bagaimana rakyat kita di Malaysia meraikan sukan tanpa perbezaan warna kulit.

Anda mahu lihat rakyat Malaysia buta warna kaum, stadium ataupun acara sukan adalah tempat terbaik.

Mungkin sudah tiba masanya rakyat kita berjuang cara lain untuk membetulkan sistem politik eksklusif negara.

Jawapannya, mungkin caranya melalui sukan. Mungkin lebih ramai atlit bukan Melayu yang menyumbang pingat dapat mengajar tentang erti buta warna kaum kepada ahli politik negara.

Sekurang-kurangnya, tiada lagi menteri akan menuduh kaum itu pendatang ataupun penceroboh. – 27 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments