Mungkin kerajaan perpaduan yang selama ini diinginkan Umno dengan PAS menjadi kenyataan angkara satu pesanan WhatsApp.
Rakyat perlu berterima kasih kepada teknologi yang kita miliki sekarang, sekurang-kurangnya kita sudah tahu isi hati pemimpin politik.
Kalau dahulu kenyataan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mahu keluar dari Pakatan Rakyat (PR) mungkin mudah dinafikan, mungkin juga ada acara angkat sumpah di masjid untuk menidakkannya.
Itulah lumrah berpolitik, terlepas cakap, minta maaf dan kemudiaannya selesai.
Begitu juga ahli politik, hari ini musuh, esok hari mungkin kawan.
Dalam kes PAS, mungkin suatu ketika dahulu Umno adalah lawan mereka, tapi tidak mustahil juga esok mereka berkawan.
Kenyataan Zuhdi mungkin bersifat peribadi, tetapi kerana setitik nila rosak susu sebelanga.
Ketika PR negeri Selangor masih mencari menteri besar untuk diganti, kenyataan Zuhdi pula didedahkan.
Seperti perang psikologi, 10 Ogos ini mesyuarat PAS Pusat akan bergelora. Akan riuh-rendah jika PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada ketika PKR dan DAP sudah menolaknya.
Ketika menantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memegang jawatan di GLC Selangor, pelbagai persepsi timbul atas tindakan beliau mempertahankan Khalid.
Bagi rakyat Selangor, pengalaman sama dilalui di Kedah ketika PAS memerintah satu penggal akan dilalui.
Khalid kini bukan lagi menteri besar PKR selepas ditolak parti sendiri, tetapi dengan kenyataan Hadi menggambarkan kini Khalid adalah menteri besar yang dipilih PAS dan mewakili parti bulan tersebut.
Ketika pemerintahan PAS di Kedah, pergolakan dalaman juga berlaku. Ia hampir sama di Selangor, cuma bezanya kali ini langkah awal diambil dengan memutuskan untuk menyingkirkan Khalid.
Cuma pertikaian sekarang adalah siapakah yang akan jadi menteri besar di Selangor, itu sahaja.
Krisis di Kedah, semua pihak tahu cuma biasalah akan ada perkara yang dinafikan. Di Kedah, ahli politik PAS pernah dikurung dalam sebuah sekolah hanya kerana perbezaan pandangan dengan menteri besarnya. Itu tahap berpolitik PAS di Kedah.
Di Selangor, kaedah lebih profesional diambil. Secara bermesyuarat dan secara bersama keputusan dicapai untuk menggantikan Khalid.
Mungkin rakyat akan menerima dan mungkin menolak keputusan menggantikan Khalid, tetapi dalam sebuah parti, menteri besar bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat.
Menteri besar adalah ahli politik yang dipilih oleh parti. Sultan hanya akan beri perkenan, baginda bukan daripada parti politik.
Oleh sedemikian, ia agak janggal apabila ada penyokong Khalid berhujah untuk melantik menteri besar baru perlukan perkenan baginda. Bila pula Sultan bertanding dalam pilihan raya?
Mungkin hanya kerana Khalid sentiasa disebelahi Sultan, tidak bermakna itu adalah lampu hijau Sultan.
Pesanan WhatsApp Zuhdi adalah isyarat jelas kepada Umno, mungkin sudah ada umpan dilontar mengena sasaran.
Hanya kerana satu pesanan WhatsApp ini juga mengeruhkan suasana Aidilfitri kali ini.
Hanya kerana satu pesanan WhatsApp ini juga PR akan bergolak, bukan hanya di Selangor.
Niat yang suci bukan daripada lebai atau ketayap, tetapi daripada mereka yang berprinsip. – 30 Julai, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments