Opinion

Hendak sekat media luar negara macam parti politik buat?

Ketika saya menghadiri satu majlis, saya curi-curi dengar seorang jurugambar media tempatan mainstream (arus perdana) yang mengeluh tentang berita negatif daripada media luar negara.

Bagaimana saya tahu si polan ini bekerja dengan media mainstream? Mudah sahaja, pas medianya berwarna biru, di kalangan pengamal media, kami sinonim tahu itu pas istimewa, boleh dikategorikan sebagai penjawat awam.

Beliau mengeluh, "Kenapa tidak sekat sahaja media luar negara daripada masuk sidang media kalau mereka 'spin' berita, dengan media tempatan mereka boleh halang".

Bagi pengamal media alternatif, kami sudah biasa kalau dihalang masuk dalam sidang media, khususnya kalau berkenaan sidang media parti politik tertentu.

Saya tidak mahu terjun membuat kesimpulan tentang pihak media yang dimaksudkan jurugambar tersebut.

Berkobar-kobar semangat jurugambar ini marah dengan media luar negara, khususnya Daily Mail, yang dituduhnya seperti akhbar Metro di Malaysia.

Jurugambar ini terlupa satu perkara, bahasa penulisan Daily Mail adalah berbahasa Inggeris, bahasa yang dibaca majoriti penduduk dunia.

Metro, dibaca oleh pakcik dan makcik di kampung, mereka suka membaca tentang jenayah, ataupun misteri kemalangan, ataupun cerita tentang artis ditangkap khalwat.

Bukan mahu membela media luar negara, cuma ini adalah hakikat yang membezakan antara Daily Mail dan Metro.

Saya tidak katakan akhbar United Kingdom tersebut tepat beritanya, seperti kita tahu, terdapat banyak percanggahan dalam laporan mereka.

Adalah berbeza sama sekali, halangan membuat liputan dalam sidang media parti politik dan halangan membuat liputan sidang media ketika krisis.

Mungkin jurugambar ini lupa, laporan sidang media Umno dibaca oleh makcik dan pakcik kampung Felda, itupun kalau mereka minat.

Ketika krisis MH370, ia melibatkan penumpang serata dunia, banyak kewarganegaraan.

Cadangan menghalang media luar negara seperti yang dilakukan ke atas media tempatan adalah tidak praktikal sama sekali.

Baru-baru ini, Pengarah DCA juga mengambil sikap sama, menghalau pihak media daripada menghadiri taklimat yang diberikan pihak berkuasa.

Jika mahu memberi layanan sama kepada media luar negara, saya rasa kita patut pertimbangkan semula.

Malaysia bukan sebuah negara di mana tiada masyarakat dunia "yang ambil port", ramai rakyat kita bekerja di luar negara, ramai belajar di luar negara malah ramai juga wartawan biro yang bekerja di luar negara.

Pada 8 April, pusat sidang media MH370 akhirnya ditutup secara rasmi, riuh-rendah para pengamal media tidak akan kedengaran lagi.

Selepas ini, masalah kedua akan dihadapi media, bagaimana hendak menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan informasi terkini, memandangkan penjawat awam dan ahli politik di Malaysia bukannya jenis yang mengangkat telefon. – 8 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments