Baru-baru ini selepas satu temubual eksklusif dengan salah seorang bekas ahli politik negara bergelar Tun, saya teringat satu garis kata beliau:"Melayu kena kurang ajar untuk mampu menganalisa dan mengkritik."
Beliau menceritakan tentang keberanian ahli politik Umno dahulu yang berani mengkritik pemimpin atasan parti jika tidak bersetuju dalam apa jua perkara.
Bagaimanapun, setiap kritikan pasti ada akibatnya, mana tidaknya hingga hari ini beliau digelar sebagai ahli politik kurang ajar.
Adakah beliau marah? Tidak, baginya Melayu kadangkala perlu menjadi kurang ajar kerana ia mengajar berfikir di luar kotak.
Adakah masih ada lagi ahli politik kurang ajar dalam Umno? Terpulang kepada tafsiran dan definisi masing-masing, saya rasa ramai dalam Umno kurang ajar, cuma tempatnya tidak kena.
Berbeza dengan sekarang, Melayu nampaknya diasuh supaya menjadi kurang ajar kepada kaum lain tetapi tidak berani dengan pemimpin sendiri.
Lega selepas akta tanpa perbicaraan penjajah dimansuhkan hanya untuk sementara, pemerintah kini tidak boleh lagi bersabar dengan mereka yang kurang ajar.
Siri penggunaan Akta Hasutan adalah bukti pemerintah mahu mendidik mereka yang kurang ajar mengkritik ini dihukum.
Hasilnya, aktivis dan ahli politik pembangkang berdepan dengan pelbagai pendakwaan, tetapi orang Melayu yang lantang bercakap mengenai perkauman pula terlepas.
Saya masih terkenang mengenai insiden ayam disembelih dan tawaran tampar kepada seorang pemimpin DAP berbangsa Cina, orang Melayu diajar untuk jadi kurang ajar kepada kaum lain.
Tun kemudiaan membuka cerita tentang orang Melayu dianggap sebagai paling "gentleman" dalam dunia oleh Inggeris.
Inggeris melabel orang Melayu sebagai bangsa paling gentleman kerana sikap lemah lembut dan sopan santun, ia menjelaskan mengapa negara dijajah beberapa kuasa besar luar dulu.
Kerana sikap gentleman kaum Melayu, harta kekayaan negara terlepas kepada penjajah.
Hinggalah akhirnya orang Melayu dan kaum lain menunjukkan keberanian bertukar menjadi kurang ajar dan menentang Inggeris hingga mencapai kemerdekaan pada 1957.
Dengan sikap kurang ajar, kita berjaya menendang keluar penjajah ketika itu.
Selepas 57 tahun, pemerintah nampaknya mahu orang Melayu menjadi gentleman semula, kritikan atau kecaman kepada pentadbiran Umno akan dianggap sebagai satu hasutan.
Pemerintah begitu bimbang dengan kecaman dan kritikan kurang ajar ini akan menjatuhkan kerajaan yang sudah memerintah sejak Merdeka, buat kali pertamanya mereka terasa terancam.
Mungkin kehilangan undi popular pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menjelaskan segalanya.
Bagaimanapun pemerintah terlupa, Melayu masih gentleman sehingga sekarang, tidak sesekali akan menjatuhkan kerajaan mengikut cara haram kerana Malaysia sebuah negara demokrasi dan berpaksikan Perlembagaan.
Melayu gentleman akan tunggu pilihan raya umum, bukan jalan lain seperti yang berlaku di negara Arab kerana ini adalah "Malaysian Style". – 11 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments