Opinion

Polis moral untuk rakyat, tapi bagaimana dengan ahli politik?

Beberapa siri kontroversi melibatkan jabatan agama baru-baru ini menimbulkan persoalan, adakah pemerintah cuba mengawal moral rakyat ketika ini?

Sebelum ini kita mempunyai akta tahanan tanpa bicara yang kemudiaannya dimansuh, tapi lena kebebasan dan keterbukaan tidak berpanjangan.

Bayangkan kita sedang tidur bermimpi tetapi tiba-tiba diketuk jabatan agama atau polis moral ini. Ini keadaan yang sedang rakyat hadapi.

Keagresifan polis moral ini menyebabkan saya terdetik untuk bertanya, hidup pun susah malah sudah mati pun susah

Kalau sebelum ini kita jadi bahan jenaka disebabkan berebut perkataan Tuhan, kemudian isu babi dalam Cadbury, insiden serbuan jabatan agama kini pula bakal mendapat perhatian ramai.

Saya tidak tahu mengapa tiba-tiba polis moral ini begitu bergiat aktif kebelakangan ini. Mungkin ramai umat Islam termakan coklat babi sehingga terganggu akidah.

Atau mungkin mereka berhujah umat Islam di Malaysia terancam.

Begitulah sikap ahli politik dan agamawan, mereka akan sedaya upaya mencari kesilapan rakyat. Kalau semua rakyat baik, maka tidak ada pekerjaan untuk mereka.

Rakan saya yang baru lepas membuat liputan memberitahu mengenai satu kes tangkapan khalwat dimana satu pasangan ini dikenakan denda RM1,500 setiap seorang, maknanya kedua-dua mereka perlu membayar RM3,000.

Jadi saya tertanya, sudahlah anak muda ketika ini terbeban dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi, kini bertambah lagi beban oleh jabatan agama ini.

Saya tidak ingin salahkan pasangan yang ditangkap, mana tidaknya saya berkata begitu, nak kahwin sekarang bukan mudah, paling kurang perlu ada RM10 ribu untuk melangsungkan perkahwinan.

Kemudian belum lagi ambil kira selepas kahwin. Bermacam bil kena bayar. Seperti biasa, jabatan agama tidak akan ambil “pot” perkara macam ini.

Bagi mereka, hukuman lebih penting daripada dakwah dan nasihat.

Kesimpulannya, rakyat daripada setiap sudut perlu dilihat sebagai jahat dan sentiasa membuat kesilapan, kalau tidak ada pun ia akan sengaja direka cerita.

Kalau jabatan agama atau ahli politik ini berpendapat rakyat yang bersalah dan sentiasa buat kesilapan, saya syorkan di sini supaya silibus agama dipelajari sejak darjah 1 hingga ke tingkatan 5 dimansuhkan.

Apa gunanya kalau belajar tapi masih ada polis moral yang masih menjaga kita. Adakah rakyat yang matang memerlukan penjaga seperti di pusat jagaan kanak-kanak?

Sepatutnya kita berlaku adil, kalau rakyat dijaga oleh polis moral, begitu juga dengan ahli politik.

Kalau polis moral ini benar-benar ikhlas, rakyat juga berhak untuk mencabar mereka.

Tangkap perasuah, ahli politik songlap wang, pegawai kerajaan korup dan bermacam lagi, bukti apa lagi yang diperlukan, bukankah Laporan Audit Negara mendedahkan semua.

Kalau rakyat sahaja ditekan oleh polis moral ini tetapi tidak ahli politik dan mereka yang korup, bagaimana rakyat mahu hormati mereka.

Bukankah Islam itu sendiri menegah perasuah, bukankah perasuah itu sepatutnya dijatuhkan hukuman berat.

Inilah sikap double standard diamalkan pemerintah yang diturunkan kepada jabatan agama dan agensi-agensi lain.

Yang menjadi mangsa akhirnya pasti rakyat juga.

Mungkin benar kata seorang pendakwah ini, babi itu lebih mulia daripada perasuah. – 25 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments