Opinion

Rasa bangga selepas ke perhimpunan agung Umno

Selepas ke perhimpunan agung Umno baru-baru ini, saya terasa bangga menjadi seorang Melayu berbanding sebelum ini.

Saya tidak tahu sama ada rakyat Malaysia lain pernah ke perhimpunan Umno atau tidak, kalau tidak pernah saya cadangkan cuba datang pada tahun depan, ia suasana berbeza dengan melihat secara langsung di televisyen.

Sebagai seorang pemerhati dan juga menjalankan tugas, mata saya juga perlu berkeliaran dan mencuci mata pada masa sama.

Selain itu, orang ramai juga akan dihiburkan dengan pentas karaoke, lagu-lagu lama didendangkan untuk menghiburkan hadirin yang majoritinya orang Melayu.

Slot paling saya suka adalah ketika sayap Puteri Umno bersidang, di sini saya boleh lihat gadis Melayu terakhir, berkebaya ketat merah jambu dengan wajah keMelayuan. Bagi yang belum ada jodoh, ini tempat yang sesuai.

Mengapa saya berbangga? Bagi saya, PWTC ini adalah tempat Melayu berkumpul dan bangunan rasmi kepada kaum Melayu seperti saya, jadi mestilah saya berbangga.

Selain itu, PWTC satu-satunya tempat perhimpunan parti politik di mana perokok boleh bebas sewenang-wenangnya, tanpa ada sekatan. Malah di dalam bangunan sekali pun.

Di perhimpunan ini, saya bangga melihat ramai pembela kaum Melayu, yakni kaum saya.

Daripada pakcik dan makcik di kampung, hinggalah ke profesional Melayu, doktor, jurutera, akauntan dan tidak lupa kontraktor cari makan.

Di sinilah juga saya boleh lihat Melayu dengan kereta mewah mereka, daripada Jaguar hinggalah ke Mercedes.

Bersepah-sepah ketika berlangsung Perhimpunan Agung Umno ini, saya sekali lagi berbangga. Semua ini Melayu berjaya dan kaya, mereka adalah pembela kaum saya.

Perwakilan yang hadir semasa perhimpunan bersilat lidah dan memberikan seribu cadangan, tidak kurang juga yang mengakui ekonomi Melayu masih ketinggalan dan perlu dibela.

Saya bangga, kerana hampir 57 tahun lebih, Umno sahajalah bercakap tentang membela ekonomi Melayu, tapi malangnya usaha ke arah mencapai sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera belum tercapai.

Ketika mengulas isu ini, tiba-tiba ada perwakilan mengemukakan cadangan berani, iaitu menggesa kerajaan mengiktiraf surat sokongan ketua bahagian Umno dalam apa-apa permohonan dan juga mahu menteri sumber manusia dilantik daripada kalangan orang Melayu.

Ini benar-benar cadangan bernas, akan lebih ramai ahli perniagaan ali baba Melayu dan juga akan lebih ramai anak-beranak ahli Umno sahaja bekerja dalam institusi kerajaan.

Saya bangga apabila melihat kerajaan yang diperintah ini semua Melayu, tanpa ada wakil kaum lain dalam sektor awam.

Saya bangga melihat Melayu bertali leher, berseluar licin dan berkemeja atau batik di dalam kerajaan. Mereka ini semua Melayu.

Lebih saya bangga adalah apabila setiap kali Laporan Ketua Audit Negara, kebocoran dan ketirisan yang didedahkan adalah untuk membela kaum saya, duit cukai saya disalurkan untuk menjadikan rakan-rakan saya dalam kerajaan menjadi kaya.

Apa salahnya kaum saya yang kaya walaupun daripada hasil tidak sepatutnya, bukankah itu tanggungjawab moral saya?

Di PWTC, saya juga berasa bangga, ekonomi dan peniaga Bumiputera nyata berkembang maju.

Lihat baju dan kain atau sampin yang dijual, ini semua keluaran orang Melayu. Cuma sedikit saya merasa hairan, mengapa ada setengah barang yang dijual ini saya boleh dapat di Pasar Borong GM atau di Pasar Borong Kenanga?

Mungkin saya tersilap, barang serupa tapi pengeluar berbeza.

Kemudiaan saya singgah di sebuah syarikat GLC hartanah, kemudian saya bertanyakan tentang harga rumah, harganya sekitar RM400 ribu ke RM1.2 juta.

Saya menggaru kepala sebentar, adakah ini jenis rumah mampu milik yang dikatakan atau sekadar rumah mampu tengok sahaja?

Tak mengapa, sekurang-kurangnya, mungkin rumah ini untuk orang Melayu yang kaya dan berada. Saya tetap bangga.

Yang terakhir saya bangga, setiap kali akan ada ucapan berkobar-kobar "Hidup Melayu", saya bersyukur kerana ada Umno dan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu masih untuk hidup dan ini semua kerana jasa Umno.

Bak kata ahli Umno, "Ini parti keramat orang Melayu". – 3 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments