Opinion

Siapa rugi, siapa untung kemelut MB Selangor?

Situasi dramatik dan tegang di Selangor lebih menarik berbanding ketika Datuk Seri Ahmad Said disingkirkan sebagai menteri besar Terengganu.

Jika kenduri anak dijadikan alasan Ahmad, lain pula di Selangor.

Di Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berdepan partinya sendiri dan pendedahan salah guna kuasanya juga didedahkan PKR.

Hal ini lebih menarik kerana kebiasaannya parti akan membela ahlinya tetapi tidak dalam situasi di Selangor, Khalid dibuli partinya sendiri.

Lebih menarik lagi, pihak berkuasa tidak mengambil langkah untuk menyiasat Khalid walaupun dikatakan ada bukti.

Buat kali pertamanya, pihak berkuasa berlembut dengan lawannya, siapa pun tidak boleh melupakan kes Teoh Beng Hock daripada DAP yang meninggal dunia di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor suatu ketika dulu.

Persepsi rakyat jelata, apabila tiada tindakan bermakna Khalid masih bersih.

Desakan PKR supaya Khalid disiasat juga tidak dilayan.

Tetapi dalam situasi ini, ada pihak yang rugi dan untung daripada keadaan ini.

Siapa rugi?

Pada ketika ini, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor paling rugi. Menang dengan majoriti besar tetapi krisis menteri besar ini membawa kesan lebih buruk.

Keyakinan dan kepercayaan rakyat tidak dapat dinafikan terhakis kepada PR di Selangor. Ramai yang menyoal, sebuah negeri pun tidak dapat tadbir dengan baik, bagaimana mahu perintah negara?

Paling rugi ialah PKR kerana hilang menteri besar daripada partinya sendiri dan jumlah kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga kurang daripada 14 kepada 13.

Khalid kini sudah menjadi Adun bebas.

Walaupun tidak ada daripada DAP atau PAS meminta kerusi menteri besar, jumlah kerusi PKR semakin mengecil di Selangor.

Paling rugi dalam situasi ini adalah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tokoh reformasi yang dihormati itu kini menerima kritikan paling hebat sama ada daripada rakyat atau pemimpin dalam PR sendiri.

Rakyat Selangor dan juga pembaca politik secara terbuka membidas Anwar, malah di dalam laman sosial kecaman lebih kasar diarahkan kepada Anwar.

Anwar mungkin individu yang membina partinya sendiri, tetapi dengan kemelut ini ramai melihat Anwar pula menghancurkannya sendiri.

Imej Anwar di mata rakyat Selangor bagaimana? Mungkin pilihan raya semula boleh menjadi ujian litmus untuk melihat sama ada Anwar ditolak atau tidak dalam krisis di Selangor.

Rakyat Selangor dilihat memihak kepada Khalid kerana gambaran pemimpin bersih banyak memberi beliau kelebihan.

Kalau dulu ramai yang mengkagumi Anwar, tidak mustahil pula kali ini ramai yang membencinya.

Perkiraan ini perlu diambil kerana apa yang dilakukan Anwar kepada Khalid adalah sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad lakukan kepadanya suatu ketika dulu.

Keadaan Khalid sama seperti Anwar semasa dipecat Dr Mahathir, dilondeh oleh partinya sendiri hingga meringkuk dalam penjara. Bezanya kini, Khalid ada pihak Istana di belakangnya. Anwar dulu tidak.

Rakyat juga rugi, negeri paling kaya tetapi bergelut dengan keadaan sebegini.

Tidak dinafikan, Umno juga rugi dalam situasi ini. Kenapa mereka rugi? Mereka rugi kerana sepatutnya boleh mengambil alih semula Selangor dengan mudah seperti yang dilakukan di Perak.

Tetapi situasi itu tidak berlaku kerana mereka tewas teruk dan sekadar menjadi parti minoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hanya 12 Adun. Jika tidak, tidak mustahil krisis seperti di Perak berulang lagi.

Bezanya disini, Umno masih trauma di Selangor.

Khalid juga rugi, kenapa? Bagi saya kalau dulu Khalid dianggap sebagai menteri besar terbaik PR, kini situasi ini sebaliknya berlaku.

Khalid tidak akan lagi dianggap sebagai menteri besar dihormati dan terbaik, segala kedegilan dan sikap keras kepalanya akan dikenang sebagai menteri besar paling payah dalam sejarah Selangor untuk disingkirkan.

Imej Khalid di kalangan rakyat mungkin berbeza, terpulang kepada mereka hakimi beliau.

Siapa untung?

Dalam kekecohan ini, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilihat berkelebihan kerana suatu ketika dulu ramai yang menuduhnya gila jawatan menteri besar.

Tetapi situasi tersebut kini beralih ke atas bahu Anwar, sikap Azmin yang lebih bersederhana dan tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi juga membantu persepsi rakyat kepadanya berubah.

Azmin boleh menarik nafas lega, tapi tidak Anwar. Anwar belum habis bersilat dengan Khalid.

Malah, kritikan dan pandangan Azmin terhadap Khalid selama ini terbukti benar, siapa lagi kalau bukan Azmin dan askarnya yang sanggup berdepan dengan Khalid?

Telahan dan andaian pakar matematik itu mengenai sikap Khalid nampaknya benar.

Mungkin Anwar sekarang menyesal kerana membuat keputusan melantik Khalid semula walaupun Azmin sejak awal lagi menentang langkah itu.

Adakah rakyat Selangor beruntung dalam situasi di Selangor? Ia mungkin menguntungkan jika pilihan raya semula diadakan, kemeriahan perniagaan dan pesta pilihan raya akan mengisi setiap pelosok negeri.

Ketika ini juga, wang dan projek juga berduyun-duyun masuk ke Selangor. Umno tidak mustahil melabur dengan banyak untuk mendapatkan semula negeri terkaya itu.

Bagaimanapun, ia masih awal untuk meramalkan pilihan raya semula.

Kesimpulannya, Luiz Felipe Scolari mungkin pernah membawa Brazil menjulang Piala Dunia pada 2002 tetapi kekalahan 7-1 dalam Piala Dunia kepada Jerman pada 2014 akan lebih dikenang.

Bagi Khalid, prestasi baiknya sepanjang menjaga Selangor mungkin juga akan dilupa selepas bersikap keras kepala dan membelakangi partinya. – 12 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments