Opinion

Abdullah Hussain dan mentaliti kerajaan dalam dunia sastera

Sasterawan Negara ke-8, Datuk Abdullah Hussain kembali ke rahmatullah pada 31 Disember 2014 lepas. Saya tidak kenal beliau melainkan karya-karya beliau, saya cuma kenal Datuk A Samad Said secara peribadi (sasterawan negara ke-4).

Pak Samad daripada segi watak dan karakternya sangat berbeza dengan sasterawan negara lain di negara kita ini. Dari dulu, kita boleh jumpa Pak Samad di mana-mana saja sama ada di jalanan mahupun di pentas 5 bintang. Nilai kemarhaenan beliau semakin menyerlah seiring usianya hari ini yang sudah menjangkau 79 tahun namun masih steady berjalan ke sana ke mari.

Sasterawan negara yang lain? Saya lihat mereka ini seperti tinggal di wilayah syok sendiri bersama para dewa, memuji sesama mereka. Kesannya, boleh tanya kebanyakan anak muda hari ini, kenal Datuk Baha Zain?

Untungnya badan sastera di negara kita ini, mereka mendapat dana yang banyak daripada kerajaan, mentaliti mereka adalah mentaliti kerajaan, maknanya ada atau tidak ada, mereka mampu terus melangkah. Walaupun golongan sastera konservatif ini makin terpinggir dari dunia anak muda zaman ini, mereka masih mendapat tempat dan sokongan daripada kerajaan.

Bukankah lebih adil jika dana yang sama juga diberikan kepada golongan independent yang tidak konservatif. Kita boleh lihat beza daripada segi penerimaannya hari ini. Sastera bukan milik satu kaum saja. Ia milik semua yang punya minat dan kefahaman.

Nilai faham pula tidaklah sama antara sesama kita. Kenyataannya hari ini anak-anak muda lebih suka pada program yang berbentuk independent. Tidak kiralah dalam genre muzik, sastera mahupun dalam penulisan.

Yang mereka anjurkan? Ramai jika didatangkan khas dari sekolah, IPTI dan UPSI. Jadi mereka masih berusaha memujuk untuk memberikan kefahaman pada pelajar sekolah tentang dunia sastera yang konservatif.

Kawan baik saya pernah berkunjung ke program Rumah Pena, anjuran Pena. Datangnya ke sana untuk cuba melihat apa yang ada di sana. Selain yang datangnya hanya kawan memuji sesama mereka saja, tidak ada apa yang menariknya kata kawan saya itu. Dia seperti orang asing yang berkunjung ke satu wilayah atau satu kaum yang yang menyapa sesama mereka saja.

Mungkin watak Usman Awang atau Shahnon juga menarik, tapi saya tidak kenal dan tidak duduk di zaman mereka. Apapun saya saya beli buku autobiografi Abdullah Hussain yang judulnya Sebuah Perjalanan beberapa tahun lalu.

Buku itu terbitan 1984. Saya ulang membacanya kerana buku itu bagi saya sangat menarik tentang perjalanan hidup seorang Abdullah Hussain. Saya juga pengkagum karya adik beliau Datuk Ibrahim Hussain, seorang pelukis lagenda negara kita yang juga sudah meninggal dunia, cuma saya tidak mampu untuk memiliki karyanya kerana terlalu mahal.

Perjalanan hidup arwah memang menarik. Ceritanya bermula dari zaman kanak-kanak (mungkin sekitar 1930-an saya kira sebab beliau lahir pada 1920), antaranya kisah beliau diekori, bertemu dan berlawan dengan hantu sehinggalah beliau bertemu P Ramlee pada hari terakhir beliau sebagai pengarang di majalah Gelanggang Filem milik P Ramlee.

Saya tahu karya Interlok pada 1971 menjadi kontroversi walau tidak sekontroversi karya Shit tulisan Datuk Shahnon Ahmad, yang juga sasterawan negara ke-2 (1982).

Sasterawan negara adalah anugerah diberikan kepada mereka yang menyumbang dalam bidang sastera bahasa Melayu di Malaysia. Memanglah mereka ini orang hebat, penerima anugerah sastera yang paling berprestij di negara kita ini.

Datuk Dr Anwar Rizwan pula merupakan penerima anugerah Sasterawan Negara ke-10 pada 2009. Saya beli juga karya beliau ‘Naratif Ogonshoto’ di Rumah Pena dalam sebuah majlis sastera yang berlangsung waktu itu.

Manakala Datuk Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain pula dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-12 pada 15 Mac 2013. Cuma persoalannya, ramaikah anak-anak muda hari ini yang kenal Datuk Baha Zain?

Yang kenal mungkin segelintir saja, itu pun cuma di kalangan mereka yang mengikuti perkembangan sastera secara khusus.

Datuk Baha Zain sering ke Rumah Pena waktu saya selalu ke sana dulu saban bulan, kerana beliau memang orang penting, dihormati dan diraikan di sana. Saya selalu juga menonton beliau bersajak dalam bahasa yang indah tapi berkesan. Caranya cara orang lama, kiasnya cara orang lama yang banyak makan garam.

Hari ini, seperti saya melihat Pena (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) seperti sebuah pentas yang jauh di kayangan sana, yang terpencil dan yang tinggal hanyalah mereka yang seakan para dewa-dewa yang hanya memuji antara sesama mereka, begitulah saya melihat jarak antara Datuk Baha Zain (yang pernah menjadi presiden Pena pada 2008-2010) dan anak muda hari ini.

Seperti yang dikatakan Baha Zain itu Pena, Pena itu Baha Zain, persoalan dan cabarannya, masih relevankah Pena untuk mewakili suara anak muda hari ini yang nyata dan nampaknya semakin jauh dan tersisih daripada mereka?

Dunia sastera dan budaya hari ini semakin terbuka. Ini bukan masanya kita bermadah seloka sambil mengajak masyarakat menerima dan datang kepada kita dalam bentuk yang kita mahu. Ini zaman di mana kita harus belajar bagaimana mahu memahami kehendak dan mahu mereka. – 8 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments