Opinion

Ada apa dengan Bob Dylan

Ada antara mereka yang bertanya mengapa saya minat Bob Dylan, folk singer-songwriter lagenda dari Amerika Syarikat itu?

Suaranya sudahlah tidak sedap, makin lama makin tidak sedap, sehingga saya sendiri pun tidak sanggup mendengar suaranya dalam album-album selepas album Saved (1980), pun saya beli juga album Empire Burlesque (1985), Time Out of Mind (1997) dan Modern Times (2006).

Saya dengar lagu Can't Help Falling in Love With You versi Dylan yang terkandung dalam album terbitan tahun 1973 yang judulnya ‘Dylan’ di penghujung tahun 70-an dulu, kemudian barulah saya dengar versi Elvis.

Saya masih suka versi Dylan berbanding mana-mana versi penyanyi popular dunia, walaupun suara mereka 10 kali ganda lebih merdu dari Dylan.

Saya mendengar lagu-lagu Dylan melalui abang saya, penyanyi Sohaimi Mior Hassan yang juga merupakan peminat Dylan. Abang saya sempat menonton konsert Dylan sewaktu dia belajar di UK tahun 70-an dahulu dan pernah bersalam dengan penyanyi folk itu.

Dan perkara paling penting apabila saya menatap sisi dan imej Dylan itu sendiri, ianya jika kita lihat dari sudut pencerahan atau hijab dalam muzik, hijab saya terbuka waktu itu apabila melihat Dylan itu sendiri dari sudut kesederhanaannya dari pelbagai sudut.

Maknanya sebelum itu saya selalu berfikir untuk menjadi seorang artis perlulah kita bergaya dengan baju coat, cermin mata hitam, berposing lagak artis 60-an dulu dan selalu tersengih bila mengadap kamera.

Dylan sangat biasa dari segi imej dan penampilannya. Album ketiganya 'The Times They Are a Changin' terbitan tahun 1964 dengan gambar wajahnya yang berserabut dan tidak cukup makan itu, juga cover album 'Street Legal' terbitan tahun 1978 benar-benar mengubah persepsi saya tentang dunia muzik dan artis secara keseluruhannya, sehingga membuatkan saya bercita-cita untuk menjadi folk singer songwriter satu hari nanti.

Dari sudut yang lebih realistik serta kejiwaan, kita boleh lihat imej luaran itu bukanlah suatu yang penting sangat untuk dinilai. Kejujuran itu lebih bererti jika kita melakukan sesuatu itu yang lahir dari dalam jiwa.

Saya banyak belajar perkara dalam kehidupan dari pelbagai aspek dari lirik lagu Dylan umpamanya My Back Pages, Master of War, Blowin in the Wind, I’ll Keep it With Mine, Positively 4th Street dan banyak lagi.

Saya tidak nampak imej dari penyanyi yang punya konsep dan kejujuran melainkan kumpulan Kembara dan Sohaimi Mior Hassan. Selainnya kebanyakan artis seperti burung belatuk, hanya tahu menyanyi dan mengejar glamour dan impian sebagai seorang artis.

Untungnya mereka di kalangan komposer dan penyanyi cari makan ini, masyarakat terutamanya orang Melayu memang sukakan lagu-lagu yang bentuk, melodi juga mesej yang sama dari zaman dulu sampailah sekarang.

Mesej yang sama itu perlulah lagu-lagu cinta yang bernada kecewa dan putus asa. Ini bukan kemahuan para artis, bukan sepenuhnya kemahuan komposer juga melainkan kehendak syarikat rakaman itu sendiri.

Baru-baru ini saya berbual dengan Sam Cromok, katanya kumpulan Cromok pernah diminta menyanyikan 5 lagu slow dan 5 lagu metal sewaktu pembikinan salah sebuah album mereka dulu. Tetapi mereka kekal dengan nilai idealisma, konsep dan nilai kreativiti yang mereka perjuangkan dalam muzik mereka.

Kalau mahu lagu itu popular, melodinya perlu seakan sama dengan lagu popular sebelumnya.

Tidak hairanlah komposer terkenal seperti M Nasir mampu hidup senang dengan mencipta lagu-lagu yang melodinya stereotaip dari era Senandung Semalam (Alleycats) sampailah ke Sampai Hati (Spring).

Dalam bab penulisan dan mesej dalam lagu, Dylan antara yang terbaik. Dia juga menyanyikan lagu cinta dan putus cinta, tetapi dalam nada yang penuh dengan keegoan seperti lagu 'If You See Her, Say Hello' mahupun 'Don't Think Twice', 'It's Alright', 'I’ll Be Your Babe Tonight' ataupun 'I Want You'.

Maknanya mesej yang disampaikan ialah kita sebagai manusia perlu kuat dan keras dalam menangani apa jua masalah dalam kehidupan, apatah lagi jika kita lelaki. Dan yang paling penting nilai rugged dalam jiwa seorang lelaki itu perlu ada, umpama sumbu semangat itu perlu sentiasa menyala sentiasa.

Ini kalau frust dengar pula lagu yang meleleh dan putus asa seperti Sampai Hati atau lagu-lagu yang senada dengannya terutama lagu-lagu di zaman rock kapak dulu, lagilah berserabut fikiran kita.

Ramai para lelaki yang kecewa cinta singgah ke port busking saya dalam keadaan nazak akibat gagal dalam percintaan. Ada yang minta lagu Ku Cari Damai Di Hati (Gingerbread), Sampai Hati (Spring) dan lagu-lagu yang bernada kecewa dan putus asa belaka.

Sehingga ada kawan yang singgah bertanya mengapa saya selalu menyanyikan lagu-lagu cinta yang sedih, tidak kira samada Inggeris mahupun Melayu. Saya di situ bekerja untuk cari makan, majoriti memang suka lagu yang begitu, jadi saya perlu enjoy dengan apa yang saya lakukan.

Saya sudah sampai di satu level yang saya sudah menerima apa yang diperuntukkan untuk nasib dan takdir saya seadanya. Pun begitu nilai idealisma itu masih ada dalam album-album saya. Yang itu saya anggap tanggungjawab saya sebagai seorang pengkarya.

Abang saya pernah berkata kepada saya, “Tidak usah nak jadi Dylan lah”.

Perjalanan jiwa adalah suatu yang misteri. Kita tidak akan tahu apa ceritanya kerana kita hanyalah pengembara yang mengikut rentak kaki takdir yang bergerak. – 20 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments