Opinion

Ada apa dengan Tuhan

Jika kita memahami konsep alam dan kehidupan ini daripada sudut hakikat dan kebenaran, tiada apa yang kita mampu lakukan kerana segalanya sudah berada dalam perencanaan hukum Tuhan dan alam yang tercipta.

Takdir umpama serakan yang katanya 'Kun Faya Kun' maka jadilah. Dalam kehidupan, kita sedang meniti perjalanan dan takdir cerita kita dan alam ini.

Yang ada pada kita hanyalah watak, sama ada baik mahupun jahat untuk melengkapkan cerita takdir yang sudah tertulis di luh mahfuz sana.

Kita melihat kehidupan dan sifatnya, apakah kita boleh mengubah nasib si cacat itu menjadi sihat dengan izin Tuhan? Apakah kita dapat mengembalikan si mati yang kita sayangi itu hidup kembali untuk meneruskan episod kegembiraan yang katanya milik kita ini?

Apakah dengan hanya berdoa agar diturunkan segudang emas, akan terlaksana doa kita itu? Lihat manusia yang tidak berdosa dibunuh dengan kejam, kita pun berdoa dan mengadu kepada Tuhan agar menunjukkan kebenaran.

Maka sedarlah kita segala doa hanya untuk menambah dan menguatkan keyakinan kita saja Tuhan itu sentiasa ada untuk kita walau Dia hanya diam seakan tidak berfungsi terhadap cerita-cerita baik buruk dunia ini.

Tidak hairanlah Iwan Fals, penyanyi legenda Indonesia (sewaktu zaman rebelnya) dalam sebuah lagunya pernah mempersoalkan hukum dan kekuasaan Tuhan bertajuk ' Tolong Dengar Tuhan' yang sebahagian liriknya saya sertakan di bawah ini:

“Hingar tangis karena adabmu

Setiap detik duka berpadu

Semakin keras jerit tak puas

Dari mereka yang resah bertanya

Adilkah keputusanmu?

Acap kali rintih memaki

Setiap duka tuding Ilahi

Jangan salahkan kecewa kami

Bosan dalam irama takdirmu

Walau ku tak terganggu

Bukankah kau maha tahu

Pengasih penyayang

Namun mengapa selalu saja

Itu hanya cerita”

Walau kita menjerit meraung dan mempersoalkan Tuhan dan perencanaannya, kelangsungan cerita dunia tetap juga berjalan seperti biasa. Yang korup masih dengan cerita korupnya, yang rakus masih dengan rakusnya, yang membunuh masih membunuh, yang baik masih tetap dengan watak baiknya.

Maka berbaliklah kita kepada asal dan usul kejadian. Saat ditiupkan roh ke jasad, maka bernyawalah kita, sesuci bayi tanpa dosa. Roh itu adalah sebahagian cerita dan rahsiaNya. Roh itu juga semangat yang membentuk kehidupan kita juga dunia ini.

Maka selagi hidup, kita wajib mengenal roh kerana roh adalah sebahagian dari ceritaNya. Apabila pulang roh itu akan kembali kepada pencipta, mahunya dalam keadaan suci seperti bayi yang baru lahir.

Walau nilai pengetahuan kita tentang roh atau zat hanya setitis daripada seluas lautan luas, itulah yang membentukkan cerita dan takdir dunia. Semangat akan menjadikan manusia itu baik atau jahat kerana kehendak akal dan nafsu hal dunia dan permasalahannya.

Tuhan tidak akan berbuat apa-apa untuk umat manusia, kerana adalah perlu watak jahat dan baik itu sama-sama dimainkan oleh para pelakon iaitu kita umat manusia. Jika Tuhan mahu matikan watak jahat, iblis tidak akan diwujudkan ke dunia untuk menghasut anak cucu Adam.

Semangat hadir dalam setiap insan di dunia, menggerakkan mereka untuk berbuat baik mahupun jahat. Segalanya bergantung pada kehendak dan nawaitu kita dalam kehidupan ini.

Apakah Gaza yang sedang bergolak akan kembali aman? Kita lihat rakyat dan anak kecil bermandi darah dan ramai nyawa yang terkorban dibunuh para tentera Israel yang sedang memainkan watak jahat mereka dengan rakusnya.

Apakah dengan doa dan ratapan kita kepada Tuhan akan memenangkan hak dan kepercayaan kita, di mana yang jahat dikalahkan yang baik dimenangkan? Semua kita sedia maklum walau apa agama di seluruh dunia mengecam tindakan Israel terhadap Palestin.

Yang tidak ambil berat dan kisah hanya negara-negara Arab sendiri, seperti Arab Saudi yang enggan masuk campur. Mesir pula bukan sekadar menutup bantuan kemanusiaan, bahkan menutup sempadannya dengan Palestin, Syria pula sedang bergolak.

Mereka ini sejak dari dulu tidak pernah bersatu, malah bodoh sombong belaka. Memang payah jadi umat Islam di mana-mana kita berada di dunia ini, hatta di Malaysia sekalipun. Bak kata Dr Mahathir Mohamad:”Nak buat macam mana. Di negara kita pun umat Islam cukup payah nak bersatu. Nak kata pada orang lain macam mana?"

Kita lihat pemahaman kita tentang Islam juga hanya berlegar di ruang nafsu dan angan-angan saja. Kita tidak akan punya inisiatif untuk lebih mendalami makna kebenaran kerana ia tidak glamor dan tanpa angan-angan, sedang itulah inti asas kepercayaan dalam mengenal hakikat kehidupan ini dengan lebih rasional.

Ini kalau ada ceramah agama, ceritanya hanyalah berkisar tentang fekah dan lawak jenaka belaka, tentang bagaimana mahu mengumpul pahala sebanyak mungkin di bulan puasa. Bagaimana indahnya syurga di akhirat nanti ditemani bidadari yang cantik-cantik belaka.

Sewaktu saya di tingkatan 1, ustaz pernah bercerita, kalau masuk syurga nanti hendak minum arak sampai satu tong dram pun boleh. Adakah syurga ceritanya masih berkisar tentang nafsu juga? Sedang yang kita mahu hadap hanyalah wajahNya semata?

Walau saya tidak tahu banyak, tapi saya pasti golongan yang berkepentingan biasanya akan sentiasa menafikan kebenaran, walau kebenaran itu milik Tuhan pencipta alam. – 17 Julai 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments