Opinion

Antara Fals, Dylan dan muzik folk

Iwan Fals dan Bob Dylan adalah antara penulis lagu folk bertaraf lagenda yang masih hidup sehingga hari ini. Hari ini mereka sudah menjangkau usia demi usia dan berasa selesa dengan apa yang dimiliki sepanjang bergelar "folk singer".

Hari ini, Fals sudah menjangkau 53 tahun, tidaklah terlalu tua tetapi saya melihat beliau seperti orang tua yang seakan penat, baik dalam bicara mahupun bila berada di pentas apatah dari segi karya.

Fals atau nama sebenarnya Virgiawan Listanto, lahir pada 3 September 1961 di Jakarta,  merupakan ikon muzik Indonesia bertaraf lagenda dan punya pengaruh kuat terhadap anak-anak muda dari zaman awalnya sehinggalah ke hari ini.

Dylan pula sudah berusia 73 tahun, saya langsung tak dengar lagu-lagu baharu beliau hari ini. Album akhir Dylan yang saya beli, Modern Times (2006). Apa yang saya faham, Dylan mahupun Fals sudah tidak ada apa-apa untuk diceritakan. Mereka di sini hanya meraikan sisa-sisa hidup yang masih berbaki.

Ramai penyanyi folk yang tak lepas. Tidak kira sama ada di zaman Dylan mahupun Fals. Di zaman Dylan waktu itu, ada Phil Ochs yang paling menonjol, Rodriguez, Rod Van Zant antaranya. Pete Seeger berkarya sebelum Dylan, pun tahap dan pencapaiannya tidaklah segemilang Dylan.

Zaman Fals pula yang paling menonjol, Frank Sahilatua, Leo Kristi, Sawong Jabo dan Ebiet antaranya.

Ebiet kalau di Malaysia mahupun di Asia lebih popular dan dikenali berbanding Fals walau Fals yang paling popular di sana, terutama di kalangan anak-anak muda Indonesia.

Cuma Ebiet kurang nilai rebel dalam diri mahupun karyanya. Protesnya lembut dan penuh adab berbanding Fals yang lantang dan lepas.

Antara Dylan dan Fals, mereka punya banyak persamaan sebenarnya. Kedua mereka melalui musim yang hebat sepanjang bergelar pengkarya. Dari segi pakej, mereka adalah anak muda yang kacak, punya karisma untuk bangsa mereka. Dari segi pengkaryaan pun, karya-karya mereka lebih variasi dan masih punya lagu-lagu cinta yang bijak dan punya mesej.

Mereka juga adalah anak muda yang berjiwa rebel. Kebanyakan penyanyi folk adalah berjiwa rebel, baik dari segi imej mahupun melalui karya mereka.

Timing atau kehadiran mereka juga sesuai di zaman mereka. Dylan dikenali kerana kerana perang Vietnam dan lagu-lagu protes anti-perang. Masyarakat terutama anak-anak muda dahagakan lagu-lagu yang sebegitu untuk memotivasikan diri menjadi anak muda yang kental dan rebel.

Fals juga meletup di era Suharto yang memerintah negaranya secara kuku besi. Album pertamanya diterbitkan pada tahun 1975 dengan kos rendah yang berjudul "Amburadul", namun album itu gagal sehinggalah pada 1981 melalui syarikat rakaman besar (Musica Record), album "Sarjana Muda" diterbitkan dan waktu itu. Barulah beliau mula dikenali apatah penerbitnya Willy Soemantri, seorang penerbit yang berpengalaman dan punya nama di Indonesia. Dalam album ini, lagu Oemar Bakri meletup di pasaran.

Dylan merakamkan album pertama pada 1963, diterbitkan oleh John Hammond. Album tersebut kosnya murah, hanya sekitar AS$402 sahaja. Walaupun Dylan fikir Hammond gila kerana sanggup menerbitkan albumnya, Hammond pula bepandangan jauh dan bijak.

Ini mengingatkan saya kepada Ebiet yang albumnya diterbitkan oleh Jackson Arief dan susunan muzik oleh Billy Budiarjo pada tahun 1979 dulu.

Dari segi pakej memang Ebiet kurang, tapi Jackson melihat nilai yang ada pada Ebiet lebih daripada itu sehingga sanggup mengeluarkan bajet besar untuk album pertamanya.

Bikin album adalah satu perjudian sebenarnya. Apatah jika album dan penyanyi itu tidak mempunyai pakej dan nilai komersial yang tinggi. Mungkin kita akan kalah, kalah dan menang pula seterusnya.

Album pertama Dylan yang mengambil judul namanya pun hanya dipenuhi lagu-lagu cover. Hanya dua lagu sahaja hasil karangannya sendiri. Itu hanya album pengenalan sebelum Dylan dikenali dengan album "Freewheelin" pada tahun yang berikutnya.

Perkara paling penting adalah tahap dan nilai penerimaan masyarakat dalam karya yang berunsur folk. Fals beruntung kerana sebelum beliau, penyanyi Gombloh sudah menempa nama sebagai penyanyi dan penulis lagu folk terkenal di sana. Juga, nilai penerimaan masyarakat di sana lebih terbuka sejak era Chairil Anwar lagi. Penduduk pula berjumlah hampir 300 juta, jadi kalau kita bikin apa album pun, masih boleh jual.

Di negara kita ini, penduduk hanya berjumlah 27 juta orang. Yang mendengar program realiti atau yang sewaktu dengannya mungkin 70%. Wartawan hiburan pula kurang ilmu pengetahuan tentang muzik apatah lagi muzik folk, melainkan bagaimana untuk mencantikkan badan dan luaran sahaja.

Jadi yang menjadi mangsanya adalah pengkarya seperti saya dan rakan seperjuangan yang masih cuba kekal dengan konsep muzik folk walau pendengar kami hanyalah di kalangan mereka yang minoriti.

Folk adalah tentang kehidupan, alam, kemanusiaan dan Tuhan. Kurang nilai material di dalamnya melainkan kejiwaan. Mungkin itu sebabnya ianya sukar diterima di kalangan anak-anak muda yang lebih suka pada keindahan luaran dan glamor semata. – 26 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments