Opinion

Antara K-pop dan imej Islamik hari ini

Saya senang dengan komen Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tentang isu beberapa orang gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium oleh ahli kumpulan K-Pop, B1A4 baru-baru ini. Komen di dalam akaun Twitternya, “Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tall, dark and handsome. Bukan pale, skinny & pretty. Itu bukan lelaki sejati."

Apabila seorang menteri memberi kenyataan yang mewakili dunia anak muda hari ini sesuai dengan statusnya sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya kira itu bermakna beliau jenis yang memahami daripada cepat menghukum.

Maknanya apabila mereka yang berkenaan itu membaca kenyataan Khairy, mereka mungkin masih boleh tersenyum walau sedikit tersentak dan mungkin juga dapat menerima nasihat berbentuk santai sedemikian.

Apabila seorang menteri memberi respons dalam apa juga isu yang melibatkan dunia anak muda, maknanya beliau ini jenis yang ambil beratlah dan mahu menjadi sebahagian daripada pemikiran dan budaya mereka, anak muda dan remaja.

Perbuatan anggota kumpulan B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas KL Live baru-baru ini di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, menjadi 'viral' di media sosial.

Apabila puak-puak agama dan respons daripada ramai pihak yang menyatakan rasa ketidakpuasan hati dan mencemuh, itu menjadikan keadaan menjadi semakin rumit dan serius. Biasanya apabila sesuatu itu melibatkan isu moral dan Islamik, memang akan cepat mendapat perhatianlah.

Budaya K-pop memang menggila di negara kita zaman ini. Saya sampai saat ini tak tahu di mana dan apa yang menariknya budaya K-pop ini? Yang si lelaki bawah umur 20 tahun atau awal 20an dengan muka lawa, dengan si gadis macam muka anak patung, apa yang menariknya sehingga ramai para remaja kita tergila-gilakan mereka?

Apa yang mereka jaja dan sajikan untuk menjadi santapan minda remaja kita? Pertamanya, wajah yang kacak dan lawa. Itu yang paling penting. Untuk budak-budak yang otak mereka baru nak berkembang ini memang mudah terpengaruh.

Yalah, takkan nak minat Saleem? Muka bukannya handsome. Suara bagus, itu tak cukup syarat. Faizal Tahir? Ada lagi ke Faizal Tahir? Anuar Zain? Itu dah makin tua, kata mereka. Hafiz pula? Bolehlah tapi kalau nak banding dengan artis K-pop, jauh sangat bezanya dari segi kacak dan lawa, Justin Bieber pun boleh kalah, inikan pula Hafiz?

Lagu Korea bukannya sedap sangat, cuma saya bersetuju jika dikatakan muzik dan hiburan berjaya menaik dan memberikan keuntungan kepada negara mereka dari sudut industrinya.

Tiket untuk menonton konsert mereka bukannya murah. Seorang kawan saya pada tahun lepas pernah  menemani anak perempuannya menonton konsert kumpulan muzik popular K-pop dari Korea Selatan di Stadium Bukit Jalil. Kawan saya ini peminat muzik rock dan metal, pun tidak berkesempatan menonton konsert Metalicca yang turut berlangsung sebelum itu.

Budaya muzik K-pop masuk dan menyelinap ke dalam pemikiran remaja di seluruh dunia secara drastik dan menyeluruh sebenarnya. Dengan imej dewa dan dewi, fesyen malah segalanya menjadi ikutan.

Adalah sesuatu yang ‘miracle’ kerana walau kita tidak memahami apa bahasa dan budaya mereka, kita masih tergila-gila alam produk yang mereka hidangkan. Pakej yang dihidangkan adalah ‘pakej kesempurnaan’ tanpa sedikit pun cacat celanya.

Apabila gadis remaja yang memakai tudung dengan imej Islamik dipeluk artis K-pop, siap dikucup dahi lagi, itu sebenarnya pemandangan biasa sahaja di negara kita ini. Pemandangan sedemikian bukanlah suatu yang pelik. Cuma tindakan mereka itu seakan mencabar jabatan agama Islam di negara ini.

Saban hari saya di KL Sentral, macam-macam jenis watak manusia yang boleh kita tonton. Bak kata Alleycats dalam lagunya, “kita tak perlu beli tiket atau bayar cukai, untuk menonton drama, drama kehidupan”.

Lelaki dengan perempuan dengan imej Islamik berpeluk, lelaki dengan lelaki berpeluk, perempuan dengan perempuan berpeluk, itu sudah menjadi pemandangan yang biasa di zaman ini. Bahkan ada yang berpurdah pun jalan berpegangan tangan dengan “boyfriend”nya.

Banyak kejadian perempuan yang bertudung ditangkap dalam tandas perempuan di KL Sentral kerana mencuri dan sebagainya. Pakaian dan imej Islamik hari ini bagi saya tidak lebih sekadar fesyen yang menguntungkan semata dan nyata apa saja yang melibatkan islamik, tentunya akan laku dan diterima ramai.

Saya tidak ada masalah dengan golongan Islamik yang bertudung mahupun yang berkopiah. Cuma apabila kita menggayakan fesyen yang Islamik, kita perlu menjaga imej baik dan Islamik kita itu di mata khalayak.

Dalam zaman yang serba moden hari ini, watak hanyalah sekadar watak yang akan dan sedang bermain di sekeliling kita. Kita mungkin akan terpedaya dengan apa yang kita lihat dan tonton. Mulut yang manis dan wajah yang indah masih menjadi bahan jajaan untuk mengindahkan ruang nafsu di tekak kita.

Keluar dan tontonlah realiti di depan mata kita. Jalanan adalah pentas terbaik untuk kita tonton cerita yang realistik sifatnya. Jangan risau, kita tak perlu beli tiket atau bayar cukai untuk menonton drama kehidupan! – 15 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments