Opinion

Antara Maurice White dan Gerry Lachica

Bila bercerita tentang muzik, yang membezakan kita adalah pengetahuan dan ilmu tentang muzik itu sendiri. Muzik bukan sekadar pop dan komersial. Ada jazz, funk, rock dan sebagainya.

Di Malaysia, nama “Earth, Wind and Fire” (EWF), sebuah band atau kumpulan muzik yang penting untuk diingat sebagai sebuah band yang berperanan mengubah era “black pop” di tahun 70-an dulu daripada segi bunyi, konsep dan sebagainya, mungkin hanya dikenali di kalangan pemuzik ataupun peminat muzik.

Maurice White, pengasas kumpulan muzik yang berkonsepkan funk n soul ini, yang bagi saya antara band yang terhebat di dunia, baru saja meninggal dunia pada 3 Februari yang lalu dalam usia 74 tahun setelah menderita penyakit Parkinson sejak hujung tahun 80-an lagi.

Tower of Power pun bagus, terutamanya dari segi ‘horn section’ mereka yang mantap, tetapi EWF lebih bagus daripada segi pakej dengan kombinasi antara gandingan vokal mantap Philip Bailey yang falsetto dan suara tenor Maurice selain lagu-lagu mereka yang berkualiti seperti “Let’s Groove”, “September”, “Boogie Wonderland” dan “Fantasy” antaranya.

Tidak hairanlah band ini dinobatkan sebagai antara band yang paling berpengaruh di abad yang ke-20. Muncul dengan album pertama mereka sejak tahun 1971 lagi sehinggalah ke hari ini nama EWF masih lagi aktif bermuzik dan berkarya.

Album-album mereka berjaya terjual sehingga melebih 100 juta unit di seluruh dunia. Tulang belakangnya tentulah Maurice yang berjaya menaikkan EWF sebagai sebuah band yang disegani di seluruh dunia.

Maurice ‘genius’ dalam bidangnya sebagai seorang penerbit, ketua kumpulan, penulis lagu dan pemuzik. Seperti saya melihat Stevie Wonder, Al Jarreau atau Ray Charles, begitulah saya melihat Maurice.

Genre muzik yang mereka bawa, R&B, funk and soul bukanlah popular di negara kita ini. Tapi satu dunia kenal EWF. Untuk rujukan bagi komposer muda, karya mereka terbaik untuk dijadikan sebagai bahan atau rujukan.

Cuma simpati saya terhadap nasib Maurice yang mengalami sakit Parkinson sejak hujung tahun 80-an. Bayangkan daripada seorang yang aktif di pentas akhirnya menjadi tepu dan slow gara-gara penyakit Parkinson. Itulah juga nasib yang menimpa personaliti besar dunia seperti Muhammad Ali dan Michael J Fox.

Sejak akhir-akhir ini ramai artis besar dari dalam mahupun luar negeri yang meninggal dunia. Bila umur semakin meningkat, tidak ada apa yang dapat menghentikannya. Mati akan menjemput siapa sahaja tidak kira siapa pun kita.

Itulah, Maurice sudah mencapai pencapaian dan pengiktirafan yang tertinggi dalam hidupnya sebagai pemuzik yang hebat, tapi itulah juga, selama belasan tahun dia menderita kesan Parkinson yang membantutkan kenikmatan hidup dan duniawi seorang bernama manusia yang berkehendak.

Duit banyak, apa yang nak semua boleh dapat pun tidak bermakna jika kita tidak lagi dapat merasainya, tapi ketentuan Tuhan adalah segalanya.

Gerry Lachica atau nama Islamnya Gerry Irfan Abdullah , antara pengasas kumpulan Flybaits, sebuah kumpulan muzik bertaraf lagenda yang sangat popular di negara kita ini pada awal tahun 80-an dulu dengan lagu hit mereka seperti “Kenangan Lalu”, “Cahaya Cinta”, “Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta” dan “Sepi Datang Bertamu” antaranya, meninggal dunia pada 17 Februari yang lalu akibat penyakit barah hati.

Dalam Flybaits, yang paling dikenali tentulah Fredo, Eddie Marzuki, juga Atan. Namun Gerry ini salah satu tulang belakang yang penting dalam Flybaits sebagaimana saya melihat John Paul Jones dalam Led Zeppelin.

Flybaits satu nama yang sangat gah di era kelab malam di tahun 70-an dulu terutamanya di Singapura. Mereka ini ‘multi-talented’, setiap anggota boleh menyanyi dan bermain berbagai alat muzik. Sehinggalah kita kenal mereka sebagai artis rakaman yang punya sejumlah lagu hit kesukaan ramai.

Gerry kurang mendapat perhatian kerana dia bukan penyanyi utama, namun dia adalah sebahagian nadi yang penting di dalam Flybaits.

Flybaits sebuah kumpulan yang sangat mantap, namun masih perlu ‘survive’ untuk hidup sebagai pemuzik, tidak seperti EWF yang pasaran muzik mereka ‘worldwide’. Itulah yang membezakan dan itulah kenyataan jika kita memilih untuk menjadi seorang pemuzik di Malaysia mahupun di Singapura.

Boleh hidup, tapi perlu bekerja untuk terus hidup, bukan untuk jadi kaya dengan muzik. Di Malaysia, tidak akan ada pemuzik walau sehebat manapun mereka ini, yang jadi jutawan dengan menjadi pemuzik, kecuali seorang 2 artis mahupun personaliti yang berjaya melepasinya.

Pasaran kita kecil dan terhad. Nak tembus Indonesia pun susah, kalau tembus pun bukan artis yang buat duit, melainkan syarikat rakaman. Nama Search, Iklim, Saleem mahupun Amy memang besar di Indonesia, tapi setakat nama dan ‘glamour’lah. Untung dapat ke syarikat rakaman.

Kefahaman masyarakat tentang muzik pula tak sampai-sampai walaupun sehingga 200 tahun lagi. Jadi jika berfikir untuk menjadi pemuzik, saya rasa jual burger atau keropok lekor lagi buat duit. – 25 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments