Opinion

Antara Pink Floyd dan Dlloyd

Album terbaru Pink Floyd bertajuk Endless River. – 27 Ogos, 2015.Album terbaru Pink Floyd bertajuk Endless River. – 27 Ogos, 2015.Sekumpulan anak muda dengan imej rambut panjang yang rugged datang kepada saya baru-baru ini. Mereka ahli sebuah kumpulan muzik yang cuba membawa konsep muzik Pink Floyd, band bertaraf legenda dari UK.

Sekurang-kurangnya mereka ini faham tentang muzik yang 'real' dan peminat Pink Floyd, itu bagi saya sudah mencukupi daripada mereka melayan lagu Faizal Tahir, Anuar Zain mahu pun muzik K-pop yang menjadi kegilaan anak muda zaman ini.

Malangnya, di sini kebanyakan mimpi anak muda yang bercita-cita tinggi, tidak sampai yang akhirnya setelah gagal barulah mereka mula berpijak kepada kenyataan. Sebab utamanya tahap penerimaan masyarakat dan anak muda zaman ini yang lebih ke arah K-Pop dan glamor berbanding muzik yang lebih memberi kesan pada jiwa.

Untuk hidup yang lebih nyata dan realistik, dengarlah lagu D'lloyd, juga band bertaraf legenda kelahiran Indonesia yang ditubuhkan pada 1969. Kalau dalam dunia busking, dan kita ini di Malaysia, kebanyakan orang tidak faham muzik Pink Floyd.

Mereka lebih kenal D'lloyd berbanding Pink Floyd. D'lloyd yang teraju utamanya Sam atau nama sebenarnya Syamsuar Hasyim dan Bartje Van Houten sangat popular di negara kita pada 1970-an dulu.

Saya dan rakan busking akan menyanyikan lagu D'lloyd sewaktu busking dan pengunjung menyukainya. Saya boleh menyanyikan lagu Pink Floyd daripada album mereka Animals, Final Cut, The Wall antaranya jika saya mahu, tapi adakah mereka akan faham?

Tidak ada gunanya jika kita hanya syok sendiri. Jalan itu perlu 2 hala, ada tindak balas dan respons berbanding hanya satu hala saja. Teori dan praktikalnya sangat mudah, kita menyanyi dan mereka menghargainya dengan sumbangan. Adalah tidak berbaloi jika kita penat melalak dan bermuzik yang hasilnya kita dapat hanyalah sedikit, lainlah jika kita ini melakukannya bukan sebab duit.

Muzik D'lloyd sangat simple. Kebanyakan lagu mereka melodinya seakan sama. Daripada segi lirik pun begitu, sangat mudah dan tidak berbelit-belit. Muzik mereka sesuai dengan pemikiran dan level orang Melayu.

Tidak hairanlah D'lloyd begitu terkenal di negara kita ini sehingga mereka pernah bikin konsert besar di Malaysia pada penghujung 1970-an dulu.

Bercerita tentang Pink Floyd pula, orang kita mungkin kenal Pink Floyd, cuma pada kemeja T saja. Tidak hairanlah pada zaman ini para warga asing dari Bangladesh mahupun Nepal yang bekerja sebagai buruh kontrak di sini pun pakai kemeja T Pink Floyd.

Kebanyakan pendengar pun hanya kenal lagu Another Brick in the Wall, lagu hit daripada album The Wall (1979). Di pub pun begitu, kita akan menyanyikan lagu yang disukai pengunjung seperti lagu More Than I Can Say (Leo Sayer) berbanding lagu yang serius mesejnya.

Pink Floyd sebuah jenama yang sangat kukuh. Mereka ini tidak perlu bikin album, hanya jual merchandise saja, itu sudah cukup menjadikan mereka kaya-raya. Setiap album mereka tidak kira sama ada pada era Barret di penghujung 1960-an dulu, Waters mahupun Gilmour, akan laku di pasaran UK mahupun AS, malah di seluruh dunia juga.

Terbaru Gilmour dan Mason mengeluarkan album baru mereka, Endless River (2014) setelah lama tidak muncul dengan album sejak Division Bell (1994). Album ini pun ramai yang sudah membuat pesanan awal sebelum kemunculannya di pasaran.

Endless River bukanlah album yang bagus daripada segi konsep dan mesejnya. Muziknya mendatar, liriknya yang ditulis isteri Gilmour bukanlah berkualiti sangat berbanding lirik Water's. Saya bukan peminat Gilmour walau saya suka petikan gitarnya. Pink Floyd bagi saya ialah Waters-Gilmour.

Album Pink Floyd pada era Gilmour tidaklah menarik sangat bagi saya, terutama album A Momentary Lapse of Reason (1987). Division Bell (1994) pun sedap, tapi Animals, Final Cut, Dark Side of the Moon dan The Wall sangat bagus untuk dibandingkan.

Jika kita nak bandingkan album Endless River ini dengan album klasik Pink Floyd yang lainnya, sangatlah tidak adil. Jadi untuk lebih adil, kita beli, dengar bila ada waktu dan simpan untuk koleksi.

Jika mereka bertanya kepada saya sama ada Pink Floyd atau D'lloyd? Saya akan memilih D'lloyd. Pink Floyd? Itu muzik untuk jiwa, lebih peribadi sifatnya. Kalau hendak bercakap tentang Pink Ployd, kita kena faham tentang keseluruhan termasuk konsep, progresif dan mesejnya. Kalau level tak sampai, lebih baik kita layan muzik D'lloyd. – 27 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments