Opinion

Apabila kehijauan sudah tiada hijaunya lagi

Penghujung tahun ini saya kira penghujung tahun yang paling malang. Musibah melanda di negeri-negeri yang telibat seperti Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Johor antaranya.

Banjir besar yang melanda sehingga mengakibatkan nyawa yang terkorban bukanlah perkara kecil.

Salah satu penyebab utamanya berlaku segala musibah tentang bencana seperti banjir dan tanah runtuh adalah atas sebab kerakusan kita, yang tidak menganggap alam sebagai sahabat kita lagi.

Bahkan semakin banyak hutan yang dibogelkan termasuklah jika kita lihat di negeri yang beriya-iya mahu melaksanakan hukum hudud.

Ya... banjir dan bencana di sana sini saat ini. Inilah saat nya yang pasti akan tiba juga untuk kita meraikan hasil kerakusan kita, para manusia yang rakus menarah hutan demi kepentingan dan ringgit. Habis semua hutan dibogelkan. Tak kira di negeri mana pun. Semuanya 2x5 juga adanya.

Sekarang kita sedang menuai hasil dari penat lelah kita melihat hutan semakin gondol dek pemaju yang rakus, akan datang kita boleh tanam bunga plastik asal ada warna hijau, sebab hijau yang asli sudah tidak akan ada lagi suatu masa nanti.

Di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur juga di Shah Alam mahupun di Kajang, selalu juga berlaku banjir walau tak seteruk seperti yang berlaku di sebelah pantai timur ketika ini.

Di Kuala Lumpur dan di sekitar Lembah Kelang, setiap inci adalah ringgit dan keuntungan. Nilai tanah yang sangat tinggi menyebabkan segala hutan dan bukit menjadi mangsa pembangunan. Hasilnya kita akan mengalami masalah banjir di sana sini.

Kita melihat dalam muzik dan lagu, begitu banyak lagu tentang alam dan pencemaran yang disuarakan dari penyanyi lama zaman berzaman.

Penyanyi lagenda Indonesia seperti Leo Kristi, Gombloh, Ebiet, Franky Sahilatua dan Iwan Fals dalam karya-karya mereka banyak menceritakan tentang alam dan pencemaran.

Adakah karya-karya yang sebegini berkesan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada mereka yang lebih rakus mengejar pembangunan di arus kemodenan hari ini?

Biasanya ia tidak memberi kesan apa-apapun kepada mereka yang berkepentingan kerana di sini nilai materi itu lebih bermakna dari alam yang hijau.

Golongan-golongan yang berkepentingan ini termasuklah mereka yang bergelar ulama dan orang politik yang walaupun mulut mereka gah bercerita tentang kesucian agama, syurga dan neraka, namun bab-bab kehijauan dan betapa pentingnya alam ini kepada kita bukannya mereka nak ambil kisahpun.

Bagi saya segala yang berlaku ini berpunca dari sikap kita sendiri, umat manusia yang semakin renggang perhubungan mereka dengan alam.

Saya lebih suka menilai setiap musibah yang berlaku ini dari sudut fitrahnya perhubungan antara kita dengan alam.

Kata-kata penyanyi folk Indonesia Ebiet G. Ade dalam lagunya “Berita Kepada Kawan” itu memang benar:

‘Mungkin Tuhan mulai bosan, melihat tingkah kita...

Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa,

Atau alam mulai enggan, bersahabat dengan kita

Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang’

                                            Berita Kepada Kawan (Ebiet G. Ade)

Atau jika kita mahu yang keras lagi nada dan mesejnya, inilah antara lagu yang terbaik dari segi mesej oleh penyanyi folk lagenda Indonesia, Iwan Fals. Lagu yang berjudul “Isi Rimba Tak Ada Tempat Berpijak Lagi” yang terdapat dalam album “Opini” terbitan 1982.

Di bawah ini saya sertakan senikatanya untuk tatapan kita:

Isi rimba tak ada tempat berpijak lagi

Raung buldozer gemuruh pohon tumbang

Berpadu dengan jerit isi rimba raya

Tawa kelakar badut-badut serakah

Dengan hph berbuat semaunya

Lestarikan alam hanya celoteh belaka

Lestarikan alam mengapa tidak dari dulu...

Oh mengapa.....

Oh...oh...ooooo......

Jelas kami kecewa

Menatap rimba yang dulu perkasa

Kini tinggal cerita

Pengantar lelap si buyung

Bencana erosi selalu datang menghantui

Tanah kering kerontang

Banjir datang itu pasti

Isi rimba tak ada tempat berpijak lagi

Punah dengan sendirinya akibat rakus manusia

Lestarikan hutan hanya celoteh belaka

Lestarikan hutan mengapa tidak dari dulu saja

Oh...oh...ooooo......

Jelas kami kecewa

Mendengar gergaji tak pernah berhenti

Demi kantong pribadi

Tak ingat rejeki generasi nanti

Bencana erosi selalu datang menghantui

Tanah kering kerontang

Banjir datang itu pasti

Isi rimba tak ada tempat berpijak lagi

Punah dengan sendirinya akibat rakus manusia

                                     Isi Rimba Tak Ada Tempat Berpijak Lagi (Iwan Fals)

Bila kita dengar balik album solo Zainal Abidin (1991), yang meletup di pasaran waktu itu dengan lagu “Hijau”, kita perlu bermuhasabah kerana segala yang datang ini semuanya berpunca dari kita juga. Liriknya yang bercerita tentang alam dan pencemaran mengkritik secara halus dan lebih berhemah.

Album Zainal Abidin (1991), Gamal (1993 dan Terang... Sang [1995]) adalah antara album yang paling bagus dan berkualiti yang pernah dihasilkan dalam sejarah muzik di Malaysia.

Lagu sepatutnya bukan hanya untuk didengar untuk halwa telinga bahkan ia akan lebih bermanfaat jika kita mendengar akan bait-bait dan mesej yang tersurat juga tersirat untuk buat kita berfikir dan lebih bagus jika kita peka dalam menjalani proses hidup ini dengan lebih dewasa dan matang.

Perhubungan kita dengan alam sudah lama renggang.

Hutan-hutan habis kita tarah, demi pembangunan. Sungai-sungai habis kita kambus, demi pembangunan. Bukit-bukit habis kita ratakan, pun demi pembangunan.

Apapun saya salut rakyat Malaysia. Dalam bab-bab membantu dan memberikan bantuan, kita adalah antara yang terbaik dan prihatin.

Saya percaya mereka di sana yang sedang bergelut dengan berbagai kesukaran, tidak akan keseorangan. Syabas rakyat Malaysia! – 1 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments