Opinion

Artis, angan-angan dan harapan

Dunia artis adalah dunia yang penuh dengan angan-angan dan impian. Impian pula ada yang sampai dan ada yang tidak. Mereka dilihat terpaksa menuju ke terowong sana yang kononnya hanya itulah sahaja ruang untuk bernafas dengan bantuan peralatan canggih yang cuma indah di mata.

Hasilnya bukan semuanya lepas. Ada yang tersadai, ada yang gagal. Yang berjaya hanyalah segelintir sahaja.

Saya tidak berminat ambil tahu cerita artis semalam mahupun hari ini sebab bagi saya tidak ada pengisian langsung dan tidak membawa sebarang manfaat untuk kita.

Jika ada yang bertanya kepada saya tentang hal artis itu atau artis ini yang keluar ceritanya di akhbar ataupun di media online, saya katakan saya tidak tahu dan tak mahu ambil tahu. Adalah suatu yang merugikan jika kita meletakkan cerita mereka ini di dalam pemikiran kita.

Apa cerita tentang artis yang mengarut itu? Ceritanya tentang anak artis ini beranak ditaja dengan kemewahan, artis itu berkahwin dengan golongan bangsawan, artis ini dalam proses bercerai-berai dan banyak lagilah. Kebanyakannya berbentuk gossip dan sensasi belaka. Jadi tidak ada sebarang manfaat jika kita membelek ruangan hiburan mahupun majalah hiburan.

Tentang muzik? Macam mana nak ada pengisian tentang muzik sedangkan yang menjadi wartawan hiburan pun kebanyakan mereka tidak minat dan kurang pengetahuan tentang ilmu muzik. Bahkan yang menjadi editor di bahagian hiburan kebanyakannya lembut-lembut belaka.

Jadi cerita-cerita mereka ini hanyalah cerita tentang perhiasan dalaman dan luaran sahaja. Tentang bagaimana untuk mengindahkan ruang nafsu agar selalu dilihat indah dan meriah sepanjang masa sebelum sampai waktunya malap.

Sudah sampai masanya anak-anak muda kurang memberikan perhatian kepada cerita-cerita bodoh tentang artis untuk diterapkan ke dalam jiwa dan pemikiran kita.

Saya punya ramai kawan di kalangan mereka yang bergelar pemuzik di pub mahupun di hotel. Mereka ini lebih realistik dari segi sifat dan pergaulan. Muzik hanyalah satu kerjaya sama seperti kerjaya lainnya, kecuali jika kita ini artis yang perlukan kilau glamour untuk kita terus bertahan di dalam industri hiburan tanah air.

Saya tidak menafikan ruang mainstream itu sebab ia sudah berkembang lama dan menjadi satu budaya yang menjadi ikutan dari zaman berzaman, cuma harapan saya untuk tahun 2015 ini dunia indipenden akan lebih berkembang dan kita tidak perlu bergantung dengan media audio mahupun visual mainstream untuk berkembang.

Segalanya akan mampu dilakukan dan akan bisa terjadi jika ruang indipenden itu diperbesarkan. Sokongan adalah perkara paling penting dalam dunia indipenden. Yang akan mengembangkannya adalah di kalangan kita sendiri.

Indonesia negaranya punya penduduk yang ramai, lebih kurang 250 juta lebih berbanding kita yang hanya punya 27 juta penduduk sahaja. Jadi kalau di Indonesia, apa saja genre muzik yang diperjuangkan mahupun indipenden, memang ada follower dan mereka mampu hidup dan berkarya walau bergelar penyanyi indipenden.

Kita dengar lagu-lagu di radio hari ini kebanyakannya tidak berkualiti dan tak sedap. Itu sebab radio Klasik Nasional masih menjadi pilihan pendengar dan masyarakat selain Sinar FM sebab siaran ini masih menyiarkan lagu-lagu lama yang kekal evergreen sehingga ke hari ini.

Kita menonton siaran televisyen pula, kebanyakan plot dan ceritanya lebih kurang sama sahaja dari dulu sampailah sekarang. Drama dari Indonesia pula lagilah teruk dan mengarut jalan ceritanya.  Nasib baik ada siaran berbayar Astro, jadi kita mempunyai banyak pilihan cerita dan program untuk ditonton.

Saya baru sahaja menonton filem Hobbit: The Battles of the Five Armies bersama keluarga baru-baru ini. Memang hebat teknologi filem Hollywood, sangat jauh meninggalkan filem-filem kita yang masih lagi bermain dengan cerita-cerita stereotaip dan skema.

Dari segi buku-buku indipenden pula, kita lihat ianya semakin berkembang dan positif. Malah buku-buku terbitan penerbit indie hari ini mula mendapat sokongan kalangan pelajar juga anak muda yang di kalangan generasi Y yang lebih progresif dari segi pemikiran mereka.

Tahun 2015 adalah tahun yang mencabar untuk kita. Saya tidak tahu apa cabarannya tapi dengan segala macam cerita dan drama yang berlaku pada 2014, nampaknya kita masih lagi akan mengendong sarat barang dengan muatan yang melekat di bahu kita.

Perbelanjaan persekolahan yang semakin mahal termasuklah baju sekolah dan buku-buku mereka membuatkan kita terpaksalah bekerja keras demi untuk kemudahan mereka di hari hadapan. Selain itu apa pilihan yang kita ada?

Di sini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada pembaca dan rakan saya yang beragama Kristian. Moga sambutan tahun ini memberi makna dan kasih-sayang untuk kehidupan kita semua. – 25 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments