Opinion

Bola sepak – dua darab lima bersamaan tujuh (kata mereka)

Tengku Abdullah baru saja dinobatkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018 setelah menewaskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 baru-baru ini.

Ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah yang memegang jawatan tersebut sejak 1984 akhirnya melepaskan jawatan itu dan seperti biasa, bagi saya walau siapapun yang menjadi presiden, cerita duka bola sepak Malaysia mungkin akan berterusan dan moodnya mungkin akan kekal muram dan kusam.

Apatah lagilah jika yang menjadi pemimpinnya datang daripada golongan bangsawan. Siapa yang berani nak tegur mereka?

Ditambah pula mereka yang di atas sana di dalam FAM dan pentadbirannya lebih pandai berpolitik dan main tepis-tepis daripada berusaha untuk menaikkan rangking kita yang jatuh macam roller coaster sejak 20 tahun dulu.

Sudahnya rangking pasukan Malaysia kalau akan naik pun, masih terlalu jauh daripada pencapaian 1993 dulu. Hari ini ranking pasukan kebangsaan kita naik 9 anak tangga dari tangga 150 naik ke 141.

Atau akan terus merudum atau tidak itu kita tidaklah pasti dan FAM seperti biasa akan terus memberikan harapan, mimpi dan angan-angan untuk kita kunyah sehingga keakhirnya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin walau agak kritis memberikan pandangan, namun itu masih belum mencukupi kerana dari segi perlaksanaan, FAM dilihat masih ditakuk lama, menuai dan terus menuai mimpi.

Minat saya mula luntur sejak selepas 1993 dan 1994 pula gelaja rasuah di kalangan pemain kecoh dan sangat mendukacitakan kerana yang terlibat adalah mereka yang sangat berbakat seperti Azizol Abu Hanifa dan Matlan Marjan.

Seperti kapas yang kehujanan, begitulah tahap kecewa saya terhadap pasukan kebangsaan kita.

Saya tidak punya hati untuk tahu apa cerita dan apa perkembangan bola sepak negara kita hari ini kerana yang lebih popular bukannya pasukan bola kita, tapi FAM.

Nama pemain bola kita hari ini atau zaman ini saya pun tidak tahu dan tidak berminat untuk ambil tahu, sebab kebanyakan mereka ini lebih popular di luar padang daripada di dalam padang.

Berbanding dulu di era 80an atau awal 90an, saya ingat semua nama-nama pemain bola sepak negara kita dan saya berbangga dengan kejayaan dan pencapaian yang mereka capai hingga berjaya menduduki tangga ke-75 dunia pada 1993.

Saya memang gila bola sewaktu bersekolah rendah dan menengah di kampung dulu. Tambah bersemangat untuk menjadi pemain bola apabila rakan-rakan rapat sewaktu sekolah dulu semuanya kaki bola dan pandai bermain bola.

Seperti kebanyakan remaja terutamanya anak Melayu sejak tahun 50an sehinggalah ke hari ini yang tinggal di negara membangun seperti di negara kita ini, bola sepak memang menjadi sukan kegemaran nombor 1 .

Salah satu sebab kos nya yang tidak mahal. Hanya dengan berkaki ayam kita masih boleh bermain bola. Modalnya hanya sebiji bola yang akan direbut oleh 20 orang pemain di atas padang.

Dan saya sebenarnya tidaklah pandai sangat bermain bola tapi disebabkan kawan-kawan saya semuanya terpilih mewakili pasukan sekolah waktu saya di tingkatan 3 dulu, saya jadi bersemangat dan bekerja keras sehingga akhirnya terpilih sama dalam pasukan yang mewakili sekolah pada 1982 dulu.

Kalau zaman Pesta Bola Merdeka yang saban tahun kerajaan kita anjurkan bersempena meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sejak 1957 sampai 1988 dulu, ia bersambung secara tidak tetap sehingga tahun 2008.

Kita memang boleh berbangga dengan pasukan negara waktu itu kerana yang masuk bertanding adalah pasukan-pasukan g bertaraf antarabangsa seperti Jepun, Korea Selatan, Iraq, New Zealand, Senegal selain dari negara-negara dari Asia Tenggara antaranya.

Di zaman Ghani Minhat tahun 50an dulu, Malaysia pernah membelasah Filipina 15-0. Hari ini kalau mereka bertembung, belum tentu Malaysia boleh mengalahkan Filipina.

Dan kali terakhir Malaysia mengecap kejayaan sebagai juara Pesta Bola Merdeka pada 1993 dengan mengalahkan Korea Selatan waktu zaman Dollah Salleh dan Azman Adnan dulu.

Sehingga ke hari ini saya masih lagi seorang peminat bola sepak walau tidaklah seperti seorang kawan saya, Pak Din yang hidup dan dunianya adalah bola sepak. Pak Din kawan saya itu adalah bekas pemain bola untuk pasukan Renjer sewaktu beliau berkhidmat dalam Angkatan Tentera di tahun 80an dulu.

Pak Din juga sanggup bersengkang mata hingga jam 5 pagi untuk menyaksikan pasukan kegemarannya beraksi di kaca televisyen.

Saya masih mengharapkan zaman gemilang akan datang untuk pasukan negara kita, tapi itu satu perkara yang mustahil akan berlaku saya kira, kerana jika segalanya diurus oleh mereka yang syok sendiri dan punya kuasa, kita yang hanya dalam kategori peminat ini hanya punya 2 pilihan, berhenti atau kita teruskan ?

Dan dalam bola sepak, apa pilihan yang kita ada? Segalanya di tangan mereka. Dua darab lima bersamaan dengan sepuluh, tapi jika mereka jawab tujuh adalah jawapannya, apa yang boleh kita kata?

Keputusan dalam tangan mereka, bukan kita. Kita hanya mampu bermimpi dan berharap agar berlaku keajaiban dalam sukan bola sepak kita, seperti dalam sukan badminton yang baru berlangsung baru-baru ini, di mana pasukan Malaysia berjaya menjadi naib juara Piala Thomas setelah kalah dengan Jepun. Bukankah itu satu keajaiban? – 29 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments