Saya lahir dan dibesarkan dalam bentuk dan acuan nilai keagamaan dan Islam yang juga sederhana, walaupun arwah orang tua saya orang yang warak dan taat pada ajaran agama.
Bukan orang tua saya saja, bahkan majoriti orang Melayu Islam di negara kita waktu itu turut mengamalkan pendekatan sama yang bagi saya itulah terbaik bagi kita, orang Melayu Islam.
Arwah bapa saya jika mahu ke mana-mana akan bersongkok atau berkopiah, kecuali pada hari besar atau untuk solat Hari Raya, beliau akan memakai serban dan berjubah.
Selepas bergelar haji pun beliau masih bersongkok sesuai dengan pendekatan dan cara hidup sebagai seorang Islam yang sederhana.
Kita orang Melayu, tidak perlu menjadi Arab apatah mengikut cara hidup mereka. Kita tinggal di negara yang berbilang kaum sejak lama sebelum merdeka lagi. Acuan yang sedia ada sudah cukup sempurna.
Saya terpanggil untuk menulis isu tentang budaya ekstrem ini apabila baru-baru ini datang seorang anak muda menari-nari penuh ghairah tatkala saya sedang berlagu dan bernyanyi di port saya. Usianya masih belasan tahun, berjubah dan bersongkok berserta senaskhah kitab Al-Quran di tangannya.
Tanpa menghiraukan pandangan orang ramai terhadapnya, dia terus menari seperti gaya pujangga Rumi yang terkenal dengan tarian sufinya yang asyik itu.
Saya katakan kepadanya yang caranya itu tidak betul, mungkin anak muda ini terlebih mendalami ilmu agama sehingga terputus perhubungannya dengan nilai dan keseimbangan terhadap dunia ini.
Bayangkan, anak muda yang sementah ini pun boleh menjadi seperti itu dek fahaman ekstremis terhadap yang dipercayai. Bezanya beliau hidup dalam dunianya yang tidaklah menyusahkan orang lain sangat.
Berbanding golongan ekstremis yang tak gila, tapi hidup dan pandangan mereka bertunjangkan nafsu dan serakah seolah-olah dunia dan agama ini milik mereka saja.
Apabila muncul pergerakan yang bercirikan cara hidup Islamik secara total seperti budaya orang Arab, Al-Arqam dengan imej mereka yang berserban dan berjubah malah untuk golongan Muslimah mereka pula berpurdah, masyarakat pada 1970-an dulu menjadi pelik sehingga menggelar mereka hantu kum-kum.
Begitulah pemandangan dan betapa skeptikalnya pandangan masyarakat kita pada waktu itu terhadap golongan mengamalkan cara hidup Islam yang mengikut acuan dan kepercayaan mereka ini.
Pertubuhan Al-Arqam yang diubuhkan pada awal 1970-an dulu oleh pengasas dan ketuanya, Ashaari Muhammad mula berkembang pesat dari segala sudut sehinggalah diharamkan kerajaan pada 1994.
Ekstremis fahaman yang melampau dan merbahaya, melangkaui tahap kesederhanaan daripada segi pemikiran dan cara berfikir. Maknanya bagi golongan ini, tidak kira apa agama pun hanya akan menganggap hanya mereka sajalah betul, yang lain semuanya salah.
Kalau sekadar berbeza ideologi dan mampu menanganinya secara matang dan rasional, itu tidak mengapa tapi masalahnya golongan ini akan terus 'reject' dan hukum tanpa sebarang penjelasan atau kompromi.
Untuk lebih 'advance' akan tindakan mereka, itulah seperti kita lihat apa yang ada pada pertubuhan menggunakan nama Islam seperti IS atau Isis. Di mana hukum hidup dan mati itu ada di tangan mereka, semudah A,B,C...di mana membunuh itu mengikut faham mereka merupakan suatu yang halal bahkan direstui Tuhan dan agama.
Itulah saya lihat apa yang ada dalam parti bercirikan Islamik di negara kita akhir-akhir ini, adakah golongan dan pemikiran seperti ini yang harus kita ikut?
Dengan tahap jumudnya cara mereka berfikir dan memandang, saya tidak nampak akan ada cahaya yang terang dan adil untuk kita, kerana yang mereka pandang hanyalah untuk satu pandangan saja.
Mereka bercerita tentang hukum dan imej, malang daripada segi perlaksanaan dan praktikalnya mereka sendiri pun buta dengan cerita dan nikmat dunia. Lainlah jika mereka ini sanggup menjalani cara hidup yang zuhud seperti zaman para Nabi dan sahabat dulu.
Dunia ini adalah tentang kesederhanaan dan jiwa tenang, itu yang saya percaya. Apabila sampai waktu untuk kita menghadap Tuhan pun, perlulah dalam keadaan jiwa yang tenang. Kita tidak akan membawa serban atau jubah untuk ke sana, melainkan kain putih menutup jasad, yang juga akan mereput menjadi tanah.
Apa sedia ada sudah cukup sempurna, tidak perlulah disemakkan dengan pemandangan yang tidak relevan untuk kita raikan bersama. – 23 Julai, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments