Budaya "pop" adalah budaya popular dan majoriti kita menyukainya.
Definisinya adalah tentang kesederhanaan, baik dari segi pemikiran mahupun pemahaman kita dalam mentafsir makna hidup ini.
Kalau dalam muzik, genre poplah yang paling diterima berbanding jazz, folk, blues, rock atau apa saja genre sekalipun.
Orang kenal George Benson sebab lagu popnya "Nothing’s Gonna Change My Love for You" walau beliau seorang pemuzik dan penyanyi jazz yang hebat yang turut dikenali peminat jazz dengan lagu "Masquerade".
Pink Floyd popular dengan lagu "Another Brick in the Wall", lagu yang terdapat dalam albumnya "The Wall" yang meletup di pasaran dunia dan membuatkan nama mereka dikenali di pasaran dunia dengan lebih meluas, walau album lain mereka juga sangat berkualiti.
Eric Clapton pula tetap popular dengan lagu pop "Wonderful Tonight" dan "Tears in Heaven" berbanding lagu-lagu lain beliau yang tidak kurang menarik.
Kumpulan muzik progresif terkenal dunia "Yes" pula meletup di pasaran dunia dengan lagu pop progresif mereka, "Owner of a Lonely Heart" berbanding lagu-lagu lain mereka yang lebih berkualiti bagi peminat peminat progresif.
Citarasa antara pemuzik dan pendengar tidaklah sama. apa yang ada di dalam pemikiran mereka adalah pop. Jadi kalau kita mahu diterima, kita perlu popkan apa yang kita ada, atau kita boleh pilih untuk menjadi pemuzik atau pengkarya yang idealis, itu pilihan kita.
Saya dan rakan busking menghiburkan khalayak di restoran atau kedai makan yang majoriti pengunjungnya orang Melayu yang berumur 20 tahun ke atas yang citarasa kebanyakan mereka adalah pop, jadi itulah yang kami lakukan, menghiburkan mereka mengikut citarasa mereka, dan hasilnya mereka pun suka dan berpuas hati dengan persembahan kami.
Pop adalah tentang kesederhanaan, dan itulah pilihan majoriti umat manusia di dunia ini.
Kalau dalam kehidupan ini, bersederhana adalah yang terbaik. Miskin pun susah juga, kalau kaya sangat pun memasalahkan, sebab hidup kita akan seperti di dalam penjara dan kita tidak akan bebas bergaul seperti orang kebanyakan.
Membaca apa yang ada di sekeliling kita adalah perkara yang terbaik jika itu yang mampu kita lakukan. Maknanya kita menghormati alam dan kejadian dalam bentuk mereka yang seadanya.
Pop adalah perkara yang mudah untuk kita faham. Campur tolak bahagi darab, semudah itu kiraannya.
Kita akan mengolah atau mencipta sesuatu yang baharu sehingga ia mampu dipop atau dikomersialkan, dan apabila ia mendapat perhatian, kita akan berjaya dari segi pulangan dalam bentuk ringgit sekurang-kurangnya, walau bukan dari segi kepuasan.
Kalau dalam agama dan kefahamannya di negara kita ini, fahaman Sunnah Wal Jamaah yang paling diterima berbanding aliran lainnya fahaman Wahabi, Syiah mahupun aliran tarikat dan tasawuf yang kebanyakannya difatwakan sebagai sesat oleh pihak jabatan agama.
Aliran Sunnah Wal Jamaah itu mudah kerana ia jelas seperti kiraan matematik, buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa. Buat baik masuk syurga, buat jahat masuk neraka, semudah itu kiraannya.
Yang tidak menariknya dengan Tuhan pun kita nak berkira-kira. Maknanya kita akan diajar untuk berbuat baik di dunia ini sebab nak masuk syurga, bukannya sebab nak mengenal Tuhan sangat. Jadi pemikiran yang begini sudah sinonim dalam budaya kita dari segi pemikiran dan pemahaman.
Agak malang jika umur dah menjangkau senja kita masih berfikir seperti budak umur 15 tahun, tapi inilah kenyataannya.
Kesannya mungkin hidup kita ini akan penuh dengan ketakutan dan bayang-bayang dosa. Sedang ayat Tuhan yang paling berkesan yakni "Rahman dan Rahim" itu terlalu nyata untuk kita nafikan.
Maka tidak hairanlah juga perkara yang di dalam yang menjurus ke elemen "spiritual" itu tidaklah mereka ini endahkan sangat, melainkan pemahamannya hanya sekadar di pinggiran sahaja sebab kebanyakan mereka ini masih kalut dengan cerita harta benda dan nafsu dunia yang tidak pernah kunjung padam sehinggalah ke akhir hayat.
Terbaharu, kita semakin sibuk untuk menjadi orang Arab dan yang sewaktu dengannya. Kita sedang cuba mempopularkan budayanya termasuklah dari segi pemakaian, tutur kata dan sebagainya atas alasan keagamaan.
Atas sebab pemikiran kita yang "pop" ini, maka itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Hasilnya kita boleh lihat hari ini, betapa megah dan tingginya darjat kita apabila mampu bercakap dalam bahasa Arab.
Tidak hairanlah lagu "Kun Anta" nyanyian penyanyi Kuwait, Humood AlKhuder cepat menjadi popular dan viral di kalangan penggemar Islamik kita hari ini sebab ia dalam bahasa Arab dan muziknya pula pop dan catchy walau cerita dalam lagunya bukanlah tentang memuji Tuhan, melainkan kehidupan yang sederhana.
Apa sahaja, jika ianya pop, biasanya akan mendapat perhatian. Ini adalah kenyataan hidup di dunia ini. – 9 Julai, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments