Opinion

Buku baru Cat Stevens dan Islam

Buku penyanyi Cat Steven bertajuk Mengapa Saya Masih Memetik Gitar yang diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider, 7 Mei, 2015.Buku penyanyi Cat Steven bertajuk Mengapa Saya Masih Memetik Gitar yang diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider, 7 Mei, 2015.Saya baru saja mendapatkan buru karangan Cat Stevens atau Yusuf Islam baru-baru ini bersempena pelancaran tajuknya yang berjudul 'Mengapa Saya Masih Memetik Gitar' yang berlangsung di pesta buku PWTC juga di KLCC baru-baru ini.

Buku ini penting untuk kita membaca dan memahami maksud yang tersirat di dalamnya, terutamanya pada musim dan iklim di mana segelintir pemimpin umat Islam di negara kita ini sibuk dengan hudud dan lebih asyik suka menghukum daripada cuba memahami.

Mereka ini pada dasarnya kurang nilai realistik. Kita lihat di dunia Arab sana yang mengamalkan sistem hudud contohnya, negara mereka pun huru-hara, pemimpin cakap tidak serupa bikin, agama sesama agama bergaduh, penderaan terhadap isteri dan sebagainya.

Kesimpulannya mereka ini samalah perumpamaannya seperti ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul. Apabila segalanya menjadi ekstremis, maka duduklah mereka itu di kalangan golongan yang suka menghukum, yang mana di dalam kotak fikir mereka itu, hanya mereka sajalah yang betul.

Sebabnya yang melaksanakan hukum ini hanyalah manusia, yang lemah dalam serba serbi. Manusia hidup penuh dengan nafsu dan kepentingan, walaupun mereka itu bergelar ulama atau penceramah. Kita lihat apabila agama dipolitikkan, jadilah segalanya seperti halal belaka tanpa kita fikir hal rasional yang berkaitan dengannya.

Dunia ini tentang kasih sayang, terasnya adalah tolak ansur dan rasional. Islam itu mudah, mengapa kita perlu rumitkan ia menjadi seperti tali yang berserabut dan berbelit-belit?

Seperti 'quote' menarik yang terkandung dalam bukunya:

“Golongan yang pantas menuding jari kepada orang lain hanya disebabkan percanggahan dalam fiqah (pemahaman) lebih mudah melakukan kesalahan berbanding dengan orang lain, maka mereka perlu menyedari bahaya sikap berkenaan terhadap diri mereka sendiri.”

Mengapa Saya Masih Memetik Guitar - Cat Stevens

Buku ini terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Bhd (ITBM). Terjemahannya menarik termasuklah lay out dan kualiti. Saya ada satu lagi bukunya bertajuk 'From Cat Steven to Yusuf Islam' terbitan Telaga Biru. Berbeza dengan ITBM, terbitan Telaga Biru tidak begitu menarik susunannya.

Buku ini berkisar tentang perjalanan hidup seorang Cat Stevens, proses pencariannya (soul searching). Daripada kehidupan seorang pop star yang popular dengan lagu 'I Love my Dog' di awal kariernya sehinggalah ke album yang berkonsep dan akhirnya beliau berubah menjadi seorang Islam semaksimum mungkin, termasuklah daripada segi imej dan perwatakan.

Ya, saya membesar dengan lagu-lagu beliau sejak 1980, sewaktu di kampung dulu. Ke Kuala Lumpur saya khatam hampir semua albumnya, karyanya memberi pengaruh yang besar terhadap muzik saya.

Beliau bagi saya antara singer songwriter paling berbakat, ditambah dengan pakej rupa, suara dan bakat yang dikurniakan sewaktu di awal kariernya pada 1967 dulu. Seusia 18 tahun beliau sudah mengecap nikmat hidup sebagai seorang bintang pop.

Apabila beliau berhijrah memeluk agama Islam dan meninggalkan muzik pada 1977 , saya agak kecewa sebenarnya, kerana mengapa perlu berhenti menyanyi walau menjadi seorang umat Islam?

Walau saya faham beliau tentulah punya alasannya sendiri seperti yang terkandung di dalam bukunya itu, sehinggalah abang saya memasang lagunya di dalam kereta, yang judulnya 'A is for Allah' terbitan 2000, pun tanpa muzik, hanya acapella.

Itulah seperti yang kita lihat, perubahan musim dan watak dalam hidup manusia. Hijab itu akan terbuka apabila kita kisah akan cerita-Nya. bukan sekali, tapi mungkin hijab itu akan muncul beberapa kali dalam hidup kita.

Kita boleh kata, itu hanyalah musim yang hanyalah merupakan proses perjalanan insan dalam mencari dan mengenal Tuhan, mengikut kefahamannya.

Seperti Cat Stevens, waktu awal sewaktu penghijrahannya, ditinggalkan muzik dan yang berkaitan dengannya. Berubah secara total seperti orang Arab lakunya. 25 tahun selepas itu atas sebab dan alasan yang kukuh untuk dirinya, beliau kembali memetik gitar.

Bagi saya lagu-lagu Cat Steven tidak akan menyesatkan kita, kerana mesej dalam lagunya sangat baik, mengenai pencarian, kemanusiaan, kehidupan, walau album sebelum beliau menjadi umat Islam yang setia.

'Mona Bone Jakon' (1970) dan 'Tea for the Tillerman' (1970) adalah album yang menarik begitu juga dengan albumnya yang lain seperti 'Numbers’ (1975).

Kelebihan Cat Stevens bagi saya adalah daripada segi seni dan kreativiti penciptaan lagunya yang penuh dengan nilai variasi dan pelbagai. Yang paling penting melodinya menarik dan berseni.

Saya petik lagi sebahagian petikan menarik beliau:

“Muzik wujud secara sejagat di dunia ini, walaupun di hutan, lautan dan juga padang pasir, burung-burung bersiul, ombak berdebur-debur, manakala angin pula berderu-deru. Alam semula jadi menyanyikan lagunya sendiri yang indah dan mengagumkan, sebagai puji-pujian kepada Maha Pencipta Alam.” – 7 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments