Opinion

Busking dan Ramadan

Pada bulan Ramadan, suasananya adalah di luar dari kebiasaan. Baik dari segi aktiviti, rezeki mahupun amalan, segalanya jika kita berusaha, dari segi hasil biasanya akan berganda dari apa yang kita dapat di bulan-bulan selain Ramadan.

Pada bulan ini, selepas lama saya busking di KL Sentral, hampir 5 tahun begitulah, saya mula keluar dan merasai kembali nikmat bermuzik di jalanan bersama rakan busking dan sahabat saya, Syed Amran yang merupakan “otai” atau orang lama dalam dunia busking.

Kami pernah merasai hidup susah senang sebagai busker di Kuala Lumpur sejak awal 2000 dulu. Suasananya berbanding hari ini tidaklah sama, ianya sama seperti kita bekerja, lagi lama kita bekerja lagi banyaklah pendapatan kita.

Sebabnya ia dikira dari tempoh berapa lama kita berkecimpung dalam bidang tersebut. Semakin lama kerja, pendapatan pun lebihlah dari zaman awal kita busking dulu.

Saya melihat gelandangan yang ramai di sekitar Kuala Lumpur pada bulan Ramadan mendapat rezeki lebih dari biasa.

Peniaga pula akan berasa gembira dengan perniagaan mereka hasil keuntungan yang biasanya akan berlipat ganda. Pendek kata pada bulan Ramadan ini, Kuala Lumpur memang hidup dan segar.

Pun begitu, permasalahan akan sentiasa ada berdasarkan kehendak kita sebagai seorang manusia yang berkepentingan, walau siapapun kita termasuklah dalam dunia busking hari ini.

Ini kerana aktiviti tersebut terbukti menguntungkan banyak pihak, tidak kira di pihak kerajaan mahupun untuk busker. Tidak hairanlah dunia busking hari ini semakin berkembang dan berjaya menarik minat ramai anak muda untuk menjadi busker.

Masalahnya seperti berebut tempat, seperti di SOGO mahupun di lokasi lainnya di Kuala Lumpur ini. Apapun segalanya akan dapat diselesaikan dalam suasana yang harmoni dan damai jika ada muafakat, itu paling penting.

Waktu dulu pun sewaktu di Pasar Seni, kita juga ada masalah dalam berebut tempat atau “port” untuk busking. Lokasi untuk busking penting kerana perhatian pengunjung akan tertumpu di situ.

Maknanya pada waktu itu siapa yang sampai dulu, dialah yang dapat main, yang lainnya kena tunggu giliranlah.

Antara masalah lainnya pula, kerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL). Sebabnya merekalah yang memberi permit keizinan untuk bermuzik di lokasi terpilih di Kuala Lumpur.

Khabarnya sejak kegiatan “demo” atau protes yang di adakan di SOGO pada setiap Sabtu, busker tidak dibenarkan lagi untuk busking di situ pada Sabtu dan Ahad. Terbaru juga khabarnya untuk Sabtu dan Ahad, hanya dibenarkan untuk pemuzik Orang Kurang Upaya (OKU) sahaja.

Jadi hal yang seperti ini perlu ada kerjasama dan sifat toleransi, sama ada bagi pihak DBKL mahupun untuk busker juga. Sebabnya pada hari itu mereka (busker) akan meraih pendapatan lebih dari biasa. Jadi ini secara tidak langsung akan tersekatlah periuk nasi mereka juga.

Masalah lainnya pula apabila muzik yang dimainkan terlalu bising dan mengganggu ketenteraman lain pihak. Seperti di kawasan restoran yang di atasnya terdapat kediaman penyewa yang tinggal di situ ataupun seperti di kawasan Bukit Bintang yang lokasi busking tersebut berdekatan dengan hotel atau rumah sewa.

Biasanya jika pihak penguasa mendapat aduan dari pihak yang tidak berpuas hati, mereka akan mengambil tindakan, dan itulah yang berlaku hari ini.

Hari ini ramai busker akan busking dalam kumpulan, seramai 4 atau 5 orang dengan peralatan atau sistem bunyi yang kuat. Ada drumset, bass, gitar dan lain-lain peralatan. Jadi suasana atau bunyinya akan kuat kedengaran berbanding muzik yang dimainkan secara unplugged.

Jadi perkara yang seperti ini perlulah kita ambil berat sebab kita bermain muzik, walaupun di jalanan untuk mencari rezeki dan menghiburkan orang ramai, kita perlu bijak dalam mengawal dan menangani suasana.

Ini kerana muzik adalah hal yang berkaitan dengan bunyi yang akan melibatkan banyak pihak, sama ada mereka akan berasa terhibur mahupun sebaliknya.

Orang memang ramai di Kuala Lumpur sewaktu bulan Ramadan, tidak kira di kedai makan mahupun restoran, biasanya mereka akan melepak sementara menunggu waktu sahur sehingga jam 3 atau 4 pagi, begitulah.

Lokasi paling strategik, jika untuk aktiviti busking ini, masih di Kuala Lumpur. Tempat lainnya seperti yang saya bualkan dengan rakan prihatin, seperti di Selangor atau lain-lain negeri, budaya ini masih belum berkembang. – 25 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments