Penghujung tahun 80an muzik trash dan punk menguasai pasaran muzik underground di Malaysia. Pusatnya di Pasar Seni dan ‘port’ tempat mereka berkumpul di Restoran Yusof dalam bangunan tersebut. Dulu dalam restoran tersebut kita boleh merokok. Biasanya kita akan bersidang dari siang sampailah Pasar Seni ditutup pada pukul 10 malam.
Muzik trash adalah daripada cabang muzik hardcore dan heavy metal. Sewaktu negara kita digegarkan dengan demam muzik trash pada hujung 80an dulu, banyaklah band-band underground tempatan yang tumbuh di merata pelusuk negeri.
Waktu itu juga ada tiga kelompok yang berpengaruh dan popular, mat rock, mat trash dan mat punk. Kita boleh kenal melalui gaya dan imej mereka melalui cara pemakaian. Kalau mat rock mereka lebih nampak glamour dengan imej rambut panjang seperti band-band pujaan mereka, SYJ, Search atau Lefthanded.
Scene underground memang ‘happening’ waktu itu. Kebanyakan anak-anak muda yang berwajah garang tak pernah senyum akan berjalan secara berkumpulan dengan masing-masing memakai jeans dan t-shirt berwarna hitam dengan gambar band-band metal kegemaran mereka.
Banyak band-band trash metal yang tumbuh dan popular waktu itu. Antaranya Punisher, Nemesis, Silent Death, Sil Khannas, Black Fire antaranya.
Trash metal dan punk pada mulanya dilihat sebagai anti mainstream dan budaya ini sangat popular di kalangan anak muda waktu itu. Saya pun punya band alternatif ‘Society’di awal tahun 90 dulu dengan line up Mamal (bass) dan Che Mat (drummer).
Jadi tidak sukar untuk sebuah band bertaraf legenda di Malaysia seperti Cromok untuk bertapak di sini pada hujung 80an dulu.
Waktu lagu mereka Metallurgical yang intronya digabungkan dengan lagu tradisional Ulek Mayang yang dirakam di Australia tempat mereka belajar waktu itu meletup di sini, tidak dinafikan kehadiran mereka adalah satu fenomena yang mampu bersaing dengan mana-mana band hebat di negara kita ini termasuk yang dikategorikan sebagai mainstream seperti Search, Lefthanded mahupun Wings.
Cromok di awal penubuhan pada 1986, dianggotai 4 orang anak muda Sam (vokal dan bass), Din (gitar), Karl (gitar) dan Miji (dram) yang merupakan pelajar yang menuntut di sebuah universiti di Australia.
Pada 1991, album pertama mereka Image of Purity diedarkan oleh syarikat rakaman tempatan Valentine Records (VSP) dan berjaya dijual sebanyak 70 ribu unit walaupun waktu itu mereka masih belajar di luar negeri.
Pada1993, mereka menyertai syarikat rakaman gergasi EMI sehingga 2005 dan sempat merakamkan beberapa buah album menarik seperti Forever in Time (1993) dan Yours Truly (1996).
Pun malang menimpa apabila isu Black Metal dimainkan secara serius dan diberi liputan negatif yang meluas di dada akhbar-akhbar dan majala utama pada 2005 dulu, kesannya sedikit demi sedikit pengaruh muzik metal dan punk semakin menguncup dan tidak semeriah sebelumnya.
Ia turut memberi kesan pada band hebat seperti Cromok yang konsep muzik mereka juga termasuk dalam kategori tersebut.
Kenyataannya bukanlah mudah untuk kita cari makan dengan main muzik ikut cara kita di Malaysia. Inilah kesimpulannya.
Lihatlah, band yang punya nama besar seperti Cromok pun tidak berani mengambil keputusan menjadikan muzik sebagai masa depan mereka. Hari ini semua mereka punya kerjaya yang baik dan mampu menjamin masa depan mereka dan hanya menjadikan muzik sebagai hobi sahaja.
Muzik underground hanyalah budaya popular yang cepat masuk meresap ke pemikiran anak-anak muda waktu itu. Asasnya adalah ‘attitude’ yang kontra dari budaya mainstream yang dilihat poyo, mengada-ngada dan glamour.
Itu sebab sangat susah untuk kita melihat sesebuah band sama ada mereka itu band punk mahupun trash akan tersengih apabila berhadapan dengan kamera. Kebanyakan mereka akan bermuka masam dan garang-garang belaka sesuai dengan imej dan konsep muzik yang mereka bawa.
Berbeza dengan artis-artis pop yang akan suka tersengih dengan pakaian dan cermin mata berkilat sambil berposing bila berhadapan dengan kamera, dalam budaya underground tidak akan ada yang akan berbuat begitu. Mungkin bila sudah berumur mereka akan lebih cool dan matang, itu mungkinlah.
Saban hari saya selalu melihat kelibat Sam, penyanyi dan pemain bass Cromok melepasi gate komuter sewaktu balik kerja untuk pulang ke rumahnya.
Saya mengambil kesempatan untuk berkenalan dan sempat berbual dalam sesi sembang kedai kopi dengan beliau. Orangnya humble, cool dan realisitk.
Katanya walau Cromok sebuah band yang besar dan punya nama, ia tidak dapat menjamin masa depan jika mereka memilih muzik sebagai punca rezeki utama. Show yang diterima juga tak banyak. Untuk menjadikan muzik sebagai cabang untuk cari makan memang sukar di Malaysia, apatah jika kita berkarya mengikut citarasa kita.
Sam atau nama sebenarnya Shamsudin bin Ali mempunyai kerjaya profesional di salah sebuah syarikat telekomunikasi yang terkenal. Muzik kekal sebagai hobi baginya.
Dalam hidup ini kita hanya dua pilihan untuk kita pilih salah satu, jika kita di dalam bidang muzik. Berhenti atau kita teruskan. Berhenti bermakna kita akan buat benda lain. Teruskan bermakna kita perlu menggauli makna dan penyesuaian akan istilah muzik yang sebenarnya.
Pandanglah satu pada yang banyak, banyak pada yang satu. – 23 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments