Opinion

Dadah, muzik dan lagu

Saya sering menyanyikan lagu He Ain’t Heavy, He’s My Brother yang dipopularkan oleh kumpulan muzik popular tahun 60an, The Hollies sewaktu busking. Biasanya lagu itu adalah antara lagu yang terakhir yang akan saya nyanyikan kerana waktu itu sekitar jam 8.30 malam suasana di KL Sentral agak sunyi dan pengunjung tidaklah seramai pada waktu siang.

The Hollies adalah sebuah kumpulan muzik rock popular dari England yang ditubuhkan oleh Allan Clarke dan Graham Nash pada penghujung tahun 1962. Nash akhirnya meninggalkan band tersebut untuk menyertai kumpulan muzik hebat Crosby, Still’s & Nash pada 1968.

Lagu He Anit Heavy ini juga antara lagu yang saya suka selain beberapa lagu seperti Whiter Shade of Pale ( Procol Harum ), Arthur’s Theme ( Christopher Cross), Night in White Satin ( Moody Blues ) antaranya.

Mesej dalam lagu He Aint Heavy ini juga bagus dan bermanfaat. Di negara maju, sejak dulu lagi pemikiran warganya sudah maju sesuai dengan peredaran zaman yang pesat. Itu sebab lagu-lagu yang penuh dengan mesej yang bagus pun boleh meletup di pasaran.

Di barat, lagu seperti Street’s of London dendangan penyanyi folk singer songwriter kelahiran British Ralph Mc Tell meletup di pasaran dunia pada tahun 1975. Tema dalam lagunya berkisar tentang kehidupan, gelandangan dan kenyataan hidup.

Nyata tema tentang kasih sayang dan kehidupan juga mampu mendapat tempat di hati pendengar jika minda masyarakat itu terbuka dan matang dalam menilai mana kaca dan mana permata.

Tidak seperti di negara kita ini yang asyik dengan lagu cinta, kecewa dan memendam rasa sahaja yang mampu menambat hati pendengar dan siaran radio. Kalau selain itu adalah satu dua yang boleh meletup seperti lagu Sungai Lui (Aizat), selainnya tidak membina minda langsung.

Tema cinta itu luas, tidak semestinya lagu-lagu yang mesti diketengahkan hanya lagu lagu cinta pramatang atau lagu cinta ketuhanan dalam bentuk nasyid yang terlalu jelas puja dan pujinya. Kita boleh kembangkan cinta itu dalam bentuk yang lebih realistik dan matang.

Berbalik pada lagu He Ain’t Heavy ini, baru-baru ini tatkala saya menyanyikan lagu tersebut sebelum tutup kedai, datanglah seorang lelaki berumur 40an saya kira, katanya saya ini budak Pengasih kah?

Pengasih adalah sebuah pusat rawatan dan pemulihan penagih dadah.

Saya kata saya bukan budak Pengasih. Katanya dia budak Pengasih, sudah 12 tahun dia berhenti menagih dadah. Badannya pun sudah berisi. Lagu He Aint Heavy ini lagu Pengasih, katanya.

Ya, lagu He Aint Heavy memang penuh dengan elemen kasih sayang dan kemanusiaan yang sarat terkandung di dalam bait-bait liriknya. Saya secara peribadi memang suka menyanyikan lagu ini kerana mesejnya yang bagus dan bermanfaat.

Maka lelaki ini pun berceritalah pengalamannya sewaktu menagih dadah dulu, keluar masuk pusat dan akhirnya ke Pengasih semata-mata untuk berubah. Saya tabik lelaki ini kerana tidak malu mengaku yang dia bekas penagih dadah.

Siapa kata bekas penagih tidak boleh berubah dan menjadi orang? Cuma kemahuan diri mesti mahu kuat. Jika kita ini penagih, ending untuk kita hanyalah kematian yang kita pilih, itu sahaja. Memang Tuhan tentukan jalan hidup kita, tapi hitam dan putih kitalah yang mencorakkannya. Ramai kawan-kawan yang saya kenal menjadi penagih.

Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana ini jalan yang mereka pilih dan ia sangat mengecewakan kerana saya tahu permainannya sangatlah dasyat, membawa kepada lara dan kehancuran.

Saya tidak berani menyentuh dadah kerana saya tahu jika saya tersangkut di dalamnya, saya mungkin mati atau menjadi mayat hidup dan sangat sukar untuk kembali. Sebabnya merokok pun punyalah susah nak berhenti, inikan pula dadah.

Saya sering bersembang dengan seorang kenalan baik yang merupakan bekas penagih 40 tahun dulu, sewaktu di awal tahun 70an dulu.

Menceritakan pengalamannya, mula bermain-main dengan heroin pada 1972 dan akhirnya mengambil keputusan untuk cuba berhenti menagih dengan secara sukarela masuk ke sebuah pusat pemulihan persendirian yang terletak di Batu Gajah.

Kata kawan saya itu, dulu harga dadah jenis heroin hanyalah lebih kurang RM3 sahaja. Dijual dalam bentuk botol plastik yang kecil, bergantung pada tahap sukatan dan berwarna putih.

Untuk berhenti, bukanlah satu proses yang mudah sebenarnya. Menceritakan pengalamannya, ia tidaklah semudah yang digambarkan dengan kata-kata.

Saya tabik kawan-kawan saya yang berjaya dan bersih daripada dadah. Ia memerlukan nilai dan kemahuan diri yang kuat untuk kita lepas bebas daripada belenggu ketagihan.

Tahun 70an adalah era kebangkitan anak muda sedunia yang rebel dan bangga dengan lambang hippies yang berkonsepkan kasih sayang yang menjadi pegangan mereka. Tidak hairanlah cara dan imej mereka yang berambut panjang dan rugged itu kontra dengan imej konvensional yang agak “belia”.

Apabila kita memilih untuk menjadi manusia yang bebas melakukan apa yang kita fikir betul dan “cool”, ada masanya kita akan terlajak dalam melakukan beberapa perkara penting yang melibatkan takdir dan masa depan.

Di saat itu kita masih punya pilihan untuk tentukan nasib kita, sama ada berhenti atau kita teruskan? – 2 Oktober, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments