Opinion

Dari KL Sentral ke Pudu Sentral

Hentian Puduraya mula dibuka pada tahun 1976. Kuala Lumpur waktu itu baru nak membangun.

Hujung tahun tahun 1980 sewaktu cuti sekolah saya ke Kuala Lumpur naik bas ekspres dari Ipoh ke Puduraya. Itulah pertama kali saya menjejakkan kaki ke hentian Puduraya.

Orang memang ramai di Puduraya sebab tempat itu merupakan terminal utama bas ekspres dan bas biasa untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Sejak dibuka, Puduraya bukanlah tempat yang selamat kerana segala jenis manusia yang terdapat di situ.

Ada kaki ragut, penagih dadah, ulat tiket dan bermacam jenis spesis yang boleh kita lihat memenuhi tempat itu.

Berdekatan Puduraya, terdapat sebuah kompleks Kotaraya yang sangat popular di tahun 80-an 90-an dulu.

Waktu itu tidak ramai warga asing dari Myanmar, Indonesia, Nepal atau Bangladesh membanjiri tempat itu seperti hari ini.

Apabila dinaik taraf pada tahun 2011 dari Puduraya menjadi Pudu Sentral, bangunan yang lama menjadi baru dan menarik dari segi imej dan rekabentuk bangunannya.

Sehinggalah pada 2012 perdana menteri kita mengumumkan Pudu Sentral dikenali sebagai Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur atau UTC KL.

Saya pernah dua tiga kali ke Pudu Sentral untuk membeli tiket bas pulang ke kampung pada awal tahun ini.

Saya yang pada mulanya ingatkan Pudu Sentral yang sudah berubah wajah dan mampu memberi keselesaan pada para pengunjungnya, nyata tersilap jangka.

Entah, Pudu Sentral walaupun sudah berubah daripada buruk menjadi cantik, saya masih tidak merasa selamat berada di tempat itu.

Sesampai di tangga masuk ke dalam bangunan itu, kita akan diekori dan disapa oleh penjual tiket haram atau ulat tiket yang seakan memaksa kita untuk membeli tiket mereka.

Walaupun kita tak layan, mereka tidak berputus asa sehingga sanggup mengekori kita sampai ke kaunter tiket.

Saya lihat mereka tidak hairanpun dengan pegawai SPAD atau pihak penguasa yang berada di situ.

Pihak kerajaan perlu lebih peka dengan keselamatan para pengunjung yang datang ke Pudu Sentral. Bagi saya baik Puduraya mahupun Pudu Sentral, dari segi keselamatan dan keselesaan, saya tidak berasa yakin dengan tempat itu.

Saya tidak nampak pun anggota pasukan polis bantuan yang meronda dalam kawasan itu.

Hari ini kita lihat berbagai kes jenayah yang berlaku di Kuala Lumpur, terutamanya di sekitar Pudu Sentral dan Kotaraya.

Kotaraya sudah menjadi “port” warga asing yang melimpah ruah sampailah ke kompleks beli belah Mydin yang lokasinya juga berdekatan dengan Pudu Sentral.

Apabila sampai ke tempat itu kadang-kadang saya terfikir saya ini sedang berada di Myanmar, Nepal, Bangladesh atau Indonesia?

Kes sembelih budak yang berumur dua setengah tahun baru-baru ini yang menjadi tajuk utama berita di akhbar dan portal online berlaku di sekitar kawasan itu.

Ini kerja manusia yang sudah tidak punya hati dan perasaan sehingga sanggup melakukan perkara gila yang tak masuk akal.

Apa yang kita lihat hari ini, kadar jenayah semakin kerap berlaku dan cara mereka (penjenayah) semakin “brutal” dan kejam. Nyata dunia ini semakin gila.

Dari Pudu Sentral cubalah ke KL Sentral dengan menaiki tren Putra LRT dari hentian Masjid Jamek ke KL Sentral.

Apabila kita berada di KL Sentral, saya boleh kata yang kita sedang berada di zon selamat. Tempat itu yang mula dibuka pada tahun 2001 merupakan transit stesen keretapi utama Kuala Lumpur.

Beza antara KL Sentral dengan Pudu Sentral bagi saya sangat jauh dari segi keselamatan dan keselesaan. Mentaliti para pengunjungnya juga berbeza.

Saya sudah empat tahun berada di situ. Apa yang saya lihat, tempat itu lengkap dengan anggota keselamatan polis bantuan yang akan meronda pada setiap masa. Jadi para pengunjung sentiasa berasa selamat apabila berada dalam kawasan tersebut.

Memang rentak dan gaya pengunjung juga berbagai namun ianya masih terkawal kerana ada yang mengawal. Memang terdapat kejadian jenayah yang berlaku namun ianya kes terpencil.

Dunia dan pemikiran manusia hari ini semakin tidak menentu dan sukar dijangka. Kos sara hidup yang tinggi dan desakan hidup membuatkan manusia semakin lupa asal dan tujuannya hidup di dunia ini.

Sikap manusia juga seiring dengan sikap alam yang dilihat semakin menghukum dunia dengan segala musibah dan pancaroba.

Kita sedang berada di kota di mana para warganya semakin hilang nilai budi melainkan berajakan nafsu yang betakhta di hati.

Apa pilihan yang kita ada? – 5 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments