Opinion

Dosa dan pahala di Kuala Lumpur

Kita, para penghuni kota baru sahaja menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2016 dalam beberapa hari yang lalu. Ya, Kuala Lumpur pesat membangun. Populasi penduduknya melebihi 1. 7 juta orang.

Walau tak sesesak kota Manila mahu pun Jakarta, Kuala Lumpur tetap sesak dengan penghuninya termasuklah para warga asing yang semakin ramai dari hari ke sehari.

Saya benci Kuala Lumpur, tapi saya tidak punya pilihan kerana segalanya ada di sini, terutamanya bagi mereka yang berkerjaya seperti saya dan juga dalam bidang seni yang lainnya, seperti lukisan, filem dan sebagainya.

Kita mungkin akan berjaya dan kita mungkin akan gagal. Percaturan adalah nasib walau kita yang mencorakkan perjalanan hidup kita.

Saban hari saya di KL Sentral, ramai anak-anak muda yang datang dengan beg dan impian untuk mencari kehidupan dan masa depan di Kuala Lumpur. Jika mereka bertanya saya, saya akan nasihat agar lebih baik mereka tinggal di kampung sahaja, usahakan tanah dan bendang, itu lebih bermanfaat bahkan mampu menyara hidup kita berbanding tinggal di kota yang semakin sesak hari ini.

Tahun 1985 saya tinggalkan kampung untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur. Waktu itu bangunan Daya Bumi baru sahaja siap dan Menara Maybank baru nak siap. Mengapa ke Kuala Lumpur? Sebabnya saya adalah sebahagian dari anak-anak muda di zaman itu yang ingin hidup sebagai warga kota juga cuba untuk memasang impian mencapai bintang di langit.

Di kampung waktu itu di awal tahun 80an lagu, "Kuala Lumpur, oh Kuala Lumpur" dendangan penyanyi Adam Ahmad sering berkumandang di televisyen siaran RTM. Kemudian lagu itu dirakamkan penyanyi popular waktu itu Malek Ridzuan.

Cukup popular lagu itu. antara liriknya seperti di bawah ini:

"Aku datang dari desa hanya sebatang kara,
Meninggalkan kampung tercinta dan sanak saudara,
Setiba di kotaraya ku giat bekerja,
Berlumba-lumba mengejar apa yang dicita.
"

Lagu itu memberikan harapan dan mimpi kepada anak-anak muda waktu itu untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Kita mungkin sangat naif tentang Kuala Lumpur. Sedang jika kita tersungkur di situ, tiada siapa yang akan peduli.

Saya tidak punya pilihan kerana pusat muzik dan seni segalanya ada di Kuala Lumpur, apatah Pasar Seni juga terletak di Kuala Lumpur.

Apabila menonton filem "Kembara Seniman Jalanan" (1986) dan membeli kaset "Kembara Seniman Jalanan" yang terdapat lagu "Sesat di Kuala Lumpur", dendangan M.Nasir dan Kembara, saya berkata inilah kenyataan jika kita ingin hidup di Kuala Lumpur.

Antara bait liriknya:

"Sesat di Kuala Lumpur,
Dosa dan pahala bercampur,
Tapi kita perlu hidup,
Kita perlu terus hidup.

Mungkin kita akan temui kebahagiaan di Kuala Lumpur,
Mungkin kita akan kecewa,
Mungkin kita akan jadi kaya dalam lumpur,
Mungkin kita akan terpedaya.
"

Ya, Kuala Lumpur tidak menjanjikan apa-apa pun pada kita. Kita mungkin akan kalah, kita mungkin akan menang. Segalanya bergantung pada nasib kita di Kuala Lumpur. Usaha itu usahalah, tapi dipenghungnya adalah nasib.

Lama di Kuala Lumpur, apatah dengan hidup sebagai pemuzik di jalanan sejak dari zaman "survival" dulu sehinggalah ke hari ini, saya menerima siapa dan apa Kuala Lumpur ini seadanya. Inilah tempat kita mencari rezeki, dosa dan pahala bercampur, itulah Kuala Lumpur.

Kota ini akan sunyi hanya bila tiba musim perayaan terutamanya sambutan Hari Raya Puasa, itu sahaja. Selainnya Kuala Lumpur tetap gagah, apatah banyak restoran mamak yang beroperasi 24 jam, dan sampai ke dinihari akan ada pelanggan yang datang untuk segelas teh tarik atau sekeping roti canai sekurang-kurangnya.

Kita pernah kecewa, putus asa, cuba bangun dan berdiri kerana Kuala Lumpur. Kota ini terlalu banyak mengajar saya tentang kehidupan dan segalanya.

Untuk tinggal terus di Kuala Lumpur, kita perlu rajin untuk terus hidup kerana kos hidup di sini tinggi. Tidak hairanlah jika kita lihat di kawasan Hulu Kelang ini, banyak gerai-gerai tepi jalan yang beroperasi. Ada yang jual nasi lemak, burger, air kelapa, air tebu dan sebagainya.

Mereka melakukan berbagai kerja mahupun berniaga demi untuk mencari duit lebih. Kita malas, bangsa asing akan ambil kesempatan, kita buka kedai runcit sehingga jam 8 malam. Kalau kedai runcit mamak pula, mungkin sehingga jam 11 malam. Tapi bagi warga asing mereka mampu beroperasi sehingga jam 3 pagi.

Sekali lagi, jika anda ingin mencari kehidupan di Kuala Lumpur, lupakanlah niat itu. Tinggallah di kampung atau berhijrahlah ke negeri-negeri lain untuk mencari rezeki. Kuala Lumpur ni glamour je yang lebih.

Tapi jika anda sukakan cabaran dan sanggup menghadinya, "Selamat datang ke Kuala Lumpur brader!" – 4 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments