Opinion

Dunia independen dahulu dan sekarang

Saya bercerita dengan kawan pemuzik tentang pendapat seorang kawan yang juga orang lama dalam dunia seni suara tanah air. Pendapatnya tentang saya, "umpama secawan air yang sempurna yang tidak tahu mana mahu diletakkan".

Mengupas semula kata-katanya 10 tahun dahulu, saya agak kecewa dengan pendapatnya waktu itu.

Kecewa kerana katanya tidak ada tempat untuk pengkarya yang berkarya ikut acuan sendiri seperti saya di sini, di negara yang kalau dari sudut muziknya, segala apa macam bentuk atau warna muzik yang dibawa, alirannya perlu bernilai komersial.

Itu sebabnya kalau Bob Dylan beranak di sini, dia akan menghabiskankan sisa hidupnya sebagai penoreh getah jika beranak di kampung. Jika lahir di kota, mungkin akan jadi pekerja am yang kalau ada masa lapangnya untuk ‘mengular’ dia akan ke kedai muzik membelek-belek dan mencuba gitar tong berjenama yang tergantung di ‘showroom’.

Jika nasib tidak baik, Dylan mungkin akan menjadi penagih dadah lantaran kecewa kerana muziknya tidak diterima di sini.

Awal tahun 2000, genre independen bagi kategori folk singer-songwriter baru bermula untuk sebuah era yang lebih ke hadapan dan terbuka. Sebelumnya program seperti itu sudah wujud di era 70-an waktu zaman Rafique Rashid dan kawan-kawan, saya tidak pasti kerana waktu itu saya masih melastik burung di kampung.

Kawan-kawan yang sealiran pada awal tahun 2000 mula menganjurkan program singer-songwriter seperti program ‘Unclogged’, KL Singsong dan Troubodour demi mengembangkan konsep tersebut.

Permulaannya agak perlahan, namun ia mula berkembang dan diterima ramai sehingga ke hari ini. Kita boleh lihat hari ini ramai singer-songwriter yang berkarya dengan lagu dan lirik ciptaan mereka sendiri dan ianya diterima ramai.

Melihat dari sudut sastera dan pasarannya, kita hanya punya Pena dan Gapena sejak dahulu, juga Dewan Bahasa dan Sastera, di mana lagu-lagu puisi nyanyian M Nasir dan Kopratasa mendapat tempat di kalangan peminat mereka yang cintakan puisi dan sajak.

Sehingga jika kita mahu nyanyikan lagu puisi, bentuk dan sifatnya perlulah stereotaip seperti lagu-lagu Kopratasa, yang meletup dengan album pertama mereka Keringat Dalam Pasrah yang diterbitkan pada tahun 1987.

Jika kita bikin selain dari melodi dan mood Kopratasa, pendengar lagu puisi akan pening dan sukar untuk menerima. Jadi kalau dari melodinya wajiblah bernada ‘minor’ kalau mahu lagu itu mudah popular.

Dengan lagu 'Masihkah Kau Ingat' itulah nama kumpulan muzik trio yang dianggotai Sani Sudin, Usop dan Siso itu meniti puncak populariti sebaris dengan artis popular di zaman itu.

Sehingga ke hari ini, Kopratasa masih menyanyikan lagu hit mereka walaupun sudah 27 tahun berlalu. Positifnya, lagu itu ‘evergreen’ sehingga ke hari ini.

Negatifnya, album-album selepas Keringat Dalam Pasrah agak sukar diterima sehinggalah lagu Permata Buat Isteri yang diberi suntikan baru dari segi susunan muziknya oleh maestro Eddie Marzuki berjaya mengembalikan populariti Kopratasa pada awal atau pertengahan tahun 2000 dulu, saya kurang pasti.

Permata Buat Isteri adalah salah sebuah lagu lama mereka yang terdapat dalam album kedua yang berjudul Kunci, diterbitkan pada tahun 1988.

Yang berdiri agak kukuh walau dalam kelompok minoriti, itulah muzik ‘underground’ yang hidup dengan aliran muzik trash metal dan punk yang mampu memberi warna non-komersial di kalangan anak-anak muda yang anti-mainstream sejak demam Metallica dan Sepultura melanda Pasar Seni pada hujung tahun 80-an.

Saya pula lagilah tersepit, dengan kelompok pendengar yang apabila mereka membeli album kita, kita akan jangka yang mereka itu pendengar muzik Dylan, Kembara, Fals antaranya.
Bagaimanapun, apabila seorang kawan bercerita tentang seorang penyanyi lagu puisi otai yang katanya penuh dengan elemen mistikal dalam mengarang lagu sehingga lagu puisi itu katanya ada jantan dan betina, saya tergelak ketawa pecah perut.

Kalau lagu puisi itu betul berkualiti seperti lagu dari kumpulan Shakti dan John McLaughin atau Salif Keita yang countingnya pun 5/4 itu saya salutlah.

Setakat lagu pun melodinya Am/Dm/E/Am dan standard counting 4/4 ballad, itu muzik yang sangat tipikal dan stereotaip. Cuba dengar lagu puisi Melayu. Muziknya memang seakan sama antara satu dengan lain.

Sekurang-kurangnya tahap kualiti seperti lagu-lagu yang terdapat dalam album M Nasir ‘Phoenix Bangkit’, itu oklah.

Hari ini muzik independen semakin diterima ramai, terutamanya anak muda. Bukan sahaja muzik, malah segala bentuk cabang seni itu yang sifatnya independen, semakin diterima. Hari ini banyak program kesenian yang acuannya independen, kerap dianjurkan.

Buku-buku independen juga banyak diterbitkan. Anak muda diberi pilihan samada mahu yang poyo atau rugged. Anak muda suka yang rugged. Terlalu poyo, skema atau formal akan buat mereka menyampah.

Tidak hairanlah jika program itu bernaung di bawah label independen, sambutannya sangat menggalakkan.

Sehingga segalanya akan menjadi mainstream, sehingga segala benda atau bahan-bahan yang membodohkan minda itu menjadi minoriti dan sehingga anak-anak muda semakin faham apa yang mereka mahu dan perlukan dalam hidup ini sebenarnya.

Untuk saya, saya tidak perlu mengharapkan sesiapa pun meletakkan cawan yang saya minum itu di mana-mana tempat pun.

Saya sudah punya 10 album sejak tahun 2001. Dari segi pencapaian, saya bersyukur kerana saya masih kekal dengan nilai-nilai idealis dalam berkarya. – 15 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments