Opinion

Fahmi Faiz dan siri perjalanannya

Saya sering bertemu dengan seorang penulis yang sedang meningkat naik namanya, Fahmi Faiz, 29, di KL Sentral. Jika ke Kuala Lumpur ada urusan, biasanya beliau akan singgah di port saya untuk bertanya khabar, berbual dan bertukar pandangan.

Buku bertajuk Di Hujung Muncung Mesingan karya Fahmi Faiz. Buku bertajuk Di Hujung Muncung Mesingan karya Fahmi Faiz. Beberapa bulan lepas sebelum tarikh pelancaran buku barunya, beliau singgah lagi dan menghadiahkan saya hasil karya terbarunya itu, Di Hujung Muncung Mesingan (DHMM) yang dilancarkan pada 27 April, 2014 di PWTC.

Pada mulanya saya menyatakan hasrat untuk hadir dan memberikan sokongan, namun hajat itu tidak kesampaian kerana harus bergegas pulang ke kampung atas urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.

Dan rasa bersalah sebenarnya kerana saya berjanji menulis tentang cerita dalam buku barunya itu yang mengambil masa agak lama untuk saya ulas.

Fahmi adalah segelintir penulis di kalangan anak muda yang dilihat karya dan temanya lari daripada klise, kisah cinta, cerita dakwah dan agama yang stereotype bersepah di pasaran.

Saya tidak menafikan novel cinta bertema remaja dan angan-angan berlambak di pasaran ketika ini, tetapi jika semua remaja disogokkan dengan kisah cinta memanjang, apa gunanya jadi pembaca jika yang kita hadap cinta, cinta dan hanya cinta saja?

Kita tidak akan mampu terus hidup dengan angan-angan dan cinta. Kita perlukan cerita yang nyata dan realisitik sifatnya. Masalahya di Malaysia kebanyakan pembaca Melayu khususnya hanya perlu dan suka yang ringan-ringan belaka, jadi cerita yang agak serius tidaklah ramai pembacanya.

Atau cerita dakwah dan tema keagamaan yang pengisiannya hanya sudut fekah dan syariat semata, yang mana segalanya kita sudah faham dan amalkan sejak zaman sekolah menengah dulu.

Kalau daripada sudut iman pun pemahamannya masih berlegar di sekitar angan-angan dan fikiran, jadi itu hanya menjadikan kita seperti budak sekolah yang masih perlukan bimbingan dan pengawasan bagaimana untuk kenal A dan B hanya di peringkat asas.

Di Karangkraf, saya kenal dua penulis, seorang sudah terkenal dan khabarnya bergelar jutawan dengan hanya berkerjaya sebagai penulis, iaitu Ramlee Awang Murshid, seorang lagi Fahmi Faiz, yang mungkin bakal mengikut jejak langkah Ramlee, hidup senang dan mewah dengan hasil menulis.

Apa yang saya lihat ada dalam diri Fahmi adalah semangat dan kegigihannya menjadi penulis yang berjaya. Dan beliau bangga dengan kerjayanya sebagai seorang penulis, itu yang paling penting.

Kita perlu berbangga dengan kerjaya kita walaupun kerja kita hanya tukang sapu mahupun penoreh getah.

Melihat latar belakang Fahmi sebagai seorang budak bijak yang ada kelulusan dan kerjaya yang mampu menjamin masa depannya, lantas menutup lorong ke arah gemerlapan itu untuk ke lorong gelap dan berliku, itulah nilai pengorbanan yang harus kita pilih jika kita kata kitalah sebahagian cerita dan takdirNya. Dan beliau juga agak realistik dengan kehidupan yang tidak pernah menjanjikan apa-apa ini.

Untuk membandingkan antara Ramlee dan Fahmi juga tidak adil, kerana mereka berkarya dalam genre yang berbeza. Cuma Ramlee orang sastera, jadi karya dan tulisannya menarik untuk dibaca kerana kepandaiannya mengolah makna dan jalan cerita menjadikan kisah yang ditulisnya seakan hidup dan varisasi sifatnya.

Ramlee bijak kerana berjaya memasukkan elemen Islamik dalam karyanya walau dalam genre fiksyen. Juga diselitkan kisah cinta di dalam ceritanya. Watak utama yang diciptanya juga ada karakter dan hidup. Saya membaca beberapa buah novel beliau dan antaranya ialah Tombiruo Terakhir.

Fahmi pula budak sains. Buku pertamanya diterbitkan beberapa tahun tahu. Saya masih tidak berkesempatan memiliki buku pertamanya 'Bila Ku Petik Gitar' itu.

Saya mengambil masa sebenarnya untuk membaca buku terbarunya itu. Jika kita berbual dengan Fahmi, begitulah cara penulisannya. Kesungguhannya dalam berbicara sama dengan kesungguhannya mengolah kata-kata dalam penulisan.

Kedua-dua bukunya berkisar tentang pengembaraan. Untuk misi seterusnya, beliau merancang untuk ke Selatan Thai yang sedang bergolak, untuk menjadi bahan penulisan karya terbarunya nanti.

DHMM sebuah travelog perjalanan yang boleh dikatakan berisiko untuk seorang anak muda yang punya inisiatif untuk ke Mindanao demi merasai pengalaman dan melihat perkembangan kaum seagamanya, Bangsamoro di sana.

Perjalanan di sana turut dibantu kenalannya, Hassan dari Maguindanao dan rakannya, Nash sebagai wakil Autonomous Region of Muslim Mindanao (ARMM) dan Rahman (Moro Islamic Liberation Front - MILF).

Membaca inti dan isi cerita dalam DHMM, saya suka siri-siri lawatan dan aktiviti yang dijayakan Fahmi dengan kerjasama kementerian yang kemudian memaklumkan kepada perwakilan Malaysia di Manila.

Kesan pengembaraan melawat bangsa seagama, nyata menginsafkan beliau seperti katanya, "betapa kita patut bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia yang masih aman dan damai".

Cuma pada pendapat saya, jika eksplorasi tersebut dilakukan secara solo tanpa pertolongan dan kerjasama mana-mana badan atau kementerian, itu akan menjadi lebih mencabar.

Apa pun saya tabik anak muda ini kerana berani melakukan perkara bermanfaat yang tidak ramai orang akan melakukannya. Saya percaya beliau akan berjaya menjadi seorang penulis terkenal suatu hari nanti. – 25 September, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments