Ada 2 kenalan yang bertanya atau meminta pendapat saya tentang konflik yang sedang mereka hadapi. Yang seorang masalahnya tidak punya keyakinan untuk berumahtangga, yang seorang lagi nak kahwin, tapi terbantut sebab duit hantaran mahal.
Salah seorang kenalan saya itu seorang anak muda berumur 24 tahun, bertanya patutkah dia berkahwin dalam usia semuda itu ? Desakan orang tua yang mahukan perkahwinan dilangsungkan awal setelah mereka kenal hati budi dalam tempoh tidak sampai setahun.
Perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah, itu yang selalu saya katakan. Walaupun saya sudah melangsungkan perkahwinan selama 20 tahun, pun masih di tahap pembelajaran.
Apatah jika kita ini berlainan faham dari sudut kefahaman dan cara berfikir. Bagi saya sesebuah perkahwinan itu memerlukan nilai pengorbanan yang tinggi dari berbagai sudut dan aspek. Apakah kita sudah bersedia untuk itu?
Saya tidak berhak mengatakan 'jangan kahwin', sebab ini hak yang empunya badan itu sendiri. perkahwinan sesuatu yang baik, umpama mendirikan masjid. Yang terbaik berkahwinlah jika itu sudah kemahuan jodoh dan selepasnya adalah proses pembelajaran.
Perkahwinan ibarat sebuah pelayaran yang mana kita adalah nakhodanya. Laut tidak akan selalunya tenang, tenangnya mungkin hanya pada awal bulan, begitulah...
Manusia makhluk yang sempurna, ada akal dan nafsu. Bila suatu pasangan itu cuba untuk bersatu dalam banyak perkara dan ada pula yang tidak sehaluan, maka konflik akan berlaku.
Tidak hairanlah hari ini atau pada zaman ini, ada manusia sanggup berkahwin dengan robot, pokok, jambatan, binatang dan sebagainya. Mereka tidak perlukan tindak balas dalam sesebuah hubungan. Mereka lebih suka melayan perasaan dan syok sendiri jika itulah definisi kebahagiaan bagi mereka.
Mereka mencipta makna 'bahagia' mengikut visi dan fantasi, dizahirkan ke alam nyata. Dalam satu hal, mereka ini berada dalam golongan 'eskapisme', dalam satu hal lagi, undang-undang negara mereka membenarkan dan tidak melarang perbuatan yang bercanggah dengan hukum alam itu.
Berkahwin dengan manusia banyak masalah, berkahwin dengan pokok atau jambatan tak ada masalah langsung. Cuma ia nampak janggal di mata daripada segi fitrahnya, tapi apa ada hal pun.
Akhirnya kenalan saya itu pun melangsungkan perkahwinan sebagaimana kita semua maklum yang jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan.
Seorang lagi kenalan masalahnya nak kahwin, tapi terpaksa ditangguhkan kerana baru mendapat pekerjaan selepas penat belajar untuk mendapatkan sekeping ijazah. Belanja perkahwinan pun pada zaman ini segalanya menelan kos puluhan ribu ringgit.
Kalau kita ini hanya dalam kelompok golongan yang sederhana, mengapa letak harga tinggi sangat? Kalau kita ini anak orang bangsawan, anak raja atau anak pak-pak menteri yang kaya raya, itu saya sedia maklumlah. Tapi kalau setakat tinggal pun di rumah flat atau rumah kos rendah, berdirilah atas kenyataan dan hadapilah realiti kehidupan ini.
Kasihanlah pada pasangan yang baru hendak mendirikan masjid dengan cara sah. Si lelaki gajinya bukanlah tinggi sangat begitu juga dengan pasangannya.
Yang penting 'halal' dan sah, itu saja. Selainnya hanyalah penyeri. Kita sedia maklum kos sara hidup hari ini pun memang tinggi. Duit kita pun jatuh teruk. Belanja kahwin memang tidak ada cukai GST tapi bila kita kira kos atau belanja secara keseluruhannya, itu termasuk GST.
Contohnya kita hendak beli nasi lemak, dinaikkan harga daripada RM1.20 ke RM1.30, maknanya naik 10 sen. Sebabnya? Harga kertas nak balut naik lemak naik, harga plastik pembungkus nasi lemak pun naik. Naiknya sebab GST, jadi harga nasi lemak pun naiklah.
Pada zaman yang serba moden dan mencabar hari ini, kita perlu duduk dalam kenyataan hidup dan selalulah bercermin. Kita tidak perlu menjadi raja hanya untuk sehari dua, sebab itu bukanlah kita yang sebenarnya. Kita tidak perlu menjadi para artis yang segak bergaya dalam memperagakan gaya hidup glamor masa kini sedangkan pada hakikatnya mereka sendiri pun tidaklah berduit sangat.
Kita bukan berada dalam zaman Jalan Ampas 1950-an dulu, di mana para artis dianggap seperti dewa dari kayangan walau pada hakikat kehidupan mereka adalah sebaliknya. Glamor tidak cukup untuk mengenyangkan perut. Hari ini walau sehebat mana artis lalu di hadapan kita pun, ia hanyalah satu pemandangan yang biasa cuma.
Untuk menjalani kehidupan selepas bergelar suami isteri juga bukanlah suatu yang mudah semudah A B dan C. Punca segala masalah biasanya berkisar tentang duit dan tiada nilai kesetiaan. Apabila segalanya tidak ada jalan penyudah, perceraian jalan penyelesaiannya.
Apa pun bergelar seorang suami atau ayah kepada anak adalah satu pencapaian bagi seorang yang bergelar lelaki. Kesempurnaan itu campuran makna secara keseluruhannya. Mungkin abstrak mahupun realisme, kita boleh fahamkan mengikut kefahaman kita sendiri dalam mentafsirkan makna kehidupan ini. – 10 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments