Opinion

Kasta dan mentaliti masyarakat kita

Memang dalam kehidupan di dunia ini, manusia itu sama sahaja nilainya di sisi Tuhan pencipta alam. Tidak kira apa status pun mereka itu. Miskin, kaya atau siapa pun kita bukanlah sesiapapun di sisi Dia. Hatta kita kembali pun dalam keadaan yang kosong tanpa ada apa pun melainkan hanya disalut kain putih untuk menutup jasad.

Yang dimahuNya adalah sejauh atau sedalam mana kita mengenal sifat-sifatNya, untuk kita kembali kepadaNya bergantung sejauh mana kita mengenal Dia.

Bagaimanapun antara sesama kita manusia, memang wujud darjat atau kasta di kalangan masyarakat. ini kerana dasar sikap manusia itu yang masih berkehendak mengikut adab dan peradaban manusiawi.

Ada orang kaya, miskin atau sederhana. Orang kaya rumah mereka tentulah berpagar, orang miskin pula lopong dan kosong. Orang kaya pandangan mereka terhadap orang kebanyakan juga biasanya berbeza dan masih berkepentingan. Orang miskin pula sering mengharapkan agar mereka selalu dipandang, pun atas dasar kepentingan juga.

Sepatutnya kita manusia saling perlu memerlukan antara satu sama yang lain. Tidak kira sama ada kita ini kaya ataupun miskin.

Itu kita kata pandangan dari sisi masyarakat yang menilai dari sudut luarannya. Manusia biasanya akan menilai dari sudut luaran, itu adalah lumrah kehidupan.

Kenyataannya rendah atau tinggi darjat kita ini bergantunglah kepada tahap kita dalam menilai kehidupan ini dari sudut kemanusiaan dan ilmiahnya. Orang kaya pun banyak tahap mentaliti dan pemikiran rendah berbanding orang kebanyakan.

Persekitaran dan dengan siapa kita bergaul juga perlu diambil kira. Biasanya kita hanya akan rapat dan bergaul dengan mereka yang sefaham dengan kita. Kita adalah tentang siapa kita dan di mana kita berada.

Dalam setiap bangsa itu memang wujud kasta dalam masyarakat secara tidak langsungnya. Kalau golongan daripada kasta tinggi, adab mereka lain dan tahap penerimaan masyarakat terhadap mereka pun kadang terlebih pula seperti dewa. Biasanya mereka ini daripada golongan kaya.

Golongan yang datang daripada kasta yang rendah pula, biasanya tahap pemikiran mereka itu rendah. Banyak sebab, kemiskinan itu salah satu punca utamanya. Apabila kita miskin, kita akan terdesak dalam banyak hal dan secara tidak langsungnya kita tidak mampu untuk menaik-taraf tahap pemikiran kita ke wilayah pemikiran lebih matang dan rasional.

Persekitaran yang baik dan selesa itu penting untuk sebuah kehidupan sebenarnya. Ia secara tidak langsung mampu memberikan kita nilai sebuah kebahagiaan yang kita impikan walau dalam bentuk sederhana.

Saya selesa dengan kawasan persekitaran tempat tinggal saya. Mentaliti penduduknya yang matang dan rasional membuatkan nilai toleransi itu mampu dipraktikkan dalam bentuk berhemah. Mungkin kita terpaksa berbelanja lebih untuk kos sewa rumah yang semakin mahal, tapi untuk kehidupan berkeluarga, bagi saya masih berbaloi untuk nilai sebuah keselesaan.

Saya pernah tinggal di rumah kos rendah DBKL atau PPRT sekitar tahun 2000 sehinggalah ke tahun 2006 dahulu. Daripada segi kos sewa rumahnya memanglah rendah, hanya RM124 sebulan. Namun bila mengenangkan sikap dan mentaliti kebanyakan penduduknya yang rendah, nyata itulah harga yang perlu kita bayar untuk nilai sebuah keselesaan.

Vandalisme dan sebagainya itu sudah menjadi perkara biasa. Kebanyakan yang tinggal di perumahan PPRT ini datangnya dari kawasan setinggan dan mereka dipindahkan melalui sistem pemindahan.

Memang bukan semua yang datang dari kawasan setinggan itu mentaliti mereka rendah, tapi apa yang saya alami memang tidak menyenangkan tentang perihal sikap dan mentaliti masyarakat di situ.

Sofa yang sudah tidak dipakai dicampak dari tingkat 15, darah bertaburan di luar lif kesan pergaduhan, kecurian motosikal sering berlaku, anak-anak muda terlibat dengan dadah dan jenayah. Pernah suatu ketika saya ingatkan bunyi bom meletup, rupanya salah seorang penghuni mati terbunuh kerana cuba masuk ke dalam rumah melalui koridor.

Bayangkan bila kita yang sudah berkeluarga ini keluar sahaja dari pintu kereta, berlaku pergaduhan kejar mengejar oleh sekelompok anak muda yang langsung tidak ada dasar hormat menghormati antara sesama.

Mentaliti susah untuk berubah jika kita ini tepu daripada segi pemikiran dan tidak berkembang. Untuk mengembangkan nilai bijaksana dalam diri, kita perlu “move on” dalam berbagai-bagai aspek. Untuk memajukan diri kita sendiri kita perlu progres dan tidak statik. Kita perlu melihat dari atas dari menilai dari satu sisi.

Dan yang paling utama, banyakkan membaca buku dan bahan yang lebih membuatkan kita menjadi seorang manusia yang lebih pandai menilai erti kehidupan ini dan maknanya.

Masyarakat yang tepu dan tidak berkembang daripada segi pemikiran akan mudah diperkotak-katikkan oleh pelbagai pihak sebagaimana kita lihat hari ini. Banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita, sudah pun berlaku. – 23 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments