Opinion

Ke arah seni muzik yang lebih variasi

Balawan seorang pemuzik genius yang mempunyai kemahiran dalam permainan gitar teknik stail tapping atau ‘two handed tapping technique’.Balawan seorang pemuzik genius yang mempunyai kemahiran dalam permainan gitar teknik stail tapping atau ‘two handed tapping technique’.Tidak banyak yang boleh kita banggakan tentang perkembangan seni muzik tanah air kita hari ini. Kalau kita bercerita tentang kualiti, bagi saya tahun 50an di zaman P. Ramlee dahulu dari segi viariasinya lebih maju dan berkualiti berbanding hari ini.

Muzik di zaman itu dipenuhi mood jazz, broadway, asli, langgam, inang, pop yang mana dari segi susunan muziknya sangat menarik dan variasi sifatnya, malah yang mengagumkan ia mendapat sambutan dari masyarakat di zaman itu.

Dengar sahaja lagu Ibu, Getaran Jiwa, Tunggu Sekejap, Merak Kayangan, Tudung Periuk, Aci Aci Buka Pintu dan banyak lagi hasil karya P Ramlee.

Apabila ada sambutan, sepatutnya ia terus berkembang, malangnya itu tidak berlaku bila mana masuk sahaja era pop yeh yeh dan a go go di tahun 60an, telinga masyarakat kita terus ke arah itu, yakni ke arah fesyen dan rock n roll.

Hari ini, kalau kita bikin muzik selain pop, alamatnya kita akan dicop syok sendiri. sehingga segala bentuk genre sekalipun, perlu dimasukkan elemen pop dan komersial di dalamnya. Contohnya lagu rock lirik cinta meleleh.

Apabila syok sendiri, alamatnya juga album kita tidak laku. Kesannya kita mungkin akan kecewa dan akhirnya mula berfikir untuk mencari kerja dan menjadikan muzik hanya sekadar hobi sahaja.

Banyak penyebabnya, antaranya tiada pendedahan dan sokongan daripada media, baik dari sudut audio mahupun visual yang menyokong atau berminat untuk memberi promosi tentang muzik selain pop.

Kebanyakan wartawan hiburan pula kurang pengetahuan tentang ilmu muzik melainkan yang mereka ingin ketengahkan hanyalah cerita-cerita gosip, skandal dan cerita dalam kelambu para artis sahaja.

Jadi kita perlu luaskan ruang indipendent itu sendiri sehingga mampu bersaing dan komersialkan apa cabang atau genre kita sehingga mendapat tempat yang sepatutnya.

Saya ingin mengulas tentang segelintir para pemuzik kita yang berbakat yang terdapat di negara kita ini, yang bagi saya bakat mereka ini perlu mendapat perhatian daripada masyarakat terutamanya anak-anak muda di zaman ini.

Pihak kerajaan juga daripada badan-badan kesenian perlu memberi sokongan dan bantuan kepada segelintir mereka yang berbakat besar ini, sebagaimana mereka menyuntik dana untuk badan kesusasteraan untuk mereka terus hidup dan berkembang.

Saya faham senario seni dan genre muzik instrumental kurang mendapat sambutan dan perhatian daripada majoriti para pendengar secara keseluruhannya. Kesannya mereka ini mampu bikin album tapi yang membelinya hanyalah segelintir pendengar sahaja, mungkin di kalangan kawan-kawan yang menyokong.

Itu sebab perlunya muzik yang berbentuk ilmiah seperti ini mendapat sokongan dan dana daripada pihak kerajaan. Contohnya bantuan atau sediakan peruntukan untuk mereka berkarya dan menghasilkan album.

Kita tahu peruntukan yang disediakan untuk cabang kesenian itu berjumlah jutaan ringgit. Apalah salahnya disalurkanlah sedikit kepada mereka yang berkarya dalam genre indipendent yang non konvensional.

Kita pernah memiliki pemuzik hebat seperti Farid Ali(arwah) atau Gambus Man juga Paul Ponnudurai. Atau untuk genre klasikal dan jaz antara yang paling menonjol di zaman ini Sheikh Hady Basmeih, yang sering mendapat perhatian dan membuat persembahan di luar negara.

Kalau di Indonesia, mereka punya Balawan (lahir 9 September 1973), seorang pemuzik genius yang mempunyai kemahiran dalam permainan gitar teknik stail tapping atau "two handed tapping technique". Pemuzik atau gitaris terbaik Indonesia kelahiran Bali ini mula bermain gitar sejak berumur 8 tahun lagi dan beberapa tahun kemudiannya mendalami ilmu muzik jaz di Australia.

Kembali ke Indonesia sebagai seorang pemuzik yang punya kemahiran hebat, beliau menubuhkan  kumpulan muziknya, Batuan Ethnic Fusion yang berteraskan elemen muzik tradisional Bali. Balawan bijak kerana kalau setakat muzik jaz, di merata tempat di dunia ini ramai pemuzik jaz yang hebat.

Apabila dimasukkan elemen gamelan Bali bercampur mode jaz dan fusion, ia merupakan satu kelainan dan yang paling penting, muzik mereka sangat teknikal dan complicated.

Mendengar muzik Balawan, ia sekual dan dipengaruhi muzik George Benson dan Stanley Jordan antaranya. Apatah beliau juga seorang penulis lagu dan penyanyi jaz yang berbakat.

Kepadatan penduduk Indonesia yang berjumlah hampir 300 juta bertambah dengan mentaliti masyarakat mereka yang lebih terbuka dalam menilai seni muzik yang variasi sifatnya, memungkinkan muzik Balawan mampu diterima sehingga beliau dapat menghasilkan sejumlah album malah dinobatkan dalam majalah Rolling Stone sebagai antara 100 gitaris terbaik dunia.

Mempelajari teknik stail tapping bukanlah sesuatu yang mudah. Teknik ini sudahpun dipelopori penggubah agung Paganini dalam permainan violinnya berkurun yang lalu. Sehingga Eddie Van Halen mempopularkan teknik tersebut dalam permainan gitarnya dalam album kumpulan rock, Van Halen.

Terdapat juga instrumen yang khusus untuk tapping iaitu “Chapman Stick” yang dicipta oleh pemuzik jaz Emmet Chapman pada awal 70an dahulu. Sehingga ia mampu dikomersialkan ke seluruh dunia dan mendapat sambutan daripada pemuzik hebat dunia.

Toni Levin (King Crimson) dan pemain bass “Weather Report”, Alphonso Johnson antara yang awal memperkenalkan Chapman Stick kepada khalayak. – 9 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments