Opinion

Kembara yang dulu bukanlah yang sekarang

Apabila Datuk Dr M Nasir memberikan pendapatnya tentang kumpulan Kembara di program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 baru-baru ini katanya, yang membezakan Kembara dulu dan sekarang adalah ‘saiz badan’. Saya sangat bersetuju. Sekurang-kurangnya beliau jujur dengan kenyataannya itu.

Saya salah seorang peminat kumpulan Kembara yang hadir di awal tahun 80an dulu dengan trio M Nasir, A Ali dan S Shahlan.

Kembara hadir dengan dua musim yang berbeza dari segi konsep. Pertamanya sewaktu hadir dengan trio Nasir, Ali dan Shahlan. Selepas itu Kembara muncul dengan konsep muzik yang lebih berat, dengan memasukkan elemen rock dan progresif dengan line up seramai 5 orang termasuklah kehadiran adik M Nasir, Zoul yang juga seorang gitaris berbakat menyertai kumpulan itu.

Kulit album pertama Kembara yang dikeluarkan pada 1981. Kulit album pertama Kembara yang dikeluarkan pada 1981. Pernah tampil dengan tujuh album iaitu album Kembara (1981), Perjuangan (1982), Generasiku (1983), Seniman Jalanan (1984), 1404 Hijrah (1984), Duit (1985) dan Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986).

Kembara adalah fenomena bagi anak-anak muda di awal tahun 80-an sejak album pertama mereka “Kembara” diterbitkan pada 1981.

Pun begitu 80% daripada Kembara adalah M Nasir, selebihnya A Ali juga S Shahlan. Dalam album Kembara sebahagian besar lagu dan lirik adalah hasil ciptaan M Nasir. Maknanya menonton persembahan mereka juga fokus utamanya adalah M Nasir sebagai watak utama.

Konsert mereka yang berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 21 hingga 23 November 2014 lepas dikira berjaya kerana masih mendapat sambutan peminat yang sebahagian besarnya membesar dengan lagu-lagu mereka di tahun 80-an dulu.

Cuma yang membezakan mereka 28 tahun dulu dengan sekarang, hari ini mereka hadir dengan berpakaian uniform seperti kumpulan muzik yang memasuki peringkat akhir bintang RTM yang kebanyakannya berpakaian seragam .

Berbeza dulu dengan kasut fung Keong, seluar jeans lusuh dan kemeja kotak lambang marhaen sesuai dengan konsep muzik mereka yang merakyat.

Ramai kawan-kawan mengeluh tentang harga tiket yang bermula dari RM70 sehingga RM600 masih dikira mahal, tidak sesuai dengan konsep muzik mereka yang penuh dengan elemen marhaen seperti lagu Duit, Lindungilah Kami, Kawan, Kutu, Ekspress Rakyat, Hati Emas, Bas No 13, Impian Anak Jalanan antaranya.

Jika tiket konsert band-band rock seperti Search yang katanya harga tiket paling murah pun berharga RM300, itu kita boleh faham sebab Kembara adalah kumpulan muzik yang membawa konsep rakyat atau mewakili golongan marhaen atau ‘working class’.

Saya bertanya pendapat teman-teman rapat yang sama-sama membesar dengan lagu mereka. Salah seorangnya saudara Hashim Man, seorang pelukis profesional yang menetap di Kuala Lipis, Pahang. Seperti katanya tentang kumpulan ini,

“Wajah dan jiwa kumpulan yang merakyat itu sudah sirna.Sayang sesuatu yang legend di hati khalayak rakyat biasa, penghujungnya terbohong dengan kebendaan juga. Tiket paling murah pun golongan marhaen macam seperti saya boleh sara hidup untuk seminggu.

Itu pun tempat duduk yang paling hujung duduknya. Mereka mungkin kena ikut suai gaya Datuk M Nasir, dah tua dan elit tak pandang dah kasut Fung Keong.

Senandung mereka dulu jadi nyanyian luka di hati marhaen seperti saya. Suka tak suka produk kreativiti mereka yang merakyat sudah dimanipuasi golongan kapitalis. Mungkin saya sedikit emo dalam hal ini dan pendapat saya macam tertinggal kereta api, tapi inilah kenyataannya.

Sayang kita dah tak ada kumpulan seperti Kembara ni. Bagaimanapun saya akan tabik hormat kalau selepas ini dia orang bikin show yang mampu mewakili rakyat biasa. Anggaplah ini satu cabaran buat mereka, khasnya Datuk M Nasir. ”

Anggaplah ini cabaran untuk M Nasir? ha ha ha...bekas duta jenama coklat ini tidak akan cuba faham apa itu cabaran kerana pendapat golongan marhaen bagi golongan elit tidak akan memberi sebarang makna atau tempias pun kerana seperti katanya, yang membezakan kumpulan Kembara dulu dan sekarang hanyalah ‘saiz badan’ sahaja.

Masalahnya dan salahnya peminat Kembara yang ‘hardcore’, ‘expectation’ mereka terhadap kumpulan itu tinggi. Sebenarnya Kembara adalah sebuah kumpulan muzik sama dan tidak ada bezanya dengan band-band pop atau rock lainnya, ia hanyalah faktor musim semata.

Maknanya mereka hari ini bukanlah seperti yang dulu, dulu makan pun mungkin tak cukup. Hari ini mungkin terlebih cukup dan mereka hadir ke IB hanyalah untuk singgah bernostalgia dengan lagu-lagu marhaen mereka suatu waktu dulu di samping buat untung, sesuai dengan status mereka yang membuat persembahan di pentas yang berprestij.

Seorang lagi teman saya, Jimadie Shah Othman yang sempat hadir menonton konsert mereka dengan harga tiket RM100, nyata kurang berpuas hati juga seperti katanya,

“Konsert tersebut bagi aku mahal dan bukan untuk golongan marhaen. Sudahlah pakaian mereka seperti grup boria. Dari segi muzik aku tak ada komen, tapi konsep muzik dan mesej mereka yang merakyat itu tidak kena dengan keadaan mereka yang nak tunjuk elit dan berprestij, mungkin sebab perform di IB. Menonton konsert tersebut juga seperti menonton konsert M.Nasir, bukan Kembara secara keseluruhannya.”

Dari segi permainan gitar, saya akui A Ali seorang pemain gitar yang kreatif, tapi bukan gitar hero. Zoul lebih menonjol sebagai seorang gitar hero.

Working class atau warga marhaen adalah sebahagian daripada cerita yang nyata ada di sekeliling kita. Jika kita mengambil isi cerita kehidupan dan nafasnya dalam lagu-lagu yang kita hasilkan, kita perlu menjadi sebahagian dari inti ceritanya kerana kita waktu itu berkarya melalui jiwa dan rasa.

Jika itu pun kita tak faham, maka kita hanya sekadar bernostalgia tentang masa lalu lah...

Apapun Kembara tetap sebuah kumpulan muzik bertaraf lagenda di negara kita ini. Pelapis? Macam mana nak ada pelapis sebab lorong yang mereka tebas untuk konsep yang mereka perjuangkan mereka sendiri yang mengambusnya? – 4 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments