Hari ini kita sedang menghadapi zaman yang sukar, dengan kos sara hidup yang tinggi apatah bagi warga kota yang tinggal di kawasan Lembah Klang atau di kota-kota besar.
Bertambah dengan sistem cukai GST yang baru diperkenalkan pada 1 April 2015. Bukan senang untuk senang, apa pun hidup perlu diteruskan.
Hari ini juga semakin ramai pelajar yang pandai dan mendapat keputusan baik dalam peperiksaan. Kesannya sukar untuk kita mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan akademik, kerana masalah persaingan yang kompetitif. Yang bijak dan kreatif akan lepas, yang perlahan dan lembab akan ketinggalan.
Saya ingin mengimbau zaman sekolah saya tahun 1974 dahulu. Waktu itu, ekonomi kita belum membangun lagi. Belanja sekolah pun hanya 15 sen sehari, cukup untuk beli mi goreng dan air sirap. Hari ini, anak-anak kita belanja sekolah mereka pun dah RM5 sehari, hanya cukup untuk makan dan minum sahaja.
Perbelanjaan untuk persekolahan dan buku-buku juga agak membebankan jika kita berpendapatan sederhana.
Saya selalu berbual dengan seorang kenalan yang bekerja di dengan syarikat keretapi komuter KTMB di KL Sentral, Zakaria Ahmad. Umurnya sudah menjangkau 58 tahun, masih setia berkhidmat dengan syarikat tempat dia bekerja sehingga ke hari ini.
Selalulah dia bercerita tentang zaman masa lalunya yang sangat sukar kesan kemiskinan dan kepayahan yang terpaksa dihadapi sewaktu zaman sekolah dahulu di kampungnya, Hutan Melintang, Perak pada tahun 1971.
Dengan kerja kampung dan tanah sekangkang kera, bapanya menyara kehidupan dengan menjual buah kelapa. Walaupun kenalan saya ini seorang pelajar yang pintar dan sering mendapat keputusan baik dalam ujian dan peperiksaan sewaktu di sekolah rendah, kesan kemiskinan hidup membuatkan segalanya tidak berjalan lancar seperti yang dirancangkan.
Katanya, sewaktu di sekolah rendah waktu itu, pihak sekolah bermurah hati meminjamkan buku teks kepada golongan yang tidak berkemampuan. Waktu itu tidak ada lagi skim pinjaman buku teks seperti hari ini.
Masalah menimpa apabila kenalan saya ini naik ke sekolah menengah, di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Hutan Melintang. Apabila tidak ada pinjaman buku teks, maknanya dia tidak mampu untuk menghadapi suasana pembelanjaran dengan lancar.
Guru-guru pula garang dan masih mementingkan kasta. Kenalan saya ini pernah ditampar, berdiri atas bangku, dihalau keluar kelas dan dijemur di tengah panas hanya kerana tidak mempunyai buku teks. Kesannya, beliau mengambil keputusan berhenti sekolah sewaktu di Tingkatan 2.
Nyatalah jurang antara kaya dan miskin di zaman itu. Apabila kita miskin, kita akan dihina dan dipandang rendah masyarakat.
Selepas itu, beliau mengambil keputusan bekerja di ladang kelapa sawit sebagai buruh yang bergaji sebanyak RM5 sehari.
Tidak berputus asa, beliau mengambil peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education) dan berjaya mendapat pangkat 19 agregat, pencapaian yang agak membanggakan bagi seorang anak kampung yang kurang pendedahan dalam segala serba-serbi. Waktu itu katanya, yuran peperiksaan adalah RM18.
Selepas itu, kenalan saya ini mengambil pula peperiksaan MCE (Malaysian Certificate of Education) dan berjaya mendapat gred 3 yang seharusnya melayakkan beliau mendapat pekerjaan yang selesa dan sesuai dengan kelayakan akademiknya di zaman itu, tahun 70-an dahulu.
Tetapi segalanya masih tidak berjalan dengan lancar, kesan kurang pendedahan dan daripada segi sosial dan pergaulan.
Selalu melalui tempoh yang sukar dalam meniti kehidupan, Encik Zakaria berjaya mendapat pekerjaan di syarikat keretapi tempatnya bekerja hari ini. Daripada itu, kehidupan dan rezekinya semakin dipermudahkan.
Hari ini atas takdir Tuhan, dia dikurniakan dengan rezeki dan kesenangan dunia yang melimpah ruah. Dan biasalah, hari ini semua masyarakat di tempat tinggalnya sangat menghormatinya, sesuai dengan statusnya hari ini.
Pun begitu, dia tidak pernah melupakan asal usulnya dahulu, seorang anak kampung yang dibelenggu kemiskinan, yang banyak mengajarnya tentang erti kehidupan yang sebenar.
Kemiskinan ada di mana-mana. Di sekitar kita masih ramai para gelandangan yang tidak punya rumah, duit mahupun saudara-mara. Apabila kita tidak punya apa, saudara pun malu untuk mengaku saudara.
Memang takdir Tuhan atas umatnya sudah ditentukan, tetapi kita perlu mencorakkan apa warna yang kita mahu atas usaha dan daya kita, samada terang, malap atau gelap, itu bergantunglah kepada kita untuk menentukan. – 2 April, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments