Opinion

Kifarah, dosa dalam hidup manusia

Manusia adalah ciptaan Tuhan paling mulia dan menarik berbanding segala makhluk ciptaanNya. Menarik kerana dalam perhitungan hidup kita di pentas dunia ini, kita hidup berlandaskan pahala, dosa, syurga juga neraka.

Untuk itu, kita amat digalakkan untuk berbuat baik untuk mendapat ganjaran pahala atas segala kebaikan yang dilakukan di dunia ini.

Apabila segalanya ke arah kebaikan yang menjadi tunjang atau “point” hidup kita, maka kita merasakan lorong kejahatan itu kita enyahkan.

Pun begitu dosa juga adalah satu keperluan dalam menuju kesempurnaan. Adam yang sudah selesa hidup di syurga diturunkan ke bumi kerana dosanya memakan buah khuldi, ketentuan yang membentuk kehidupan kita hari ini.

Tanpa iblis dan kejahatan, kita tidak punya pro dan kontra untuk diceritakan. Itu yang membezakan antara kita dan malaikat. Mana mungkin skrip hidup seorang manusia itu mendatar dari awal hingga ke akhirnya?

Sebabnya atas segala musabab, sebuah cerita itu perlu dipanjangkan untuk menjadikan ia lebih menarik dan berwarna-warni. Maka itu kita di sini untuk menzahirkan makna sebuah kehidupan dalam bentuk lebih realistik sifatnya.

Maka itu juga kita pun lahir ke dunia dengan segala tangisan suka dan duka atas sebab tanggungjawab dan amanah yang terpaksa kita pikul sepanjang bergelar manusia.

Berbanding cerita dosa, saya lebih suka menyebutnya sebagai kifarah atau hukum karma. Kifarah adalah balasan Allah di dunia atas segala dosa dilakukan hambanya (maksud riwayat hadis Al-Bukhari dan Muslim).

Penyanyi folk jaipang Indonesia, Doel Sumbang berkata dalam bait-bait lagunya yang saya sudah lupa akan tajuknya,

“Apa ertinya dosa, yang digunjingkan orang
Jika dosa diperlukan dalam hidup manusia,
Jika ingin tak berdosa, jangan jadi manusia,
Jadi saja Malaikat.”

Siapapun kita, pasti akan melakukan dosa sepanjang bergelar manusia. Sebabnya kita ini dibekalkan dengan nafsu dan kehendak. Sifat kita yang baharu ini memang buta atas segala nikmat, kemewahan dan kedudukan yang sedang kita kecap, walau itu hanyalah cerita sementara sahaja.

Apa pilihan kita dalam menafikan cerita masa lalu yang penuh salah dan silap? Kita tidak punya apa pilihan pun kerana segala yang terjadi adalah atas kehendak kita sendiri dan kita yang mencorakkannya.

Kita menjadi penagih dadah, di penghujungnya akan dijangkiti HIV dan akhirnya mati. Kita menjadi penjenayah, akhirnya ditangkap dan dimasukkan ke penjara sehingga tempoh tertentu.

Kita hidup dengan tidak menghiraukan akan kesihatan, akhirnya kitapun akan ditimpa berbagai-bagai penyakit yang tidak pernah diduga. Kita menjadi kaki pukul di waktu muda, di waktu tua kita pula akan terkapai di atas katil usang dengan wajah sayu dan lesu kesan masa lalu yang dilalui. Itulah cerita kifarah kita di dunia ini.

Orang baik memang ramai di dunia ini, tapi orang jahat itu lebih ramai. Hari ini apa yang kita nampak baik yang di mata itu bukanlah semesti baik di dalamnya, begitu juga sebaliknya.

Hari ini juga, kita lihat indeks jenayah semakin meningkat kesan ekonomi semakin tidak menentu. Ramai anak muda menganggur dan tidak bekerja menjadi perompak dan peragut demi untuk merasa hidup senang di kota yang keras hari ini.

Baru-baru ini kakak ipar saya menjadi mangsa ragut dan rompak. Habis cermin keretanya pecah dan segala apa yang ada di dalam begnya dilarikan perompak bermotor.

Semudah itu mereka melakukan dosa dan akan menanggung kesannya dalam bentuk kifarah apabila sampai waktunya. Cepat atau lambat, kita akan menanggung kesan atas segala apa yang dilakukan di dunia ini.

Percaturan cerita politik kita hari ini lebih menarik dan mendebarkan dalam meniti babak demi babak. Sehingga apa yang ada di kiri dan di kanan itu segalanya akan menjadi tajuk berita utama yang penting untuk dibaca dan tatap.

Berkatalah kita cerita dan berita politik yang sedang dihadap ini bukanlah cerita kartun, melainkan kenyataan hidup di negara yang kita sayang ini.

Atas segala apa yang dilalui, kita tidak punya pilihan selain menerima cerita takdir kita ini seadanya. Mungkin kita akan bergelar “loser” mahupun “winner”, namun itu bukanlah jawapan untuk subjek kesempurnaan. – 30 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments