Saya akui tidak pernah berminat dengan program TV realiti seperti Malaysian Idol, Indonesian Idol, American Idol mahupun program untuk peserta lebih umur seperti ‘Kilauan Emas’ apatah lagilah program hiburan remaja Akademi Fantasia.
Jadi saya tidak berapa mengikuti perkembangan yang berkonsep seperti itu.
Saya percaya pada program yang melibatkan juri profesional sepenuhnya, seperti program Bintang RTM yang popular di tahun 70-an dan 80-an dulu.
Bukan pak lawak menjadi juri orang menyanyi, bukan pemain bola dan penyanyi top menjadi juri pelawak berlawak.
Apatah lagi jika orang awam yang menjadi juri, payahlah sedikit kerana 'level' mereka ini hanya tahap peminat, bukan pakar dalam bab seni dan suara.
Itulah antara penyebab lahirnya penyanyi yang hanya bertahan semusim atau dua musim.
Jadi yang hadir hanyalah sekadar pelengkap kalendar seni dan hiburan tanah air sahaja.
Baru-baru ini, isteri saya menunjukkan saya sesi ujibakat Indonesian Idol 2014 di YouTube.
Sebelum ini, banyak juga yang ditunjukkannya, tetapi semuanya tidak menarik minat saya.
Salah satu sebabnya kebanyakan mereka ini hanya hendak menjadi klon, menyanyi lagu Inggeris pun keluar telor Indonesia.
Nyata ramai mereka yang berangan hendak menjadi penyanyi ini mengalami ‘sakit’ untuk dilihat sebagai ‘orang hebat’ dan dilihat 'elit'. Di mana yang nampak elitnya saya pun tidak pasti.
Pun begitu, saya sangat tertarik dengan penampilan seorang pengamen yang mencuba nasibnya di program Indonesian Idol 2014 itu. Rakamannya sekitar November 2013 tetapi baru sahaja diterbitkan baru-baru ini.
Pertama kerana nilai kejujurannya dalam berkarya. Kedua kerana menyanyikan lagu daripada karya ciptaannya sendiri. Ketiga kerana menjadi dirinya sendiri. Keempat kerana nyata Pujiono nama si pengamen itu seorang yang bijak melebihi kebijakan para juri yang terlibat Ahmad Dhani, Anang dan seorang lagi yang saya tidak kenal.
Saya katakan bijak kerana Pujiono mungkin sedia tahu dia mungkin tidak punya peluang untuk mara ke pusingan seterusnya lantaran sikap bodoh sombong para juri dalam menilai mana kaca mana permata.
Jadi beliau tekad dengan bangganya menyanyikan lagu ciptaannya sendiri. Dia tidak akan rugi apa-apa jika diterima mahupun tidak.
‘Nothing to lose’ bak kata orang putih!
Saya agak terkejut kerana Pujiono gagal memikat ketiga-tiga juri yang macam bagus itu.
Lagunya berkualiti, liriknya matang walau dalam bahasa yang mudah, malah punya nilai komersial yang tinggi ditambah mood di Indonesia saat ini yang sedang mengalami musim pilihan raya.
Juga kerana lagunya punya nilai nasionalis yang tinggi dan iramanya yang ‘catchy’ dan merakyat.
Selain itu, cara penyampaian Pujiono yang jujur itu jelas dan tidak dibuat-buat sehingga kesannya berjaya meledak ke halwa telinga masyarakat Indonesia majoritinya sehingga video ujibakatnya di YouTube itu ditonton melebihi 2 juta pendengar.
Mereka ini (para juri) kebanyakannya memang dan sedang ‘sakit’.
Sakit mereka ini sakit orang sukses dan berjaya kerana mereka merasakan mereka ini orang hebat, jadi nilai ego dan bodoh sombong itu memang wujud dalam diri dan penampilan mereka, kerana mereka punya kuasa untuk ‘Yes’ or ‘No’ untuk setiap peserta yang mengambil bahagian.
Di sana, biasanya yang kaya makin kaya dan yang miskin makin terhimpit. Di sini pun begitu juga, tetapi penduduk di negara kita hanya berjumlah 27 juta orang.
Peluang pekerjaan di sini masih ada dan kita masih mampu cari makan di negara kita sendiri.
Saya tidak pernah jumpa lagi mana-mana busker kita yang sanggup naik bas turun bas, naik keretapi turun keretapi demi busking mencari sesuap nasi di negara kita ini.
Maknanya ‘survival’ busker kita tidaklah se‘real’pengamen di Indonesia sana.
Ditambah pula hari ini kebanyakan anak muda kita akan bangga mengusung gitar tong ke sana-sini dan menggelarkan diri mereka busker.
Ini pemandangan biasa di Kuala Lumpur hari ini jika kita terlihat mereka dua tiga orang anak muda akan mengusung gitar tong dan alat perkusi seperti cajun mahupun djembe.
Apatah lagi jika menjadi juri di Indonesia yang majoriti penduduknya melebihi 250 juta orang pada tahun 2013.
Saya juga faham untuk lepas dan berjaya sebagai penyanyi mahupun penghibur memanglah sukar.
Tetapi apabila mereka berjaya melepasi pelbagai dugaan dalam meniti tangga sukses, jadilah mereka seperti yang kita lihat menjadi juri di program Indonesian Idol itu.
Kebanyakan juri memang begitu. Kebanyakan mereka memang macam bagus-bagus walaupun pendapat mereka kadang-kadang sangat bodoh dan tidak matang.
Mereka akan melihat penampilan dan siapa para peserta itu.
Anak orang kayanya dia? Pandai nyanyi lagu yang punya elemen jazzy seperti penyanyi Adelekah dia? Atau berpenampilankah dia?
Apabila Pujiono melantunkan suara dan lagunya berserta siulan pelik, para juri yang menilai bakat beliau sebenarnya kagum akan bakat dan lagu Pujiono, namun atas nilai ego dan elit, mereka menafikan peluang si pengamen itu untuk maju terus ke saringan yang seterusnya.
Hari ini, selepas mendapat liputan yang meluas di media juga dengan meletupnya lagu karya Pujiono yang judulnya 'Manisnya Negeriku’ itu selepas dibeli oleh sebuah parti politik di sana, Pujiono akan melalui musim yang menarik dan gemilang sekurang-kurangnya untuk satu musim, sama seperti nasib si pengamen cilik Tegar.
Beza lagu Tegar dan Pujiono, 'Aku Yang Dulu' Tegar tema lirik lagunya hanya mengundang simpati masyarakat walau melodinya catchy, tetapi terlalu tipikal berbanding lagu Pujiono yang mantap dari sudut tema, mesej mahupun melodinya.
Dan hanya kesalan walau berserta ego yang keluar daripada mulut Dhani yang menyesal tidak membeli lagu milik Pujiono, 'Manisnya Negeriku'.
Yang jelas, sekurang-kurangnya untuk musim ini, seperti kata si Tegar dalam lagunya, Pujiono Yang Dulu Bukanlah Pujiono Yang Sekarang.
Dan yang lebih menarik, sekual perjuangan lagu yang berkonsep merakyat penyanyi folk Indonesia legenda seperti Gombloh, Leo Kristi, Iwan Fals dan Doel Sumbang antaranya akan terus hidup dengan hadirnya pujiono di pentas industri dan hiburan Indonesia. – 15 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments