Opinion

Kita, Melayu yang aduhai…

Ali Mim Alif Sin (Malas), ini tajuk lagu daripada album Rausyanfikir yang dianggotai 3 orang anak muda yang punya idea, bakat dan bijak dalam berkarya. Mereka ini dikepalai Art Fazil, Esham Jamil dan Mohd Khair Mohd Yassin.

Saya sempat memiliki album pertama mereka yang diterbitkan pada 1992 (Rausyanfikir) dan Rusuhan Fikiran (1994). Konsep folk rock mereka agak menjadi dan diterima peminat-peminat yang sama membesar dengan muzik Kembara, Iwan Fals dan Godbless antaranya.

Saya sangat terkesan dengan lagu Ali Mim Alif Lam Sin. Lagu ini mengkritik orang Melayu. Sangat pedas kritikannya walau dalam mood humor dengan muzik yang catchy. Lagu ini bagi saya antara yang terbaik pernah saya dengar sewaktu ia berkumandang di udara pada awal 90an dulu.

Di sini saya sertakan lirik lagu Ali Mim Alif Lam Sin:

Hey Ali!
Ali Mim Alif Lam Sin
Ali Malas..hey Ali

Kawan ku Ali malas sekali
Setiap hari di warung kopi
Cakap pasal politik negeri
Cakap pasal turun naik ekonomi

Dari pagi sampai ke tengahari
Dari petang sampai ke malam sepi
Suruh kerja dia tak peduli
Katanya aku sedang bercuti

Ali kau harus belajar maju diri
Jangan tertipu di bumi sendiri
Kilang ladang dan juga sawah padi
Itu sumber kemajuan pribumi

Ali dunia makin pantas berlari
Sedang engkau asyik sibuk bermimpi
Dalam diam tanpa kau sedari
Tanah pusaka dirompak di siang hari..

Lagu – Ali Mim Alif Lam Sin ( Rausyanfikir )

Lagu ini juga mengingatkan saya tentang buku-buku Munsyi Abdullah yang saya baca, yang sebahagian besar isi ceritanya tentang orang Melayu. Kritikan pedasnya pada orang Melayu memang jelas. Segalanya tentang kelemahan orang Melayu. Apa ada dengan Melayu?

Apabila saya ke kedai yang dimiliki orang Melayu. Pukul 8 baru buka, pukul 7 atau 8 malam sudah tutup. Saya tidak akan hairan sebab itulah Melayu. Bangsa Acheh yang merupakan kaum pendatang yang datang ke sini untuk berniaga?

Mereka buka kedai runcit pukul 8 pagi dan tutup pukul 3 pagi. Sebab? Mereka seperti bangsa lain yang berjaya seperti kaum Cina yang rajin berniaga. Sebabnya lagi? Sebab mereka tidak boleh malas dan manja seperti Melayu.

Apabila isteri saya ingin membeli taufufa milik peniaga Melayu di gerainya, pukul 11 pagi dijenguk, belum buka lagi. Jawapan saya, “ Melayu memang begitulah, pemalas!”

Kita lihat bangsa Acheh lagi. Datanglah ke kawasan Keramat atau Lembah Klang, kita akan lihat banyak kedai runcit mahupun kedai gunting milik mereka. Dan memang mereka berjaya sebab mereka tahu untuk berjaya mereka perlu rajin dan tidak malas dan manja seperti kita.

Saya memang nak ke kedai runcit orang Melayu, tapi stok selalu tak cukup. Kita nak tolong, apa boleh buat, ke kedai runcit bangsa Acheh, semua stok mencukupi.

Seperkara lagi, kalau di tempat saya, kawasan Keramat tempat saya tinggal, saya selalu singgah ke kedai makan berdekatan rumah, yang hanya dibuka dari hari Isnin sampai Jumaat sahaja. Sabtu, Ahad dan cuti umum tutup. Sebab? Pejabat kerajaan dan sekolah tutup.

Melayu juga terkenal dengan perangai hasad dengki seperti yang ditulis Abdullah Munsyi dalam buku-bukunya, memang sangat provokatif tapi itulah kebenarannya. Bangsa lain pun punya sikap yang begitu juga, ini sikap tidak baik yang akan ada pada semua bangsa. Tapi mengapa Abdullah Munsyi tekankan pada orang Melayu sahaja?

Bangsa Cina memang ada yang malas, tapi mungkin dalam 10 orang hanya seorang yang punya sikap begitu. Orang kita memang banyak yang malas, dalam 10 orang mungkin 1 atau 2 orang yang rajin. Itulah perbezaannya.

Orang Melayu Islam mengamalkan ajaran agama berpandukan ajaran Sunnah Wal Jamaah. Ibadat semua cukup dikerjakan berpandukan hukum syariat. Tapi mengapa masih ada perangai hasad dan dengki dan sifat riak dan takbur masih menguasai ruang nafsu?

Sedang ibadat adalah solat atau ritual yang jika kita khususkan solat kita itu untuk membersihkan jiwa dari daki dunia, pastilah ia akan menghasilkan yang terbaik, sekurang-kurangnya untuk jiwa kita agar bebas dari sifat-sifat busuk dan keji itu?

Sewaktu saya bekerja di Yamaha Music dulu, 90% orang Cina hantar anak mereka untuk belajar muzik. Selebihnya bangsa kita atau daripada golongan India adalah seorang dua.

Satu yang pasti, hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang mampu menghantar anak mereka ke sekolah muzik sebab kosnya agak mahal.

Golongan Cina yang menghantar anak-anak mereka ini, daripada gaya hidup, pakaian sampailah kepada sikap dan pergaulan sangatlah sederhana apatah lagi untuk melihat mereka melaram dengan barang kemas dan segala perhiasan yang mahal.

Berbeza dengan orang kita yang bukan main melaram datang dengan imej dan sikap orang kaya yang macam bagus, sembang pun semuanya yang besar-besar sahaja. Kereta besar, rumah besar. Pendek kata kalau boleh mereka mahu dunia iktiraf yang mereka itu orang kaya. Sebab? Melayu memanglah begitu kebiasaannya.

Dulu sewaktu di kampung, orang tua saya punya ladang getah yang kita upah orang untuk menoreh dan menjual hasilnya. Hasilnya dibahagia dua. Saya pula malas dan malu untuk menoreh getah. Sebab? Saya pun Melayu juga.

Jadi kesimpulannya, marilah kita ketawakan diri kita ini, yang pemalas dan manja. – 6 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments