Opinion

Kosong-kosong dan kita yang kuat berangan

Tiba-tiba tahun ini kita melihat media, audio mahupun visual sangat seronok mempromosikan ungkapan Hari Raya yang katanya datang dari anak muda untuk anak muda, “Kosong Kosong”.

Apa yang kosong-kosong? Akan tiadalah lagi ungkapan “maaf zahir dan batin”, digantikan dengan “kosong- kosong”?

Saya faham akan perkembangan budaya anak muda hari ini. Segalanya perlu di”rugged”kan sesuai dengan cita-rasa semasa.

Pun adakah ianya sesuai dan kena kerana ini melibatkan “roots” atau adat dan kepercayaan orang Melayu kita dari sejak dulu lagi?

Tidak hairanlah sewaktu saya menonton program raya pada Hari Raya pertama di mana si tukang nyanyinya penyanyi lagenda kita Datuk M Daud Kilau, tatkala mengucapkan ucapan raya, beliau lebih senang mengungkapkan “Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin” berbanding kosong-kosong.

Walau ungkapan “kosong-kosong” itu tidaklah salah dan melanggar syariat Islam, namun ianya agak tidak sesuai dibiasakan sehingga menjadi tren kerana kesannya di masa akan datang kita akan semakin hilang apa itu budaya, adat dan kepercayaan.

Ada benda yang kita boleh ubah dan ada benda yang kita tak perlu ubah, kerana ianya sudah sempurna dan lengkap. Ada masa kita perlukan nasihat dan kata-kata orang bijak pandai dahulu kala jika ianya masih relevan dan sesuai digunakan walaupun 1,000 tahun lagi.

Apa yang kosong-kosong? Mungkin sebutan itu lebih nampak “cool” berbanding maaf zahir batin. Maaf, bagi saya ungkapan “kosong-kosong” itu tidak kena gaya.

Berbual-bual dengan seorang kawan tentang ungkapan “kosong-kosong”, katanya ungkapan tersebut lama digunakan di kalangan anak-anak muda, mungkin 10 tahun dulu lagi.

Cuma ianya tidaklah menyeluruh sehingga mendapat liputan dan promosi yang berlebihan dari siaran radio dan televisyen, sehingga ianya menjadi popular di kalangan masyarakat terutamanya di tahun kita menyambut Hari Raya pada tahun ini.

Ditanya mana yang lebih afdal, “kosong-kosong” atau “maaf zahir batin”, jelas kawan saya itu, baginya ungkapan “maaf zahir batin” itu lebih afdal apatah diungkap sejak zaman berzaman lagi.

Lebih afdal dan menyeluruh juga kerana ia ungkapan untuk zahir dan batin, luar dan dalam kita, hati dan perasaan kita. Itu sebab kita kata, jika ada salah dan silap, jangan disimpan di dalam hati.

Atau dalam makna keseluruhannya, segala salah dan silap harap dimaafkan, begitulah.

Ungkapan kosong-kosong pula hanya sesuai untuk umur belum akil baligh, itu bolehlah sebab jelas itu cakap budak-budak baru nak belajar hidup. Kalau orang dewasa mengungkapkan kata-kata itu bukankah ia akan kelihatan janggal?

Seperti yang kita baca dalam laporan yang ditulis Bernama yang saya baca di Kosmo Online pada 7 Julai 2014, Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri berkata, “adalah lebih afdal jika umat Islam bersalaman pada hari raya sambil melafazkan ucapan 'maafkan saya zahir dan batin’ berbanding hanya 'kosong-kosong' kerana tidak melambangkan keikhlasan dalam memohon kemaafan”.

Tambahnya, “dalam Islam kita panggil musafaha iaitu berjabat tangan sambil kita lafazkan kata meminta maaf dan memohon agar semua kesilapan serta kesalahan kita pada individu tertentu dimaafkan”.

"Perkataan maaf itu sebaiknya dilafazkan sebagai tanda kita minta lupakan peristiwa lampau, jangan ada parut sekalipun dan buka lembaran baharu,” katanya.

Semua perkataan atau ungkapan baru ini kita akan dapat di siaran radio dan televisyen hari ini di zaman yang serba moden ini.

Bercerita tentang betapa banyaknya siaran radio swasta hari ini, saya lebih senang dengan para juruhebah yang beretika dan relaks. Mungkin saya agak kolot sikit, tapi pandangan saya ini agak beralasan.

Pertamanya saya hanya mendengar radio sewaktu di dalam kereta, memandu atau di mana-mana ada ke udara siaran radio, jadi otak kita perlukan rehat sambil kita memandu atau merehatkan minda. Kalau deejay hanya pandai merapu dan buat lawak bodoh, macam mana otak kita nak relaks?

Siaran radio swasta hari ini banyak sangat merapunya. Sudahlah lagu-lagu tidak menepati citarasa, kebanyakan suara deejay pula tak sedap.

Kenyataannya hari ini deejay sama atau lebih popular dari para artis.

Untuk saya, siaran radio yang menjadi pilihan hanya 2, iaitu BFM Station dan Radio Klasik Nasional.

Dua siaran ini memang menepati citarasa saya, sebab radio klasik akan memutarkan lagu-lagu lama yang “evergreen”, BFM pula dengan lagu-lagu Inggeris kesukaan saya yang “rare” walau dalam kategori popular yang tak popular yang tidak akan tersiar di siaran swasta lainnya.

Di negara kita ini, apa saja topik atau isu jika ia dijangka akan mendatangkan keuntungan, mereka akan melakukan apa saja cara untuk mendapatkan untungnya. Bahan utamanya adalah kita. Kita pula terdapat dalam berbagai acuan dan kategori.

Kategori pertama, yang tidak suka berfikir. Umpama melihat dan menatap buku yang penuh dengan gambar-gambar untuk menyedapkan mata. Mereka inilah biasanya yang akan menguntungkan golongan tersebut.

Kategori kedua, yang suka berfikir dan terbuka. Malangnya di negara kita ini, golongan yang suka berfikir untuk perkara-perkara bermandaat tidaklah ramai, maka jadilah mereka itu golongan minoriti, mungkin selamanya.

Kita lihat buku atau novel apa yang paling laris dijual? Tentulah novel cinta remaja. Muzik yang boleh dijual?

Muzik yang bertemakan lirik-lirik cinta budak sekolah dan pramatang. Stesen radio yang menjadi pilihan anak muda? Tentulah stesen radio yang memiliki sejumlah juruhebah yang glamour dan popular.

Jadi mimpi kita ini mungkin akan berterusan untuk selamanya, kerana inilah impian kebanyakan anak muda di negara kita ini. Apa boleh buat, mereka masih dan akan terus berangan, mungkin untuk selamanya. – 31 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments