Opinion

Mahalnya hidup di Kuala Lumpur

Kita sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang makin tinggi di kota besar seperti Kuala Lumpur. Di sini segalanya sudah tidak seramah dan semesra seperti tahun 70-an dan 80-an dulu. Di mana di waktu itu anak muda akan menanam cita-cita untuk mencapai bintang di Kuala Lumpur.

Bagaimana kita mahu hidup dengan pendapatan sekitar RM1,200 di Kuala Lumpur?

Dengan kenaikan kadar tambang pengangkutan awam yang kadar kenaikannya hampir 100%, kadar sewa rumah bagi kawasan Lembah Kelang paling murah pun RM500 ke atas, dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, sangat sukar sebenarnya untuk kita hidup di Kuala Lumpur zaman ini.

Jika pendapatan bulanan kita RM1200 sebulan, maknanya dalam sehari purata gaji kita sekitar RM40 sehari. Hari ini nilai RM50 samalah seperti nilai RM10 di tahun 80-an. Beli beras, ikan dan sayur, habislah RM50.

Untuk tiket pengangkutan perkhidmatan LRT sahaja sebulan kosnya dalam RM300 mengikut jarak perjalanan, contohnya dari stesen Setiawangsa ke KL Sentral. Sebelum ini tambangnya RM2.10, kemudian naik kepada RM3.20. Kalau sebulan?

Bagi siapa yang bermotorsikal, katanya motor pun mungkin akan dikenakan tol juga nanti. Sudahlah kadar tol naik sampai RM1, memang peninglah hidup kita selepas ini.

Kadar sewa parking kereta di Kuala Lumpur pula sekitar RM4 selama 1 jam. Itu pun sentiasa penuh dengan kenderaan.

Kadar sewa rumah pula kalau di sekitar Lembah Kelang jangan haraplah kadar sewanya bawah RM500, sedangkan di sekitar Bangi pun sewa rumahnya kalau tinggal di flat sudah menjangkau RM700 sebulan.

Kecuali jika kita dapat peluang tinggal atau menyewa di kediaman rumah mampu milik seperti PPRT, di sekitar Kuala Lumpur ini, tapi berapa kerat sangat para warga yang mendapat peluang itu?

Susah, memang susah kalau difikirkan. Saya pernah bekerja dan tinggal di Ipoh dengan pendapatan sekitar RM1000 lebih sebulan, memang sukar.

Maknanya pendapatan harian saya sekitar RM30 sehari. Dengan kadar tanggung anak-anak dan keluarga serta segala kos sara hidup yang perlu ditanggung, memang tidak akan cukup. Itu 10 tahun dulu, hari ini?

Kita tidak punya pilihan, kita perlu memikirkan kaedah alternatif bagaimana mahu seimbangkan segalanya mengikut kadar kemampuan kita.

Kalau merokok, hisaplah rokok daun dan tembakau. Kalau berkenderaan atau menggunakan perkhidmatan awan seperti bas atau LRT, mulalah berbasikal untuk ke tempat kerja.

Jaraknya pun bukanlah jauh sangat, paling jauhpun hanya dua atau tiga puluh kilometer sahaja. Disamping badan sihat, kita mampu jimat duit.

Makan atau berbelanja pula hanya bila perlu sahaja atau bawa bekal dari rumah. Maknanya pendapatan kita yang RM1200 itu untuk kita bayar sewa rumah, beli barang dapur dan bayar bil api, air atau sebagainya.

Tinggal di Kuala Lumpur bermakna kita terpaksa membayar harga keselesaan dan melayan kesesakannya dengan harga yang sangat mahal. Di sini jika kita lemah dan malas, kita akan ketinggalan.

Apa sahaja yang boleh mendatangkan hasil, lakukanlah asal ianya halal dan mampu menambah pendapatan kita.

Duit bukanlah tujuan utama kita hidup di dunia ini, tapi duit adalah keperluan untuk sebuah keselesaan hidup kita hari ini. ada duit kita mampu memiliki apa yang kita mahu bergantung kepada kemampuan kita.

Manusia membayar harga sebuah keselesaan mengikut taraf hidup mereka. Ketika bersarapan pagi di hotel 5 bintang, seorang lelaki eksklusif mahukan nasi lemak dan teh tarik mamak yang terdapat di warung mamak berhampiran hotel tersebut.

Harga nasi lemak itu hanya RM1.50 dan teh tarik hanya RM1.50. apabila sampai sahaja di hotel, harganya sudah naik sehingga RM30 untuk sebungkus nasi lemak dan teh tarik mamak. Yang membezakan hanyalah tempat dan situasi sahaja.

Di hotel ada tempat duduk eksklusif, berhawa dingin, santai dan memang merehatkan minda, itu sahaja bezanya.

Apapun, kita perlu bersyukur atas nikmat hidup yang sedang kita alami. Mungkin kita kalah, mungkin kita menang.

Mungkin kita kecewa dan mungkin kita gembira, itulah tindak balas atas fitrah kehidupan itu sendiri. – 10 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments