Opinion

Memahami makna kehilangan dan ketentuan

Ibu saya sedang bergelut dengan nyawanya saat ini. Usianya 88 tahun dan akhirnya, cepat atau lambat, hidup pasti akan bertemu dengan pasangannya, mati. Dan saya anaknya, akan cuba memahami makna 'pinjaman' itu sedalamnya.

Ia tidaklah semudah ucapan dan pengertian kerana sifatnya kita manusia yang baru, bernafsu dan berkehendak.

Melihat fizikalnya yang dalam keadaan yang sangat uzur dan menyedihkan, atas faktor kesihatan dan usia, apa lagi yang saya mampu lakukan selain berserah dan reda pada ketentuan Tuhan?

Kehilangan adalah subjek yang menyedihkan dalam hidup. Apa perasaan jika kita kehilangan orang yang kita sayang? Padahal kita pun faham yang segala-gala yang ada di dunia ini hanyalah bersifat pinjaman cuma.

Kita pinjam nikmat hidup ini untuk sementara dan pejam celik, kita sudahpun tiba di penghujung rancangan.

Kita pun tidak tahu kita akan meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang bagaimana atau di mana? Mungkin seperti apa yang terjadi pada penumpang MH370, mungkin kerana sakit, kemalangan dan sebagainya.

Sebelum ini saya dapat memahami makna kehilangan melalui pengalaman seorang sahabat, Jimadie yang kematian anaknya, Adam Azfar yang meninggal dunia pada 27 Mei 2013 pada usia 6 tahun.

Apabila saya mendapat pesanan ringkas dari beliau tentang anak sulungnya yang dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi ) kerana disahkan mengidap penyakit barah otak, saya rasa inilah ujian terbesar untuk dirinya dan keluarga.

Anaknya disahkan mengidap penyakit itu pada awal November 2012 pada usia yang masih kanak-kanak.

Ketika anaknya itu dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), selalulah saya melawat Jimadie yang siang malam menemankan anaknya yang sudah mula koma itu.

Daripada luluh sehingga hilang deria dan selera untuk makan dan menghisap rokok selama beberapa hari, beliau mampu bangkit dan belajar untuk menerima kenyataan.

Tapi berat mata yang memandang, berat lagilah bahu yang memikul.

Hari ini Jimadie dan keluarganya masih terkenangkan anaknya yang tiada itu, cuma dalam mood yang rasional dan dalam konteks menerima cerita takdir perjalanan hidup mereka seadanya.

Itu kisah Jimadie, dia merasai setiap detik kesedihannya sebagai seorang bapa yang kehilangan anak sulung yang disayanginya.

Saya dapat memahami kesedihannya tapi apa yang saya rasa tidaklah sama seperti tahap sedih yang dirasainya. Saya sedih atas dasar simpati mengenangkan nasib anaknya yang meninggal dunia dalam usia yang masih kanak-kanak.

Apabila saya pula terpaksa berdepan dan mengadap cerita sedih saya sekarang, ia menyentuh emosi, perasaan dan nilai kasih sayang kerana perhubungan yang rapat antara saya dan ibu. Saya percaya setiap anak juga akan berperasaan sama seperti saya.

Kita melalui tempoh masa yang lama dengan ibu kita. Bermula dalam kandungan sehingga dilahirkan ke dunia, kita bergantung dengan ibu dalam penuh suka duka.

Sehinggalah kita dewasa, maka acuan dan watak kita di dunia ini pun terbentuk. Waktu semakin ke depan dan apabila kita dewasa akhirnya kita pun cuba membentuk kehidupan dan masa depan kita sendiri.

Sedang ibu kita terpaksa meniti usia tuanya dengan penuh sabar. Kalau dulu masih boleh berjalan dan berlari, hari ini mungkin badan pun sudah bongkok dan bertongkat.

Saya melihat perubahan fizikal dan kesihatan itu pada ibu saya,setiap kali balik kampung menziarah, ibu saya itu semakin berusia dan akhirnya bertongkat. Walau menyedihkan, inilah kehidupan dan kenyataan tentang hidup kita, manusia.

Ibu saya melahirkan saya dalam usianya 42 tahun. Waktu itu tenaganya masih segar dan kuat sesuai dengan umurnya. Usia ibu saya sama dengan usia bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bezanya Tun masih steady ke sana ke mari sesuai dengan wataknya, sementara ibu saya tersadai di katil pesakit.

Apa pun perkara yang terbaik yang perlu kita lakukan adalah percaya pada ketentuan dan cerita tentang Tuhan.

Tentang kematian pula, Dia akan mengambil nyawa kita dalam keadaan yang berbagai. Ada yang meninggal sewaktu sedang solat, ada yang meninggal ketika bayi, ada yang meninggal di tali gantung, ada yang meninggal kerana sakit, kemalangan atau sebagainya.

Percaya itu penting kerana itu akan menunjukkan tahap reda kita pada ketentuan dan hukum alam.

Dunia in sifatnya pinjaman saja. Segala-galanya bukan milik kita. Diamanahkan untuk kita anak-anak, isteri dan saudara mara untuk kita tunaikan watak dan cerita kita di dunia ini. Dunia ini rapuh, begitulah juga tubuh badan kita.

Misteri? Menjadi manusia itu adalah misteri yang paling nyata dan nyatalah kita lahir ke dunia ini hanya untuk berhadapan dan menyelesaikan masalah. Untung dikurniakan nikmat cinta dan kasih sayang, itulah yang membezakan kita dengan makhluk lain. – 16 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments