Sekian ramai watak yang unik dan istimewa yang saya kenal, Ayah Halim salah seorang daripada mereka. Wataknya sebagai bapa kepada aktivis Adam Adli Abd Halim, sangat mengesan dan mendapat perhatian dari banyak pihak.
Walau sudah sebulan pemergiannya, juga baru terdetik di ingatan untuk menulis tentang arwah, beliau tetap akan kita ingati, sepanjang masa.
Walaupun kita kenal arwah hanya sepanjang penglibatan anaknya dalam dunia aktivis sosial, namun namanya tetap dan akan kekal bermain di ingatan bagi mereka dan rakan-rakan seperjuangan. Jiwa rebel antara mereka anak beranak ini jelas dan konsisten akan apa yang mereka perjuangkan.
Menggelar dirinya sebagai Ayah, arwah jika ke Kuala Lumpur jika ada program atau hal yang melibatkan anaknya Adam Adli khususnya, biasanya akan singgah di KL Sentral dan berjumpa saya untuk berbual-bual lebih kurang.
Dalam setahun dua kebelakangan ini, arwah selalu singgah. Biasanya beliau akan minta saya nyanyikan lagu kegemarannya ‘Suratan atau Kebetulan’ yang dipopularkan oleh Kenny, Remy & Martin, lagu yang popular di era 80-an dulu.
Salah satu sebab beliau singgah ke port saya untuk menyimpan beg atau barang keperluannya sementara dia ke surau untuk menunaikan solat.
Pernah dua tiga kali arwah datang sambil berpegangan tangan dengan isterinya dalam mood romantis dan penuh kasih-sayang, sambil saya mendendangkan lagu kegemarannya itu. Saya respek sebab agak sukar kita lihat di zaman ini golongan couple atau suami isteri yang dah berumur masih berjalan sambil berpegangan tangan.
Yang saya salut tentang arwah adalah sikapnya yang menyokong perjuangan anaknya tanpa berbelah bahagi. Arwah sangat bangga dengan anaknya Adam. Kata-kata yang saya masih ingat keluar dari mulutnya, “Biar dia belajar di luar tembok, mahupun di dalam tembok sekali pun.”
Adam patut berbangga punya seorang ayah seperti Ayah Halim. Memetik kata-kata dan pandangan luhur anaknya seperti yang tertulis di bawah ini,
“Aku tengok ayah aku ni, selama 54 tahun hidup, terutama 27 tahun terakhir, saat orang lain kejar cita-cita untuk jadi seseorang yang besar - peguam, eksekutif, pengurus, businessman, ayah memilih untuk dedikasikan hidupnya untuk menjadi suami dan seorang ayah.”
“Seseorang yang tidak wujud dalam hidup dia memandangkan ketika umurnya 4 tahun, dia sudah kehilangan ayah sendiri. Dia membesar, sampai umur 18 dia terus keluar kampung untuk mencari rezeki, merantau untuk membantu adik-adiknya yang bersekolah. Yang itulah yang paling ketara.”
“Untuk aku sebagai anak, itu juga yang aku rasa. Orang lain mungkin umur 20 sudah mulai berpisah dan membawa haluan hidup tanpa mak dan ayah di belakang (kecuali doa dari jauh), dia melakukan lebih pada doa seorang bapa untuk anaknya. Dia akan pastikan dia sentiasa ada bila aku sedang melalui waktu-waktu yang sukar.”
“Aku ke program mana-mana yang dia mampu sampai dia akan ikut, kes mahkamah aku dia sentiasa ada. Aku masuk lokap, dialah yang akan sentiasa menjamin aku keluar. Dia kira penjamin tetap aku di lokap dan mahkamah. Aku berumur 26 tahun tetapi dia masih hendak jaga aku seperti aku masih berumur 16 tahun. Itulah yang aku kenal. Kadang-kadang aku tidak tahu pun dia ada. Tetapi dia akan berada di situ, bersedia untuk melindungi aku.”
Demikianlah pandangan seorang anak terhadap ayahnya. Sebagai seorang anak Adam tentulah lebih mengenali ayahnya lebih dari kita semua.
Seingat saya dalam beberapa bulan sebelum ini arwah ada lalu dan hanya sempat menyapa tanpa sempat singgah seperti biasanya. Kali terakhir 2 minggu sebelum pemergiannya untuk mengadap ilahi. Sambil membawa helmet, kami berbual sebentar dan itulah kali terakhir saya berjumpa dengannya.
Wajah dan riaknya waktu itu agak tidak ceria, mungkin kerana keletihan.
Kehidupan ini beginilah. Kita tidak tahu bila perkhidmatan kita sebagai khalifah di muka bumi ini akan ditamatkan bila-bila masa. Saya terkejut sebenarnya mendengar berita kematian Ayah Halim, sebab arwah masih muda, meninggal dalam usia 54 tahun.
Tetapi itulah, kerja Tuhan kita hanya mampu menduga, selebihnya hanya Dialah yang tahu.
Seperti bait-bait senikata dalam lagu Pelangi Petang nyanyian Sudirman,
“Engkau tiba bagaikan pelangi,
Tak bercahaya namun kau berseri
Namun cukup meyakinkan”
Al- Fatihah untuk Abdul Halim bin Abdul Hamid (54 tahun) yang kembali ke rahmatullah pada 24 April 2015, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. – 28 Mei, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments