Opinion

Mengharapkan sokongan pada 3rd Gambus Festival

National Conservatory of Art (NCA) yang orang kuatnya, sang aktivis gambus, Raja Zulkarnain atau Zul, sekali lagi akan menganjurkan program 3rd Gambus Festival 2014 pada Ahad, 21 Disember 2014, di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, dari 8 pagi hingga 11 malam.

Program ini turut mendapat kerjasama dari Malaysia Gambus Association dan Museum of Asian Art Universiti Malaya.

Pada hari tersebut akan berlangsung berbagai program seperti forum, Papaer Presentation, Graduation Concert, Master Class, Exhibition dan juga Concert.

Pada Festival Gambus Kebangsaan (NGF2013) tahun lepas, saya hadir memberikan sokongan. Waktu itu ramai juga yang hadir, penerimaan dan sambutan ramai agak positif.

Seperti kata pihak penganjur, berbanding kali pertama diadakan, tahun 2013 lebih baik sambutannya dari segi jumlah peserta dan kehadiran penonton. Bukan mudah menarik penonton hadir ke program yang berbentuk ilmiah seperti Festival Gambus yang mereka anjurkan ini, saya faham tentang itu.

Antara peserta yang akan mengambil bahagian pada 3rd Gambus Festival. Antara peserta yang akan mengambil bahagian pada 3rd Gambus Festival. Dan seperti biasa sesudah dua kali program ilmiah sebegini diadakan dan walaupun terbukti berkesan dari segi sambutan dan dari sudut ilmiahnya, mereka masih sukar mendapat sokongan badan kementerian mahupun pihak NGO.

Kata Raja Zulkarnain ketika saya bertemu beliau dalam sesi sembang-sembang baru-baru ini:

“Program seperti ini perlu kekal atas platform ilmiah sebab untuk program yang berbentuk hiburan kita sudah ada orang-orangnya, jadi tidak perlulah kita gabungkan.

"Yang fokus pada hiburan hanya pentingkan pendapatan, kami yang berjuang dari sudut ilmiah lebih risau tentang hala tuju alat ini di masa akan datang, adakah akan terus tenggelam ciri-ciri seninya oleh hasil wang yang dikejar atau terus hidup kaya dengan seni permainan dan lagu-lagunya?”

Pihak kementerian juga perlu memberikan sokongan terhadap budaya dan permainan gambus di negara kita, sama seperti mereka memberikan lebih perhatian terhadap muzik makyong mahupun gamelan yang asalnya dari pantai timur.

Kita akui muzik gamelan, mak yong dan wayang kulit memang sudah popular dan terkenal maka apalahnya mereka memberikan perhatian pada alat muzik gambus/oud untuk terus berkembang.

Mengikuti bait-bait harapan dan keluhan Raja sang aktivis, memang ianya proses panjang sebelum pihak berkenaan memberi respon mahupun sokongan.

Seperti pendapat dan pandangannya, yang boleh kita kongsi menyatakan simpati mahupun sokongan agar mereka lebih peka untuk mendengar mahupun membantu:

“...Sama seperti alat gamelan, ianya cukup popular dan sering disanjung. Kementerian sentiasa beri bantuan tentang acara-acara seperti yg disebutkan tadi. Festival gambus dah masuk tahun ke3 masih lagi diuruskan sendiri tanpa ada bantuan dana yang solid.

“Festival gambus adalah acara antarabangsa melibatkan banyak negara luar yang sanggup datang ke Malaysia untuk menyertai event ini. Bukan sahaja dipromosikan di Malaysia, saya juga sering membawa nama Malaysia ke luar negara melalui alat gambus ini.

“NCA bersedia duduk semeja dengan kementerian untuk merangka berbagai program (hiburan mahupun ilmiah) bagi memartabatkan alat gambus ini ketahap yang lebih hebat lagi, insya Allah.”

Sedikit tentang perkembangan Raja Zulkarnain atau Zul sebagai seorang aktivis dan pemain gambus atau oud.

Beliau penting dalam dunia gambus tanah air selain nama-nama lama yang kita kenal seperti Allahyarham Fadhil Ahmad.

Penting kerana selain pernah menjadi tenaga pengajar alat muzik gambus di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dari 2003 hingga 2010, sebelum ASK ditukar namanya kepada Aswara pada 2005, beliau juga berjaya menghasilkan sebuah buku hasil karangannya bertajuk "Oud, Warisan Seni dari Timur Tengah" yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad pada 2013.

Beliau pernah berguru dengan Nasheer Shamma selama mendalami muzik gambus di Kaherah, tokoh muzik oud terkenal di persada antarabangsa yang berasal dari Iraq.

Terbaharu, beliau sempat mengeluarkan sebuah album pengenalan tentang gambus dan konsepnya. Album yang berjudul "Sound of the Orient" ini mengandungi lagu-lagu "cover" karangan komposer di zaman dahulu seperti Tanburi Jameel Bey (Turki), Jameel Bashir dan Munir Bashir (Iraq), Riyadh Sunbathi (Mesir), Othman Al-Mousely (Iraq) dan Sayedh Darwish (Mesir).

Dari segi instrumen atau alat muzik yang digunakan, termasuklah Oud, Ney dan Riqq/Tar. Juga sedikit bunyian dari synthesizer.

Album terbitan Green Dome Production yang sudahpun berada di pasaran ini merupakan himpunan lagu-lagu dari negara Timur Tengah dan Asia Barat (Turki) untuk memperkenalkan penggunaan maqam (modes).

Program 3rd Gambus Festival 2014 ini memerlukan sokongan dari pihak yang berkenaan dari segi dana. Setakat ini mereka masih mampu menganjurkan program demi program walaupun hanya disediakan kemudahan dari segi tempat dan ruang.

Walaupun para peserta tidak dibayar dari segi ringgit, mereka yang datang dari luar sanggup mengeluarkan duit poket sendiri demi memeriahkan program yang bagus dan bermanfaat ini.

Ini kesempatan yang sangat baik untuk masyarakat dari berbilang bangsa hadir ke program tersebut bagi lebih mengenali apa itu gambus/oud dalam konteks yang lebih universal.

Datanglah beramai-ramai, berikan sokongan untuk program berbentuk ilmiah seperti ini.

Sekali lagi, masuk adalah percuma! – 11 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments