Opinion

Meninggal dunia, meninggalkan dunia

Kita semua akan meninggal dunia apabila sampai masanya nanti. Walau siapa pun kita, golongan bangsawan, gelandangan, siapa sahaja, kita akan kembali ke pangkuan Pencipta. Cuma cara sahaja yang berbeza.

Ada yang mati kemalangan, dibunuh, sakit kronik, sakit tua, apa sahaja penyebabnya, walau cara berbeza, tujuannya sama sahaja. Itu adalah janjiNya.

Semasa di dunia ini kita juga diberi pilihan, samada mahu meninggal dunia tanpa sebarang persediaan atau dalam keadaan bersedia. Itu kita kata, meninggalkan cerita indah dunia untuk bekal ke alam yang abadi.

Kita boleh jika kita mahu merasakan hidup ini adalah milik kita. Kita boleh juga jika kita masih berkira-kira dengan kehidupan dan Tuhan dalam apa sahaja perkara. Cuma kesannya apabila yang kita kata milik kita itu, rupanya bukan milik kita, ianya akan menjadi cerita hampa yang memungkinkan kita putus asa dan kesal kerana tidak pandai menilai mana kaca mana permata.

Kita akan tahu apa yang ada bukan milik kita bilamana terjadinya bebagai-bagai cerita dan masalah dalam meniti perjalanan takdir hidup yang kita lalui.

Kematian orang yang kita sayang, hilang nikmat hidup, selera terhadap dunia semakin berkurangan atas faktor kesihatan, kaya ditimpa miskin dan berbagai lagilah.

Kehidupan ini adalah milikNya. Dia akan ambil bila-bila masa tanpa sebab dan alasan.

Kita tak boleh nak "complain". Kita cuma menumpang dan hidup di dunia atas faktor "waktu dan ketika" sahaja.

Saya kata "waktu dan ketika" kerana yang kita miliki cuma waktu ini dan saat ini sahaja. Sedetik lalu hanyalah ilusi semata, kerana kita mampu mengambil detik itu dan ianya terus berlalu pergi. Kita juga tidak akan tahu apa yang akan terjadi sesaat di hadapan.

Yang kita punya hanya angan-angan dan kenangan. Itu terpulang kepada kita samada untuk disimpan dalam kotak memori atau enyahkan. Sebaiknya apa yang indah mahupun sedih, eloklah kita enyahkan dari ingatan.

Folder sarat akan membuatkan komputer "jam". Kenangan menjadikan kita jenis manusia penuh dendam dan ia tidak membantu, malah menjauhkan jarak hubungan antara rohani dan jasmani.

Kita tidak punya pilihan selain cuba untuk meninggalkan cerita indah dunia sedikit demi sedikit. Kita perlu pulang dalam keadaan suci seperti bayi baru lahir, sebagaimana kita dihadirkan ke muka bumi ini.

Sifat seorang bayi itu suci dan bersih kerana nafsu dan kehendak masih belum bercambah seiring usia. Apabila dewasa kita akan membesar bersama nafsu dan kehendak, inilah yang membuatkan kita untuk memilih jalan Tuhan ataupun hantu.

Tuhan, kalau kita terbalikkan sebutannya, akan menjadi hantu. Kita akan tahu di mana kita akan berada, di sisi Tuhan atau di sisi hantu.

Hantu atau iblis ada di mana-mana. Di surau, masjid, politik, di langit mahupun di bumi, dalam setiap jiwa manusia, iblis akan cuba bermukim di situ walau mereka katanya dalam golongan terpilih ataupun mulia di sisi masyarakat.

Saya kenal baik seorang lelaki berbangsa India berumur 50an. Asalnya lelaki ini selalu singgah di port busking saya jika ada hal dan urusan dunia. Tinggalnya di Klang.

Dari cara pemakaian dan imej, lelaki ini sangat sederhana dengan jambang, topi, hanya beselipar sahaja namun dari gayanya nampak tenang selalu.

Katanya dia seorang pengamal meditasi dan sudah 20 kali ke India berjumpa dan berguru dengan golongan sadhu di sana. Lelaki ini sudah meninggalkan cerita indah dunia sedikit demi sedikit. Hari ini katanya hidupnya tenang.

Golongan sadhu adalah golongan orang suci di India. Sadhu adalah bahasa sanskrit bermakna "holy man". Mereka mengamalkan cerita indah dunia untuk menjadi pertapa dan tinggal di kawasan pergunungan, lembah, gua yang jauh dari masyarakat.

Kalau dalam agama lainnya, seperti Islam, Kristian mahupun Buddha, ada juga golongan seperti ini. Dalam agama Islam, jika kita ingin mendalami ilmu jiwa dan mengenal diri juga pencipta, kita perlu mendalami ilmu agama dari syariat sampai kepada makrifat untuk mencari kebenaran diri sejati.

Bagi saya mereka ini adalah golongan yang baik dan tidak berkepentingan seperti kita. Kita selagi masih berkepentingan tentang cerita indah dan merapunya dunia ini, masih lagi penuh dengan sifat manusia lemah dalam serba-serbi.

Cuma sangat menghampakan apabila berita tentang penderitaan rakyat Rohingya di Myanmar. Saya upset dengan perbuatan golonga sami dan Buddha di sana yang menindas golongan minoriti itu dengan alasan berbeza agama. Upset kerana ajaran Budhha yang begitu menekankan aspek kemanusiaan dalam kehidupan untuk mencapai tahap nirvana atau "piece of mind".

Berbalik kisah kawan saya dengan jalan hidup sufi tadi, di samping menjaga ibunya yang sakit, setiap pagi jam 4, dia sudah bangun menjalani ibadat ritualnya secara rutin.

Dia selalu dan tidak putus asa mengajak saya untuk memilih jalan yang dilaluinya. Katanya saya masih boleh mengamalkan zikir atau suluk dalam agama saya, tidak ada masalah. Saya belum bersedia untuk itu kerana masih punya tanggungjawab sebagai seorang manusia yang punya keluarga dan kehidupan.

Saya lebih suka bersifat realistik dalam hal dan kehidupan ini. Kita hanya perlu menjadi diri kita sendiri dan tidak perlu menjadi orang lain. – 21 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments