Opinion

MH370 dan kisah Ashabul Kahfi

Kita masih bercerita tentang MH370 yang semakin menjauh daripada kita, semakin sayup dan lama-kelamaan ia mungkin akan hilang ditelan zaman.

Sudah lebih sebulan, atau mungkin sampai kiamat, segala yang hadir hanyalah andaian dan spekulasi belaka.

Tanpa kesan, tapi terkesan. Kejadian ini adalah sebahagian daripada tragedi misteri yang tidak akan terungkap sebagaimana misterinya kisah Segi Tiga Bermuda.

MH370 akan menjadi renungan dan sejarah yang mungkin tidak mampu dijawab oleh sesiapapun, walau dari mana-mana negara sekalipun. Yang mereka kemukakan hanyalah andaian dan spekulasi belaka.

Cerita-cerita logik pun seakan sudah tidak relevan lagi dengan misteri MH370. Apa teori dan logik yang masih tertinggal untuk membuatkan kita kembali menaruh harapan tentang MH370? Yang kita tunggu hanyalah keajaiban, itu saja.

Tolak cerita bomoh, marilah kita singgah ke alam mistik, kepercayaan dan misteri. Seperti pandangan seorang kawan, mungkinkah dalam tempoh 200 atau ratusan tahun lagi MH370 yang lenyap itu akan kembali dengan semua penumpangnya akan pulang dalam keadaan selamat?

Atau seperti kita menonton filem sains fiksyen dari Amerika yang bertaraf box-office “The Abbys”, arahan pengarah hebat James Cameroon terbitan tahun 1989 dulu?

Filem ini memang menarik jika kita sukakan “advanture” dengan lakonan pelakon hebat seperti Ed Harris dan Mary Elizabeth. Menariknya filem ini kerana ada dunia dan kehidupan yang tidak pernah kita fikirkan di dalam sana, 8km ke dasar lautan dan mereka jauh lebih hebat dan maju daripada kita.

Apa yang terdapat di dasar laut sana? Kita tidak tahu dan teknologi kita tidak akan sampai ke situ walau kita sedang berusaha ke arah itu. Mungkin berbanding Alien atau makhluk asing, manusia tidaklah sepandai dan sehebat mana dari segi sains dan teknologi.

Manusia kebanyakannya cuma pandai menipu dan membelit untuk memenuhi tuntutan nafsu.

Segi Tiga Bermuda, Atlantis, Piramid, Patung Gergasi Pulau Easter, Crop Circle, Batu Ica, Black Hole mahupun cerita Ashabul Kahfi adalah sebahagian cerita misteri yang masih tiada jawapan sahih tentangnya sehingga ke hari ini.

Mungkinkah kehilangan MH370 kerana diculik sekumpulan makhluk asing (alien) seperti yang selalu kita tonton dari filem-filem keluaran Hollywood? Atau mereka berjaya menghentikan putaran masa (dengan izin Tuhan) sehingga segala-galanya terhenti untuk satu tempoh masa.

Andainya kisah penumpang MH370 yang katanya “berakhir di Lautan Hindi” itu rupanya dilenyapkan oleh suatu kuasa yang tidak terjangkau oleh akal dan pemikiran kita, adakah kita akan percaya jika itulah kehendak Tuhan?

Atau mungkin untuk ratusan tahun lagi mereka pun kembali dalam keadaan seperti hanya sedetik masa berlalu sahaja, seperti mereka dibangunkan daripada mimpi dan tidur yang lena?

Ini kerana mereka tidak terikat dengan ruang dan waktu. Mereka malah terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah berlaku.

Kitapun bertanya mengapa surah Kahfi itu terkandung di dalam al-Quran? Maka kitapun diwajibkan percaya akan kisah-kisah tentang keajaiban itu boleh saja berlaku dengan izin Yang Maha Kuasa. Siapa kita untuk menafikan cerita Tuhan?

Kisah Ashabul Kahfi (Penghuni Gua) mengisahkah tujuh orang pemuda bersama seekor anjing melarikan diri bersembunyi ke dalam gua daripada pemerintah yang zalim.

Di dalam gua tersebut mereka ditidurkan selama 300 tahun lamanya dan apabila dibangunkan semula, mereka seolah terpinga-pinga dan tidak sedar tentang apa yang berlaku kepada mereka.

Di dalam surah al-Kahfi, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Adakah engkau (Muhammad) menyangka bahawa kisah Ashabul Kahfi dan ar-Raqiim itu sahaja yang menakjubkan antara tanda kekuasaan Kami?

“(Ingatlah peristiwa) ketika sekumpulan pemuda berlindung di gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakan kami rahmat daripada sisiMu dan berikanlah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.

“Lalu Kami menidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun yang banyak bilangannya.”

“Kemudian Kami bangkitkan mereka (daripada tidur ) untuk Kami menguji siapakah antara dua golongan mereka yang lebih tepat kiraannya mengenai tempoh mereka hidup (di dalam gua itu).” (Al-Kahfi, ayat 9-2).

Kisah mereka ditidurkan juga terdapat di dalam firmanNya,

“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua, jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri daripada mereka dan tentulah engkau akan merasa amat gerun dan takut kepada mereka.” (Al-Kahfi, ayat ke-18).

Saya percaya setiap yang tertulis seperti apa yang terkandung di dalam kisah Ashabul Kahfi itu untuk kita renungkan. Al-Quran mewajibkan kita percaya setiap ayat yang terkandung di dalamnya kerana itu kata-kata Tuhan, bukan kita.

Dan saya percaya, jika Dia mahu sesuatu itu berlaku, “kun faya kun”, maka jadilah! Adakah kita mampu menafikan ceritaNya dengan menilai segala sifat kita yang baharu dan lemah ini? – 24 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments