Opinion

Muhasabah kehidupan

Antara sekian banyak watak yang berlegar dan bermain di hadapan saya sewaktu busking di KL Sentral sejak beberapa tahun yang lalu, ada antaranya watak dan babak yang penting, yang masih saya ingat untuk kita kongsi bersama.

Suatu hari, ketika saya menyanyikan lagu Dylan, "Dont Think Twice", tercegat seorang lelaki umur awal 60an di hadapan saya. Mundar-mandir dia mendengar beberapa lagu Inggeris yang saya nyanyikan selepas itu.

Gayanya seperti orang kampung. Hanya berselipar Jepun, memakai t-shirt kemeja dan berseluar lusuh. Selepas menghulurkan sumbangan selepas lagu yang saya nyanyikan, kami berbual-bual dan atas sebab punya minat yang sama sebagai peminat lagu-lagu Bob Dylan, dia pun mengajak saya minum dan bertukar pandangan.

Dia ke Kuala Lumpur untuk melawat cucunya yang tinggal di Bangi. Katanya, Kuala Lumpur berserabut, membuatkannya rimas jika tinggal lama di sini. Dia lebih suka menghabiskan hari tuanya di kampung dengan berkebun dan bercucuk tanam.

Lelaki ini memang peminat tegar Bob Dylan dan penah menonton persembahan lagenda folk singer itu di London pada awal tahun 70an dulu sewaktu belajar di sana. Dia kemudiannya kembali ke Malaysia dan bekerja sebagai pengurus di sebuah kilang di negeri kelahirannya, Kedah.

Sudah tentu lelaki ini punya semua koleksi piring hitam Dylan yang masih disimpannya dengan baik sehingga ke hari ini.

Sembangnya lagi, di luar negara, dia selalulah menonton persembahan jalanan jika ada kelapangan kerana di sana, itu adalah pemandangan yang biasa berbanding di sini, di mana budaya busking atau seni jalanan baru saja nak bermula.

Saya ceritakan pengalaman saya sebagai busker di sini yang penah melalui pengalaman yang tidak menarik, termasuk pernah dicekup sewaktu busking malah pernah cuba diangkut ke JKM Mersing pada tahun 2005 dulu, sehingga membuatkan kami ketawa.

Pandangan setiap manusia itu berbeza mengikut kefahaman mereka dalam mentafsir makna kehidupan. Cara mereka memandang kita pun berbeza, pun mengikut tahap faham mereka dalam mengenal setiap kejadian itu.

Saya akui tidak ramai yang berfikiran seperti pakcik ini. Dia sudah melepasi fasa demi fasa. Menilai tahap kesamarataan sesama manusia bukanlah suatu yang mudah. Apabila kita dikurniakan dengan kelebihan material terutamanya, itu mudah membuatkan kita lupa siapa kita.

Ceritanya lagi, persepsinya dalam menilai kehidupan berubah 100 peratus tatkala mengalami satu peristiwa yang membawa pencerahan yang bermakna dalam hidupnya.

Sewaktu di Cairo zaman studinya di tahun 70an dulu, suatu hari sewaktu berjalan di bandar tersebut, dia melihat seorang pengemis yang menadah tangan minta simpati. Lantas dihulurkan 1 dolar kepada pengemis itu.

Lama dia memerhatikan gelagat pengemis itu. Tidak lama kemudian dia melihat si pengemis itu sanggup memberikan 1 dolar yang disumbangkan itu kepada kawannya yang memerlukan duit itu.

Katanya, “Bayangkan walau pengemis itu hanya ada 1 dolar, duit itu sanggup diberikan kepada yang lebih memerlukan walau dia sendiri tiada duit”.

Bayangkan orang miskin pun boleh tolong orang miskin. Sepatutnya orang kayalah kena tolong orang miskin.

Jika kita punya sikap memberi dan bersedekah, itu adalah satu kebaikan yang menandakan kita ini sentiasa berada disisiNya. Harta dunia adalah ujian untuk kita.

Sepanjang saya bernyanyi dan berlagu di situ, berbagai golongan manusia yang lalu lalang. Kita boleh lihat status dan gaya mereka. Ada yang sombong, ada yang berlagak, ada yang miskin dan ada yang macam orang kaya, juga ada yang macam orang miskin.

Kebanyakan orang kaya yang lagaknya sombong, itu biasa. Jika sifat mereka pula penuh dengan bunga-bunga riak malah kedekut pula, itu pun biasa.

Namun ada juga orang kaya yang telah tertanam sifat ihsan dan insan dalam diri mereka, juga sifat kemanusiaan yang tebal antara sesama, itu bagi saya suatu yang luar biasa.

Beruntung untuk mereka. Dunia dapat, akhirat pun dapat. Saya salut mereka ini, kerana mampu mengimbangi dan membuang sifat yang tidak baik di dalam diri. Itu adalah satu kejayaan jika mereka berjaya melepasinya.

Di antara golongan kaya yang baik hati dan pemurah ini ada yang saya kenal. Mereka ini berjaya melepasi tahap ego seorang insan yang telah diberi kelebihan oleh Tuhan dan berjaya duduk dalam level yang sederhana, itu yang terbaik.

Ujian untuk orang kaya adalah segala yang ada di sekeliling mereka. Ujian untuk orang miskin pula dari segi kekurangan dalam segala serbi terutamanya dari segi ringgitlah.
Duit adalah tuhan untuk umat manusia yang kurang nilai iman dalam diri mereka. Tidak kira siapa pun mereka.

Hari ini amat payah untuk kita melihat kejujuran dalam setiap diri insan. Mereka sanggup menipu diri malah sanggup menjaja makna kejujuran itu untuk kepentingan peribadi semata-mata. – 12 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments