Ramai yang berpendapat, muzik adalah terapi yang berkesan untuk mendamaikan jiwa. Bila jiwa kacau, apabila kita mendengar muzik yang kita suka, segalanya akan segera hilang atau sekurangnya mampu merehatkan minda kita ke arah yang lebih positif.
Jika kita berada dalam aliran kefalsafahan mahupun keagamaan, zikir adalah bunyi yang hadirnya dari minda menusuk ke jiwa untuk proses hening dan tenang jiwa. Kita akan dapat mendengar alunan zikir puji memuji dari degupan jantung kita yang tidak berhenti berdegup jika kita fokus akan kebesaranNya yang sentiasa ada untuk kita setiap waktu tanpa henti.
Bagi golongan yang dikurniakan bakat bermuzik, apabila mereka dapat luangkan masa dengan bergitar dan bernyanyi contohnya, segala stress atau tekanan akan segera berkurangan. Jadi muzik itu penting dalam kehidupan manusia sebenarnya.
Ramai pelajar gitar saya yang belajar bukan untuk jadi pandai sangat, melainkan untuk menghilangkan stress atau tekanan. Dan ia nyata berkesan dan mampu membawa minda mereka ke arah yang lebih damai dan menyihatkan.
Muzik adalah bunyian. Apabila dibentuk melodi mengikut hukumnya, akan terciptalah irama dan lagu. Bunyi angin yang menderu, enjin motokor, enjin motor mat rempit yang bingit dan bising, suara alam dari air terjun yang nyaman juga adalah antara bunyi yang mampu mendamai mahupun menyakitkan telinga kita.
Cuba kita pejamkan mata dan merenung ke dalam diri kita sendiri. Dengarkan bunyi degup jantung kita yang berdegup juga nadi kita yang sentiasa berbunyi. Kita mampu menjadikan ia satu irama yang unik dan berkesan untuk jiwa jika kita faham akan cara untuk memahaminya.
Itu sebab dalam dunia muzik dan bunyi-bunyian, banyak genre atau kategori muzik yang kita dengar, bergantung kepada minat kita. Ada yang minat muzik yang bingit atau metal, ada yang suka muzik yang rileks, ada yang minat muzik yang sekadar mengeluarkan bunyi mengikut rentak ekspresi atau luahan.
Kita lihat dalam genre metal contohnya, walaupun bingit dan bising, genre ini tetap punya ramai peminat di seluruh dunia. Apatah jika mendengar ‘world music’ atau album artis yang diterbitkan ‘Real World Records’ milik pemuzik Peter Gabriel.
Justeru, apa saja kategori yang mahu pemuzik itu persembahkan, akan ada pendengarnya. Cuma yang membezakan berapa ramai pendengar yang akan menyukainya, itu sahaja.
Bercerita tentang muzik yang berbentuk ekspresi mahupun emosi, kita katakan itu adalah cabang dari eksperimental atau new age dan ia mengingatkan saya kepada pemuzik maestro dari Jepun, Kitaro.
Saya mula mendengar muzik Kitaro sejak awal tahun 80-an melalui album pertamanya, Ten Kai yang diterbitkan pada tahun 1977. Album tersebut adalah introduksi yang paling berkesan untuk mereka yang mementingkan bunyi alam yang diilhamkan secara analog melalui synthesizer, keyboard, sampler dan alat instrumen lainnya.
Album tersebut sangat sesuai untuk mereka yang cenderung untuk bermeditasi untuk proses hening jiwa.
Saya kagum dengan keban Kitaro yang mampu mentafsirkan makna alam melalui muziknya. Umpama mendengar lagunya ‘Flying Clouds’, bila kita lihat awan yang berarak nyaman, berserta muziknya, ia seakan menyatu melalui pemahaman rasa kita sendiri. Itu kelebihan yang ada pada Kitaro berbanding pemuzik intrumental lainnya.
Pemahaman beliau tentang alam dan kejadian itu tidak ada sesiapapun dapat menafikan. Hari ini Kitaro sudah bertaraf lagenda dan mampu hidup dalam kemewahan hasil dari bakat seni dan muziknya yang berjaya menembus pasaran dunia secara keseluruhannya.
Kehidupan ini umpama air laut yang berbagai sifatnya. Ada tenang, berombak, ribut, taufan dan sebagainya. Begitu jugalah dengan sifat dan fitrah kita, manusia.
Ada masa kekusutan itu akan datang melanda kesan kesibukan kita menguruskan hidup yang penuh dengan segala macam ragam yang tidak pernah kita jangkakan kadang-kadang.
Bayangkan, kita bangun pagi untuk bekerja. Melayan mood pagi dengan keadaan jalan raya yang sesak teruk di waktu pagi, itu sudah cukup untuk merosakkan mood kita di hari itu. Sampai ke pejabat atau di tempat kerja, terpaksa pula kita berhadapan dengan berbagai kerenah yang datangnya dari pelanggan mahupun majikan kita.
Apabila tiba waktu petang, kita terpaksa berhadapan dengan suasana yang sama, tentang kesesakan jalan raya yang membuatkan kita akan sampai ke rumah jam 8 atau 9 malam. Sehingga semua permasalahan itu sudah menjadi satu rutin dan kebiasaan. Kita hanya punya dua pilihan, take it or leave it.
Jadi untuk segala permasaalahan akan nasib kita yang menjadi penghuni bumi yang semakin tua ini, kita perlukan alternatif dan muzik adalah salah satu cabang yang berkesan untuk kita luangkan masa untuknya, tidak kira samada mendengar mahupun bermuzik. – 29 Oktober, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments