Opinion

Muzik orang kahwin dulu dan sekarang

Sewaktu saya di usia remaja di penghujung tahun 70an dan awal 80an dulu, kugiran (kumpulan gitar rancak) memang popular di kampung-kampung terutamanya jika ada majlis kenduri kahwin. Budaya atau trend memeriahkan majlis perkahwinan dengan muzik dan nyanyi mungkin sudah bermula awal lagi sebelum 70an, saya tidak pasti sebab itu bukan zaman saya.

Kita mewakili anak-anak muda baru nak naik akan bertanya, “ada kugiran tak malam ni?” Kalau ada memang seronoklah, sebab di kampung mana ada hiburan.”

Kalau di Melaka, kata kawan saya orang Melaka, mereka panggil ‘Chakuncak’. Kalau di sebelah utara sempadan Kedah sana, mereka panggil Band Orang Kahwin.

Kalau di tempat atau kampung saya, kugiran yang popular biasanya dijemput dari Ipoh, Parit atau Taiping. Bayaran mereka membuat persembahan biasanya sekitar RM500. Waktunya selepas Isyak sampailah jam 12 tengah malam atau sampai lewat pagi pun ada.

Kebanyakan mereka ini (ahli kugiran) hanya menjadikan kerjaya bermain muzik sebagai sampingan atau hobi kerana mempunyai pekerjaan tetap atau bekerja dengan kerajaan. Ada yang jadi konduktor bas, bekerja dengan TNB dan pelbagai pekerjaan lagilah yang mereka lakukan untuk meneruskan kehidupan.

Ada seorang pemuzik yang bermain di majlis orang kahwin bekerja sebagai konduktor bas yang memberi perkhidmatan dari Bruas ke Ipoh. Sewaktu saya darjah 2 pada 1975 dulu, brader ini sudah bekerja sehingga 15 tahun kemudian sewaktu pulang ke kampung dengan menaiki bas, "brader" ini masih setia dengan pekerjaannya.

Kalau di kampung saya, Kampung Dendang, suasana apabila waktu malam memang sunyi dengan lampu jalan pun tak ada. Bila ada kugiran, suasana memang riuh sehingga satu kampung boleh dengar.

Di Bruas, kawasan tempat tinggal saya itu ada seorang ‘otai’ yang dipanggil “brader” kerana punya rasa hormat padanya sebab pernah menjadi gitaris dan penyanyi di pub di merata tempat dalam dan luar negeri. Brader ini selalulah melepak dengan kami yang masih muda belia di sebuah kedai runcit tempat ‘port’ melepak saya dan kawan-kawan waktu itu.

Respect sebab lagu-lagu yang dinyanyikannya lain daripada lagu orang putih yang popular waktu itu seperti lagu rock Scorpions dan Deep Purple. Biasanya lagu paling popular dimainkan ialah lagu Deep Purple. Semua gitaris nak jadi Blackmore dengan berpakaian hitam sehingga sampai naik ‘sheikh’ habis tiang khemah digeseknya dengan gitar.

Waktu itu kalau dalam band tersebut ada keyboard atau saxophone, itu bagi saya poyo sangatlah. Kalau boleh saya nak line up 3 piece sahaja seperti kumpulan Grand Funk Railroad.

Kami waktu itu ingin sangat nak tengok brader ni perform atas stage bersama band orang kahwin. Hasrat itu tercapai dan bila brader ni jamming, band tu tak boleh nak ikut. Iyalah, mereka biasanya perlu praktis dahulu.

Padahal brader ni hanya main lagu-lagu C.CR seperti Lodi, Have You Ever Seen the Rain antaranya. Brader ni pun bukanlah handal sangat bergitar. Band orang kahwin itu lebih bagus permainan mereka daripada brader ni sebenarnya. Dia bukannya gitar hero. Tapi itulah pandangan kami terhadap brader ini.

Pernah juga dijemput band orang kahwin yang memainkan lagu-lagu asli dan ghazal. Malangnya tidak mendapat sambutan anak-anak muda seperti saya yang waktu itu sedang kemaruk dengan muzik rock.

Sewaktu belajar dan tinggal di Manjung pada 1988 dulu, saya pernah ditawar oleh ketua sebuah kumpulan band orang kahwin untuk menjadi pemuzik dan penyanyi band mereka. Kata mereka, “duit tak dapat, tapi kalau nak glamour, boleh dapatlah”.

Zaman ini semua itu sudah tidak ada lagi. Baik di kampung mahupun di bandar. Hari ini biasanya mereka akan menggunakan khidmat deejay dengan PA System yang ada sistem karaoke. Bukan itu sahaja, kompang dan rebana juga sudah tidak ada lagi, digantikan dengan bunyi sampler orang main kompang. Ada juga sesi karaoke bagi sesiapa yang nak menyanyi.

Saya sering dijemput untuk membuat persembahan di majlis orang kahwin. Mereka lebih suka konsep unplugged yang lebih relaks dan tidak bising. Muzik dan menyanyi pun hanya selingan sahaja kerana aturcara majlis sudah siap disusun.

Orang yang datang fokus utama mereka untuk melihat dan meraikan pengantin bersanding. Kita yang bermain muzik dan nyanyi hanyalah pelengkap aturcara program sahaja.

Salah satu sebabnya dengan menjemput hanya seorang pemuzik, bajet boleh dijimatkan. Untuk menyewa sistem karaoke dan sound system, kos penyewaannya lebih kurang dalam RM500 sahaja.

Majlis kahwin pula biasanya dilangsungkan di dewan serba guna atau di rumah pengantin dengan dipasang khemah.

Suasana majlis kahwin zaman dulu dan sekarang memang banyak bezanya. Dulu segalanya manual dan praktikal. Sekarang di zaman IT ini kalau boleh semuanya nak diringkaskan. Contohnya kompang dan rebana sudah disamplerkan. Jadi, pemuzik kompang dan rebana semakin terpinggirlah nasib mereka. – 30 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments