Muzik adalah sebahagian daripada cabang kesenian yang penuh dengan keindahan dan misteri yang tidak terungkap akan maknanya. Sebahagian besar umat dunia adalah peminat muzik tidak kira apa genre sekalipun, tidak hairanlah ramai penghibur dan pemuzik hebat dunia mampu hidup senang di atas kehebatan mereka sebagai pemuzik mahupun penyanyi.
Bagaimanapun itu cumalah cerita di atas kertas sahaja, hakikatnya ramai juga yang hidup melarat dan punya masa depan yang tidak menentu lantaran menjadi pemuzik.
Kita sedang berada di Malaysia, negara yang melihat muzik sebagai perkara yang tidak penting sangat.
Pertamanya agama rasmi kita sendiri melihat muzik itu sebagai cabang yang makruh, malah ada juga ulamak yang mengatakan muzik itu haram.
Tidak hairanlah jika kita memilih untuk menjadi pemuzik, itu bukanlah pilihan yang tepat bagi orang tua kita.
Sebabnya kita boleh lihat sendiri nasib para pemuzik hebat di negara kita ini, di manakah mereka kini? Adakah mereka mampu hidup senang dengan hidup sebagai pemuzik?
Saya membaca tentang berita kedaifan hidup pemuzik hebat Ooi Eow Jin ( 77 tahun ) yang sudah 5 tahun menderita penyakit Alzhemeir dan yang bagusnya banyak pihak yang prihatin sanggup membantu beliau dan keluarganya dengan berbagai cara.
Ooi Eow Jin adalah pemuzik hebat yang bertaraf lagenda di negara kita ini. Saya kenal beliau melalui RTM lagi di tahun 70-an dulu. Sebagai seorang pemuzik, beliau juga seorang pemuzik klasikal dan jazz yang hebat dan sangat berbakat.
Apabila ada inisiatif daripada pihak RTM melalui orang kuatnya yang juga pengarah muzik RTM, Datuk Mokhzani untuk menganjurkan Konsert Orkestra RTM bagi mengutip derma membantu Ooi, ini suatu perkara yang sangat baik dan harus kita puji.
Konsert yang akan berlangsung pada 15 Disember 2015 di Auditoriom Perdana, Angkasapuri itu turut melibatkan ramai para artis popular negara kita ini.
Berbalik pada kisah hidup kita sebagaii seorang pemuzik, mengapa saya kata kita tidak akan senang jika hidup sebagai seorang pemuzik.
Bayangkan di tahun 80-an kita menjadi pemuzik di pub dan hotel dengan pendapat sebanyak RM2000 sebulan. Itu dikira jumlah yang banyak juga untuk zaman itu. Hari ini di tahun 2015 jika kita bermain muzik di pub, kita masih dibayar RM2000 juga, dengan mengambil kira kos sara hidup yang tinggi, jumlah itu sangatlah rendah.
Kita menjadi pemuzik undangan atau sessionist untuk sesuatu program. Berapa kita akan dibayar untuk itu? RM500? RM1000? RM300? Show pula mungkin seminggu, sebulan ataupun 3 bulan sekali baru dapat. Jadi pendapatan kita sebagai pemuzik tidaklah konsisten.
Lagi hebat kita ini sebagai pemuzik, sebagai pemuzik jazz contohnya, lagi kita tersepit dalam ruang atau dunia kita sendiri. siapa yang minat jazz di sini? Berapa ratus orang yang faham muzik jazz? Buat album jazz lakunya tak sampai 100 keping, itupun kawan-kawan yang support.
Berapa pendapatan kita sebagai pemuzik jazz di hotel mahupun di pub? Paling tinggipun RM5000. Mungkin lebih tapi averagenya dalam lingkungan RM3000 sahaja.
Dengan RM3000 atau RM5000 jika kita tinggal di Kuala Lumpur, kita dikira miskin bandar. Sewa rumah, kereta, dengan kos lainnya kita bolehlah bernafas tapi masih juga sangkut.
Saya akui segelintir daripada kita mampu hidup senang sebagai insan seni. Itu sebab mereka ini punya nama besar sebagai komposer atau penyanyi lagu pop yang menjadi pilihan ramai di negara ini.
Sebahagian besar daripada mereka ini petik gitar pun berterabur, tapi pandai memanipulasi rentak skema dan stereotaip yang menjadi pilihan majoriti pendengar dan pandai bawa diri dalam industri hiburan tanahair, maka mereka ini lepaslah.
Memetik kata-kata seorang kawan yang juga seorang pemuzik yang berpengalaman puluhan tahun bermain muzik di pub dan hotel sejak hujung tahun 70-an dulu yang akhirnya memilih kerjaya lain pada tahun 1995, kesimpulannya hidup sebagai pemuzik tidak ada jaminan masa depan, inilah faktanya.
Seorang rakan bertanya kepadanya, apa akan jadi dalam tempoh 6 tahun akan datang? Adakah dia sudah mempunyai simpanan yang mencukupi untuk masa depannya?
Dua perkara ini sering bermain di fikiran saya dalam sehari dua ini. Pertamanya apabila membaca kisah dan nasih Ooi Eow Jin dan keduanya tentang nasib seorang pemain gitar hebat dunia, Tony MacAlpine yang disahkan menghidap kanser usur.
Nasib Tony mungkin tidak seperti Ooi Eow Jin, apatah namanya dalam dunia genre numetal dan rock umum sudah mengetahuinya , apatah apabila virtuoso sehebat Steve Vai berkata, sebahagian dari pemuzik itu memang sudah ditakdirkan sebagai pemuzik hebat, atau gifted dan Tony adalah salah seorang dari mereka itu.
Pun apabila sudah tersadai dan tidak mampu bergitar lantaran berpenyakit, maka habis dan tersekatlah sumber pendapatan, maka mereka ini pun perlu dibantu tidak kira sehebat mana mereka itu.
Ingin menjadi pemuzik?
Pertamanya, kita akan berbangga sebab punya bakat dan rakan memuji kita sebagai pemuzik yang ada bakat. Kemudian kita pun menjadi pemuzik, penuh dengan kemasyuran dan puji-pujian dan kita dapatlah hidup sebagai seorang pemuzik.
Selepas fasa itu? adakah segalanya akan konsisten seperti yang kita rancangkan? – 26 November, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments