Sejak zaman negara kita mencapai kemerdekaan lagi, muzik bukanlah satu cabang atau arena yang digalakkan untuk kita menceburinya, apatah jika kita mahu menjadikan ianya sebagai satu karier untuk masa depan.
Apabila ditanya apa kerjaya kita sewaktu kita nak meminang anak orang, jika jawapannya “pemuzik”, peratus untuk diluluskan oleh bakal mertua itu mungkin akan menurun sebanyak 70%.
Sehingga ke hari ini pun, majoriti masyarakat kita bukannya minat dan faham tentang muzik sangat pun. Yang mereka minat hanyalah nilai hiburan yang terkandung di dalamnya yang penuh dengan elemen glamor dalam industri seni itu sendiri. artis cerai berai, artis hidup macam orang kaya, artis kantoi hisap dadah, itu orang kita sangat suka untuk ambil tahu.
Itu sebab jika kita bikin album jazz, folk, blues, progresif atau album yang berkonsep dan bermesej, tidak akan laku di pasaran. Bahkan jika kita hantar demo kita itu ke syarikat rakaman pun, mereka akan menolaknya kerana bagi mereka tidak ada guna untuk diniagakan jika hanya akan mendatangkan nilai rugi melebihi untung.
Sewaktu saya bersekolah rendah di kampung dulu, tidak ada pendidikan muzik yang diajarkan, begitu juga apabila saya naik ke sekolah menengah. Itu di tahun 70an dan 80an dulu. Apa itu jazz, reggae, bossa, rumba, folk atau apa segala macam jenis muzik pun saya tidak faham sebab tidak ada pendedahan pada waktu kecil.
Saya hanya faham apabila minat itu datang dengan sendirinya. Minat akan mendatangkan inisiatif dan nilai kreativiti yang tinggi disebabkan itu kemahuan dari dalam jiwa kita sendiri pun saya ini hanyalah di kalangan mereka yang minoriti sahaja.
Berbeza di Indonesia, dengan jumlah populasi penduduk yang hampir 300 juta orang, ditambah dengan nilai penghargaan mereka yang tinggi terhadap seni dan muzik sejak zaman Soekarno lagi, mereka boleh hidup dengan menjadi pemuzik.
Apa saja aliran sama ada jazz, progresif, blues, metal, rock akan ada pengikutnya. Tidak hairanlah pemuzik “underground” di sana pun mampu hidup senang dengan bermain muzik yang bukan komersial alirannya.
Di sini, hanya segelintir sahaja pemuzik profesional kita yang boleh menjadikan muzik sebagai satu karier masa depan. Itu pun jika mereka melanjutkan pelajaran di bidang muzik di universiti atau kolej yang terdapat di negara kita ini.
Di negara kita ini, pendidikan muzik hanya didedahkan kepada golongan orang yang berada atau bangsawan sahaja. Tempat mereka di sekolah yang berstatus elit, yang bukan untuk orang kebanyakan seperti kita ini. Sudah tentulah mereka ini di kalangan orang yang berduit sahaja.
Jadi sehingga ke hari ini, yang kebanyakan masyarakat kita hanya akan faham hanyalah tentang pop dan komersial sahaja.
Bahkan di sekolah jika saya menonton program sukan yang melibatkan anak-anak saya, yang berkumandang di udara untuk pengisian slot oleh deejay yang bertugas sewaktu program berlangsung hanyalah lagu-lagu pop semasa terutamanya lagu-lagu pop Indon yang tidak sesuai untuk halwa murid sekolah rendah.
Lagu-lagu pop Indon hari ini bukanlah berkualiti sangat pun. Lirik-liriknya tidak bermanfaat langsung, nyata tidak sesuai untuk didengarkan kepada anak-anak kita yang masih bersekolah. Untuk apa dipasang lagu Sandiwara Cinta, Selimut Tetangga, Putih Melati atau lagu dangdut hip-hop kurang cerdik yang popular hari ini untuk didengarkan ke halwa telinga anak-anak kita?
Sekolah adalah pusat ilmiah yang sepatutnya dikurangkan nilai-nilai hiburan yang kosong di dalamnya. sepatutnya mereka yang di sekolah rendah ini diberi pendedahan tentang muzik yang lebih variasi sifatnya.
Saya tak pasti, mungkin perkara ini hanyalah subjek yang remeh untuk pihak kementerian yang berkenaan fikirkan. Yang mereka lebih fokuskan hanyalah tentang jumlah buku yang membebankan yang perlu murid pikul setiap hari, seberat guni beras dan setiap hari mereka akan naik ke tingkat 4.
Untuk kita tentulah ianya membebankan kerana melibatkan kos, sebab harga sebuah buku pun bukannya murah. Untuk anak-anak sekolah, mereka terpaksa memikul beg sekolah yang berat dengan jumlah buku yang terlalu banyak.
Untuk satu subjek ada 3 atau 4 buku, jadi kalau jika sudah 5 subjek bayangkanlah betapa beratnya beg sekolah anak kita itu. ini bukan menyenangkan, bahkan memasalahkan.
Berbalik tentang muzik dan kefahamannya, agak susah untuk diterapkan nilai kefahaman dalam muzik kepada masyarakat kita atas sebab kurang nilai penghargaan terhadap seni muzik itu sendiri.
Kesimpulannya, apa juga usaha atau minat itu perlu datang dari dalam jiwa dan kemahuan kita sendiri. Pun pihak yang berkenaan perlulah lebih prihatin tentang nilai muzik dan elemen ilmiah yang terkandung di dalamnya. – 24 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments