Hari ini, semakin ramai busker yang muda-muda mahupun yang sudah bergelar "otai" memeriahkan suasana di lokasi strategik ibu kota dengan persembahan muzik jalanan. Ini pemandangan yang biasa zaman ini terutamanya di Kuala Lumpur.
Di setiap negeri juga aktiviti busking ini semakin meriah dan ramai anak-anak muda yang semakin seronok untuk bergelar busker.
Apatah menjelang Ramadan yang bakal menjelang tiba nanti, akan ramailah para busker menghiburkan khalayak di lokasi seperti Sogo dan Bukit Bintang.
Di Avenue K, KLCC juga sudah disediakan tempat busking yang operasinya bermula 10 pagi hingga 10 malam. Begitu juga Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang akan menyediakan ruang untuk para busker bermuzik di stesen LRT di lokasi terpilih yang akan mereka tentukan nanti dalam waktu terdekat ini.
15 tahun dulu masih ada pandangan skeptikal khalayak malah pihak berkuasa juga, hari ini pandangan yang sedemikian semakin terhakis daripada minda masyarakat zaman ini.
Ini perkembangan yang baik dan membawa manfaat pada semua, sama ada pada busker mahupun kerajaan.
Baru-baru ini saya turut dijemput untuk terlibat dalam program bual bicara santai yang dikendalikan penyanyi popular Awie, 'Tunggu Sekejap' yang biasanya ke udara menerusi siaran TV3. Topiknya tentang hal dan perkembangan dunia busking dulu dan sekarang.
Dari zaman Sidek, Adi Jagat dan Wahid mahupun Dr Sam di penghujung era 1970-an hingga 1980-an di Pasar Seni, masuk pula ke era Sherry, kumpulan Busker, Syed Amran, Che Det, Nan Blues sehinggalah ke zaman ini, suasana, sikap dan penerimaan masyarakat semakin positif dari masa ke masa.
Ali Gecikerana, Caliph Busker dan Mus Genji Busker antara busker yang paling menonjol dan mendapat perhatian hari ini.
Pun begitu, apabila terlalu ramai busker yang mahu menjadi busker, maknanya akan ada masalah di sana sini. Seperti berebut kawasan, perselisihan antara orang lama dan baru dan berbagai lagi.
Memang, terlalu ramai busker hari ini. Semua anak muda nak jadi busker. Apa tujuan sebenar mereka saya tidak pasti. Yang saya nampak itu satu cara mudah untuk mendapatkan wang tunai dengan daya, kreativiti dan bakat mereka.
Antara mereka ini ada yang benar-benar berbakat, ada yang copy cat, ada yang bakatnya kurang, tapi atas sebab keberanian, mereka jalan terus!
Saya berbual dengan otai atau orang lama dalam dunia busking, Syed Amran yang sama-sama berjuang dengan saya sebagai busker di Pasar Seni, 11 tahun dulu, itulah juga hal dan isu yang disuarakan.
Begitu juga apabila saya berbual dengan Mus Genji Busker, antara busker yang paling menonjol hari ini, dia turut punya pandangannya sendiri dalam hal busking.
Katanya:"Ia perkembangan yang sihat kerana mampu mewujudkan peluang pekerjaan baru namun hanya 20% berada di landasan betul sebagai busker, baik daripada segi jati diri sebagai busker mahupun misi dan visi perjuangan mereka.
"Budaya ikut-ikutan dan trend 'wanna be somebody' perlukan persediaan rapi dan bukan hanya 'copy paste' semata-mata konsep dan imej malah koleksi lagu busker terdahulu. Ketidakseimbangan harga bayaran persembahan busker profesional yang lebih dulu survive terjejas teruk dan ini budaya tidak sihat.
“Ibarat mengganggu periuk nasi orang lain. Hari ini juga busker mula dimanipulasi golongan yang berkepentingan demi agenda mereka. Maka wujudlah komuniti busker A, B dan C.
"Idea asal DBKL untuk menjadikan busker sebagai salah satu tarikan pelancong mula diragut kemuliaan nawaitu asal datuk bandar oleh orang serta persatuan yang mula nampak peluang serta keuntungan memandangkan busker hanya tertakluk pada akta ibu kota dan tiada akta khas busker diwujudkan lagi. Ini perkembangan yang sangat mendukacitakan sejak 2 tahun kebelakangan ini."
Demikianlah pendapat dan keluhan Mus yang saya temui baru-baru ini.
Saya melihat perkara ini sebagai lumrah. Apabila kuantiti melebihi kualiti, inilah yang akan berlaku. Ramai orang boleh menyanyi namun tidak ramai yang boleh menyanyi dengan baik. Yang setakat boleh menyanyi pula lebih popular berbanding yang benar-benar berbakat.
Apabila busking sudah menjadi satu industri, inilah yang akan kita terima. Apabila ia dikomersialkan sehingga ke peringkat mainstream, inilah yang akan berlaku.
Kita busking dan menghiburkan khalayak, banyak mata yang memandang dan menilai. Dari situ akan datang rezeki dan masing-masing saya percaya ada rezeki kita masing-masing.
Apa pun saya lebih suka melihat dari sudut yang positif. Paling penting sokongan kerajaan dan badan bukan kerajaan mahupun swasta. kalau dulu golongan busker sering dipandang dengan pandangan yang skeptikal, hari ini ia semakin positif.
Busking adalah tentang kreativiti dan originaliti. Kebanyakan busker "otai" yang saya kenal seperti Syed Amran, Nan Blues, Nik Jidan, Sherry, Che Det, Ali Gecikarana, arwah Jimi, arwah Chot, arwah Sidek, Adi Jagat juga Wahid, mereka ini punya style dan trademark masing-msing sebagai busker. – 4 Jun, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments